BAB 1

Bagai mahu terbang melayang jiwaku ini. Berkali ku urut dada, cuba bertenang. Tabah, sabar, tenang. Terima semuanya dengan ikhlas. Allah tidak akan memberi ujian di luar kemampuan kau Aisyah. Aku melangkah perlahan ke surau sekolah, tempat paling sesuai untuk aku bersendirian berkongsi suka dan duka pada Sang Pencipta. Kepalaku terasa berat sekali. Selepas mengambil wudhu aku, aku mengambil Al Quran pula. Duduklah aku terceruk di dinding surau sambil membaca Al Quran. Allahu rabbi, dapat aku rasakan seperti aku berbicara dengan Tuhanku. Terjemahannya pula aku baca perlahan, menghayati setiap bait – baitnya. Sungguh tenang jiwaku ini. Teringat kembali peristiwa tadi, cikgu memanggilku untuk ke pejabat. Aku fikirkan aku sudah melakukan kesalahan besar.

Ternyata sangkaanku meleset sama sekali. Rupanya ada panggilan dari rumah memaklumkan ibu dan bapaku terlibat dalam kemalangan ketika mereka hendak pergi ke kerja. Ibuku hanya mengalami kecederaan ringan manakala ayahku di masuk ke dalam wad untuk pemeriksaan yang lebih lanjut. Allah sahaja yang tahu betapa peritnya untuk aku menelan kebenaran itu. Sabtu ini baru pak cikku akan datang mengambilku dari asrama. Yang menyedihkan, aku tidak boleh berlama lama di rumah kerana dua minggu ini merupakan minggu peperiksaan. Selepas aku mendapat panggilan tersebut tempat pertama aku tujui ialah surau. Aku melihat jam di tangan. Nak masuk waktu zohor, patutlah pelajar sudah ramai yang masuk ke dalam surau. Aku sudah bersiap sedia memakai telekung sementara menunggu azan.

“ Allahu Akbar… Allahu Akbar… “Terhenti segala pergerakanku. Laungan azan itu benar benar menyentuh qalbu. Allahu… siapakah pemilik suara lunak ini ? Suara ini tidak pernah ku dengari sebelum ini. Ini kali pertama aku mendengarnya. Aku menghayati setiap seruan yang dilaungkan oleh seorang adam yang tidak diketahui namanya. Betapa beruntungnya pemilik suara ini kerana memiliki suara sebegini merdunya. Tanpa sedar aku menitiskan air mata. Ya, mungkin kerana emosiku masih tidak stabil.

Seusai menunaikan solat berjemaah di surau sekolah, aku mengambil keputusan untuk terus berada di surau membaca Al Quran memandangkan selepas ini tiada aktiviti yang hendak dilakukan. Surau sudah pun lenggang kembali seperti awal kedatanganku tadi. Surah Taha dibaca. Surah Taha inilah yang berjaya melembutkan hati Saidina Umar Al Khattab yang sebelum pengislamannya merupakan seorang yang digeruni oleh ramai orang. Selepas merehatkan minda di surau, aku kembali ke asrama. Dalam fikiranku tak henti henti memikirkan pemilik suara itu. Suara itu benar menganggu hatiku. Siapalah gamaknya orang itu?