BAB 1

Pelik betul dengan sikap Mamaku. Kenapa mesti Abang Arif berkahwin dengan anak Datin Miela yang bernama Arifah. Bukan ke Abang Arif sedang hangat bercinta dengan Kak Mariya. Mama bersungguh-sungguh mahu menjodohkan Abang Arif dengan Arifah. Gadis yang sebaya denganku malah kami pernah sekelas semasa di tadika dulu.

Arifah gadis yang boleh dikatakan agak nerd . Kali terakhir aku bertemu dengan Arifah sewaktu aku di tingkatan tiga. Ketika itu teman kami mengadakan jamuan hari jadi lalu menjemput semua teman-teman tadika yang sudah lama tidak ketemu.

Hari itu, Arifah tampil dengan penampilan bertocang dua, berkaca mata tebal, memakai gincu bibir merah menyala malah pemerah pipinya over dengan bentuk bulatan kemerahan di pipi gebunya. Dress polka dot merah hati yang sangat kelakar dengan riben besar berwarna biru di bahagian dada. Nasib Abang Arif jika beristerikan Arifah!

Kata Mama nama yang serasi akan mencantikkan lagi kad kahwin seperti Abang Aqil dan Kak Aqilah juga Abang Afiq dan Kak Afiqah. Kata Mama lagi nama itu juga menjadikan hubungan rumahtangga lebih mesra dan romantik kerana mempunyai nama yang hampir sama. Benarkah? Mungkin itu semua adalah doa Mama agaknya.

“Dah cari nama anak?” Soal Mama pada Abang Afiq. Sementara itu Kak Afiqah sedang menidurkan puteri sulungnya. Baru dua hari yang lepas Kak Afiqah bersalin di hospital dan Mama mahu Kak Afiqah berpantang di rumah kami.

“Belum lagi, Ma. On the way lah ni nak mencari nama yang sedap dan simple.” Jawab Abang Afiq lalu mencuit pipi montel anaknya.

“Ha, Mama ada cadangan!! Apa kata letak nama Afiqie Bin Afiq. Panggil dia Iqie.” Mama memandang cucunya dengan senyuman puas hati. Abang Afiq dan Kak Afiqah saling berpandangan dengan wajah tidak puas hati.

Afiqie? Hahaha… Aku yang hanya duduk berdiam diri di sisi katil sejak tadi sudah mula ketawa terbahak-bahak sehingga mahu pecah perut rasanya. Macam nama bayi lelaki saja.

“Kenapa kamu ketawa ni, Eqa? Bising tau tak! Baby tak suka bising-bising. Dia nak rehat dan nak tidur.” Mama pula meninggikan suara. Kecil hati Mama agaknya aku ketawakan nama yang dicadangnya.

“Mama dan Eqa jangan risau, ya. Genap seminggu nanti adalah nama yang sesuai untuk bayi Abang Afiq ni nanti.” Itulah Abang Afiq aku. Lembut saja tutur bahasanya.

“Eqa tak kisah pun nama Afiqie ke, Afiqo atau Afiqu ke janji anak buah Mak Su ni sihat.” Aku membalas kata-kata Abang Afiq dan terus bangun meninggalkan bilik mereka. Aku ada misi lain yang menanti.

Hari ini Abang Arif kena blind date dengan Arifah pada jam 8.30 malam bertempat di sebuah restoran mewah yang ditempah Mama semalam. Aku sudah berjanji mahu membantu Abang Arif dengan blind date tersebut.

Sepanjang malam tadi Abang Arif telah bertanya tentang latar belakang Arifah. Aku pun hanya bercerita setakat mana yang aku tahu tentang gadis itu. Lagi pun aku memang tidak rapat dengannya sewaktu di tadika dulu.

“Abang Arif takutlah, Eqa. Seram sejuk dah badan Abang ni tau.” Tiba-tiba Abang Arif muncul dalam bilikku.

“Abang pergi je dulu blind date tu. Kalau Abang tak setuju dengan pilihan Mama, cakap tak setuju.”

“Mariya pulak… Macam mana dengan dia? Apa Abang nak bagi alasan ni? Hari ni ulangtahun tiga bulan kami couple. Minggu lepas Abang dah janji nak bawa dia makan ikan bakar tau.” Abang Arif merebahkan diri di atas katilku. Wajahnya kelihatan tidak tenang.

“Fuyoo… Ikan bakar tu. Kenapa tak bawa Eqa sekali?” Fikiranku mula membayangkan ikan pari yang dibakar. Sedapnya kalau dapat makan dengan nasi lemak bersama sotong goreng dan sayur kailan goreng ikan masin.

“Woi!! Berangan ke? Abang tanya ni macam mana nak bagi alasan kat Mariya tu.” Tinggi saja suara Abang Arif. Memang tidak sama dengan sikap Abang Afiq yang cool.

“Abang jangan risau. Biar Eqa je yang bawa Kak Mariya makan kat tempat ikan bakar. Eqa pandai-pandailah pujuk dia. Ok?” Entah bagus atau tidak cadanganku, aku pun tak pasti.

“Ni siapa yang couple dengan Mariya ni? Eqa ke Abang? Tak payah bawa dia pergi tempat ikan bakar tu. Eqa nak ambil kesempatan, eh? Nak makan ikan bakar percuma pulak.”

“Tadi mintak tolong bagi cadangan. Bila dah bagi, nak marah-marah pulak.” Aku pula naik angin dengan Abang aku yang seorang ini. Cepat saja nak meninggi suara.

“Macam ni……”