BAB 8

6 tahun kemudian…

“Sampai bila kau nak menyendiri membesarkan anak-anak kau Sara? Kesian aku tengok Farris dan Farisha tu. Mereka memerlukan ayah. Mereka sedang membesar. Kau perlukan seseorang untuk menjaga kau dan juga anak-anak kau,” kata Zulaika pada Maisara.

Pandangannya dilemparkan ke arah kedua adik beradik kembar itu yang sedang seronok bermain kejar-kejaran di taman permainan. Kemudian matanya dialihkan ke arah Maisara. Tak ada reaksi langsung.

“Sara, aku cakap dengan kau ni. Kau dengar tak apa yang aku cakapkan?” lagi Zulaika mengulangi. Tak puas hati riak di wajahnya melihat Maisara yang buat tak tau saja.

“Aku dengarlah Zu. Aku boleh besarkan anak-anak aku sendiri. 6 tahun aku sendirian membesarkan anak-anak aku tak ada masalah pun. Aku boleh hidup tanpa bantuan sesiapa Zu. Anak-anak aku lebih utama. Cinta aku sayang aku hanya pada Arshad seorang. Anak-anak adalah amanah Arshad yang aku kena tunaikan dan aku yakin aku boleh membesarkan anak- anak aku dengan baik. Kau jangan nak memandai nak memadankan aku dengan sesiapa. Hati aku hanya untuk Arshad. Full stop.” Panjang lebar penjelasan keluar dari mulut Maisara.

“Kau memang tak perlukan seorang suami itu kata kau. Tapi anak-anak kau perlukan seorang ayah. Kau kena terima hakikat itu. Bukan dosa untuk kau berkahwin lagi setelah 6 tahun Arshad meninggal Sara. Kau jangan pentingkan diri sendiri. Kau kena ingat juga budak- budak tu.”

“Dahlah Zu, malas aku nak fikir.”

“Hrmmmmmmmm…” Zulaika menjungkitkan bahunya tanda dah tak tahu nak kata apa lagi.