BAB 2

“Arshad, aku tak fikir kau boleh merahsiakan selamanya sakit ni daripada Maisara. Kasihan dia. Kau bergelut dengan harapan antara hidup dan mati namun masih tetap merahsiakan perkara ini dari dia. Bagaimana kalau Maisara tahu kau sedang menghidap penyakit paru- paru kronik? Apa yang kau akan katakan pada dia kalau dia tanya kenapa kau rahsiakan semua dari dia?” bertalu-talu soalan dari mulut Syafiq.

“Kasih sayang aku mengatasi rasa sakit ini Syafiq. Aku yakin aku mampu bertahan. Tak perlu kau nak nasihatkan aku agar aku beritahu Sara tentang sakit ini. Aku tak nak membebankan dia dengan masalah aku. Sara tengah mengandungkan anak sulung kami. Aku tak nak perasaannya terguris. Kalau dia tahu aku sakit nanti mesti dia susah hati dan itu akan menjejaskan kesihatan dia dan juga anak dalam kandungannya itu. Bila sampai waktunya nanti aku beritahulah. Allah takkan cabut nyawa akulah selagi aku tak tengok wajah bayi kami. Kau percayalah,” jawab Arshad dengan nada yang berseloroh akhirnya. Terpancar riak tak puas hati di wajah syafiq. Hanya gelengan di kepalanya.

“Dah di ambang maut pun masih keras kepala!” gerutu Syafiq dalam hati.

“Amboi, muka tu masam sangatlah kawan, takkan kau ambil hati pula bila aku kata macam tu tadi? Nanti pandailah aku nak cakap dengan Sara. Kau jangan risaulah”, kata Arshad seraya mengusik sekaligus menyedapkan hatinya sendiri.

Sedangkan waktu itu dia juga berada di persimpangan dilema.