BAB 1

“Assalammualaikum, mak oh mak! Rin dah balik.’’

Tak berjawab. Zahrin jenguk dapur. Emak tersayang sedang duduk termenung di meja makan.

“Mak..” Sekali lagi dilaungnya, cuba mencari emaknya.

Wanita dengan rambut yang masih basah itu angkat muka, memandangnya. Masih dengan wajah tanpa riak.

“Mak buat apa kat sini ni… Ayah mana?”

Senyap.

“Rambut pun tak lap lagi…” Zahrin cepat-cepat melepaskan beg hitam di bahu ke kerusi meja makan. Tangan pantas mencapai tuala yang tersidai di kerusi sebelah Emak nya duduk, lalu Zahrin lap rambut Emak tersayang.

Sejak petang semalam, Emak nya tidak mahu bercakap dengannya. Hati Zahrin jadi risau. Apa yang terjadi dengan Emaknya?

“Mak dah makan? Kalau belum, biar Zahrin masak. Mak pergilah berehat di bilik. Mak tak sihat kut..” Pipi wanita berwajah pucat itu diusap lembut.

Wanita 50-an yang hanya berkemban kain batik itu angkat punggung lantas langkah diatur perlahan menaiki anak tangga.

Zahrin mengeluh berat. Rasa risau menggunung. Ayahnya pula entah ke mana perginya. Dari semalam juga dia tidak lihat langsung. Memang bukan perkara luarbiasa kalau ayahnya tiada di rumah berhari-hari kerana ayahnya suka pergi memburu.

Nasib baiklah keluarga ayahnya memang asal anak orang berada. Harta kekayaan yang diwarisi ayahnya itu memang tak akan habis makan tujuh keturunan. Zahrin pun tak perlu susah payah bekerja memerah keringat dan kudrat mencari sesuap nasi. Dia hanya bekerja sebagai pelukis jalanan di pekan kecil Pulau Haruki. Bakat melukis semulajadi yang dia warisi entah daripada siapa.

Selepas memasak, dia segera ke bilik. Jam di dinding menunjukkan pukul 7.30 malam. Di luar pintu menuju ke beranda, malam kian pekat. Angin berderu masuk ke dalam kamarnya. Pantas dia menarik daun pintu itu sebelum dikunci rapat. Krreekkk…. Bunyi engsel pintu yang sudah berkarat bergema di seluruh bilik yang agak kosong. Cuma ada sebuah katil dan sebuah almari lama di bilik itu. Zahrin tersenyum sendirian. Entah. Bunyi itu kedengaran lucu. Dia harus beli pintu barukah menggantikan pintu yang sudah berusia lebih 35 tahun itu,sama dengan usia banglo lama itu?

“Kreekk.. Kreekk..” Zahrin ajuk bunyi pintu berandanya sambil langkah diatur ke bilik mandi yang juga ada dalam biliknya. Usai menyegarkan diri, dia singgah ke bilik tidur ayah dan emaknya, mengarah wanita itu untuk turun ke bawah untuk makan malam sebelum langkahnya diatur menuruni anak tangga dan terus ke bilik melukisnya. Bilik di mana dia sering melakar ilham di atas kanvas putih. Bilik itu terletak di tingkat bawah tanah, tersembunyi dan sunyi tanpa apa-apa gangguan.

Ada sebuah kalendar besar yang tergantung di dinding. Kalendar yang dia dapat daripada Michelle, anak tauke emas Kedai Emas Foong tidak jauh daripada kaki lima tempat dia selalu duduk mencari rezeki. Zahrin tanda tarikh hari itu dengar marker merah. Kemudian dia tersenyum.

“Minggu depan dah boleh pergi memburu..” Minat yang diwarisi dari ayah tersayang. Dia tersenyum sendirian.