BAB 4

“Doktor, bagaimana dengan keadaan suami saya? Dia dah sedar? Dia sakit apa sebenarnya doktor?” bertalu-talu soalan dari Maisara sebaik sahaja Doktor Fuad keluar dari bilik yang menempatkan Arshad.

“Puan Maisara, saya perlu bercakap dengan puan di dalam bilik saya sekarang”, kata Doktor Fuad. Anggukan lemah dari Maisara sambil mengikut berjalan ke biliknya yang tertera nama Dr. Mohd. Fuad Zikri.

“Sebenarnya suami puan menghidap sakit paru-paru tahap kronik. Kami tak boleh buat apa- apa lagi. Hanya yang mampu saya katakan, puan bawa banyak-banyak berdoa moga suami puan selamat”, demikian penjelasan dari Doktor Fuad sambil memerhatikan fail perubatan Arshad.

“Ya Allah…kenapa selama ini saya tak tahu perkara ini doktor? Berapa lama dah suami saya menghidap penyakit ini?“ katanya sambil teresak-esak. Dia yang ditemani Syafiq terasa lemah seluruh badan bila mendengar penjelasan dari Doktor Fuad.

“4 tahun. Selama 4 tahun ini jugalah saya yang menjadi doktor yang merawat suami puan,” jelas Doktor Fuad.

“Tapi…kenapa selama 4 tahun saya tak tahu langsung tentang penyakit suami saya?” Maisara terasa hatinya bagai ditusuk sembilu apabila mengetahui perkara yang sebenar.

“Arshad tak mahu emosi Sara terganggu,” jawab Syafiq perlahan di sisi Misara. Antara dengar dan tidak. Tak dapat digambarkan bagaimana perasaan Maisara ketika mendengar kata-kata dari Syafiq dan Doktor Fuad sebentar tadi. Dia bingkas bangun menapak ke bilik di mana suaminya ditempatkan. Doktor Fuad memberi isyarat pada Syafiq agar mengikuti Maisara.

“You pergi tenangkan dia dulu Syafiq. I tahu dia tertekan sekarang. Mungkin itu silap Arshad kerana merahsiakan segalanya dari pengetahuan dia. Ternyata kita sahaja yang tahu penderitaan Arshad selama ini,” kata Doktor Fuad pada sahabatnya Syafiq dan juga sebenarnya merupakan sahabat pada Arshad.

Mereka kawan rapat sejak zaman universiti lagi. Namun persahabatan terputus seketika setelah Doktor Fuad melanjutkan pengajian di Berlin University dalam jurusan perubatan. Apabila pulang ke Malaysia Doktor Fuad jarang berhubung dengan Arshad di luar kerana kekangan tugasannya di hospital.

Mereka ditemukan apabila Arshad mendapatkan rawatan di hospital setelah dia mengadu selalu sakit dada 4 tahun yang lalu. Hening sungguh suasana di bilik itu. Hanya terdengar esakan dari Maisara.

Kemudian terdengar ucap salam dari kedua ibu bapa Maisara. En Tamrin dan Pn. Salbiah dengan wajah gusar mendapatkan anak mereka yang sedang sarat mengandung.

“Pakcik, makcik…,” tegur Syafiq sambil menghulur tangan bersalaman dengan mereka berdua.

“Ya Allah Sara. Kenapa boleh jadi sampai macam ni nak?” kata Pn. Salbiah sambil mengelus lembut bahu Maisara.

“Abang sakit umi…abang sakit paru-paru kronik. Doktor kata abang tak ada harapan. Apa salah Sara hinggakan abang sanggup merahsiakan penyakit dia selama ini?” kata Maisara sambil memeluk ibunya. En. Tamrin memerhatikan menantunya yang nampak tenat dengan wayar yang berselirat melingkari tubuhnya.

Alat bantu pernafasan juga terletak di sisinya. Hanya gelengan di kepala En Tamrin. Seraya hati kecilnya berbicara.

“Arshad mesti kuat ya nak. Arshad kena kuat demi Sara, demi anak Arshad yang dalam kandungan tu, Walid berdoa moga Arshad cepat sembuh ya nak,” bisik hati kecil En. Tamrin sambil melepaskan keluhan berat.