BAB 1

“Jauh lagi ke tempatnya?” Adib memulakan bicara.

Dahinya berpeluh-peluh. Mungkin kerana kepedasan tomyam berapi yang dipesannya. Mungkin kerana keadaan di gerai tomyam yang disinggahinya itu agak panas malam ini.

Atau mungkin kerana takut, ngeri dan bermacam perasaan lagi bila mengenangkan perkara-perkara yang berlaku ke atas dirinya semenjak akhir-akhir ini. Semuanya bermula dengan kerusi antik yang dibeli enam bulan lalu. Ya, kerusi itulah punca segala-galanya.

“Dah tak jauh dah,” jawab Zadi acuh tak acuh.

Mi sup rusuk kambing yang dipesannya itu dihirup dengan penuh bernafsu. Terangkat-angkat keningnya. Mulutnya dimuncungkan. Berdesip-desip bunyinya apabila sup itu dihirup.

“Bukan aku yang memandai-mandai tapi tok bomoh yang suruh kita ke sana malam ni. Malam ni bulan penuh. Sesuai nak tolak bala. Apatah lagi nak tolak kerusi jahanam kau tu.”

Adib menolak mangkuk tomyam berapinya ke tepi. Seleranya hilang. Gelas kopi janggut yang dipesannya ditarik rapat ke dada. Diambilnya sudu teh dan dikacau perlahan-lahan.

Otaknya sedikit demi sedikit mengingati kisah enam bulan yang lalu. Kisah bagaimana dia memerlukan sebuah kerusi untuk bermalas-malas di depan televisyen rumah sewa bujangnya.

Dari sebuah pencarian kerusi biasa, hinggalah kepada yang berjenama dan empuk seterusnya membawa kepada kerusi antik. Ya, itulah kali pertama dia mengenali kerusi antik dan itulah kali pertama dia merasakan betapa dia sangat memerlukan kerusi itu.

“Oo yang ni tak mau juai oo..” Kata-kata Ah Pek penjual kerusi antik itu masih terngiang-ngiang di terlinganya. Setelah berhari-hari mencari sebuah kerusi yang sesuai. Itulah kerusi pertama yang dirasakannya sempurna untuknya. Rekabentuknya sederhana menarik. Warna merah keemasannya sudah kehitaman dan pudar.