BAB 3

Timah sangat gembira dengan respon jururawat yang sangat peramah itu. Kekecewaannya pada layanan nyonya tadi terbalas. Timah dan jururawat itu terus berborak. Macam-macam yang mereka borakkan dari yang dalam kain perempuan hinggalah sampai kepada isu dalam dan luar negara. Isu kenaikan minyak, Trumph, Rohingya dan banyak lagi.

"Morning,"kedengaran suara perempuan menyapa di telinga Timah. Automatik pula Timah menjawab lalu menoleh ke arah datangnya suara itu.

"Morning."

"Awal hari ni kak,"jururawat yang baru sampai itu berbasa basi dengan Timah. Khadijah. Dialah jururawat yang selalu 'melayan' Timah apabila tiba temujanji.

"Ha'ah, tulah terawal pula hari ni,"Timah tersengih. Timah beralih semula kepada Murni. Tetapi Murni sudah tiada di tempatnya. Timah terus mencari-cari kelibat Murni.

"Nurse, mana nurse yang duduk kat sini tadi?,"Timah terus bertanya kepada Khadijah.

"Nurse mana?,"Soalan dijawab dengan persoalan. Berkerut dahi Khadijah dengan soalan Timah. Setahunya masa dia datang tadi dialah nurse pertama yang ada di situ. Pasti Timah pun dah terkena.

"Nurse yang nama Murni tu,"jawab Timah sambil mencari kelibat Murni.

Khadijah menarik nafas panjang lalu melepaskan keluhan berat. Perlahan-lahan dia membuka mulut.

"Kak, dia dah tak ada. Dah lama."

Jawapan itu membuatkan Timah keliru.

"Dia dah tak ada? Apa maksud kamu?,"Timah bertanya.

"Dia dah meninggal kak. Sebelum saya kerja kat sini lagi dia dah meninggal."

"Huh! Meninggal? Apa kau cakap ni. Aku jumpa dia kat sini tadi. Sembang macam-macam lagi sampai isu luar negara yang terbaru lagi,"Timah cuba menjelaskan pada Khadijah.