BAB 1

“Huk huk huk… huk huk huk”.

“Ya Allah abang! Kenapa batuk sampai berdarah macam ni”, sapa Maisara pada suaminya Arshad yang duduk bersebelahan dengannya.

“Tak ada apa-apalah sayang. Abang okey je”, jawab Arshad pada isterinya.

Matanya dikecilkan sedikit dek menahan sakit yang terasa menusuk dada akibat batuk. Bingkas bangunnya ke bilik air membersihkan telapak tangannya yang terkena darah tadi. Maisara membontoti suaminya dengan riak resah di dadanya.

“Kita ke klinik ya bang, Sara risau tengok keadaan abang. Sejak akhir-akhir ni batuk abang makin menjadi-jadi. Nanti kat klinik tu biar doktor periksa apa sakit abang”, usul Maisara.

“Tak payah sayang. Abang dah ke klinik siang tadi. Doktor kata tak ada apa-apa. Abang dah makan ubat pun. Esok sembuhlah batuk abang ni. Sayang jangan risau ya”, jawab Arshad. Namun di wajahnya seakan menyembunyikan sesuatu.

“Betul abang tak apa-apa?” tanya Maisara yang masih tak puas hati dengan penjelasan suaminya.

“Betullah sayang. Dah jangan fikir yang bukan-bukan. Jom kita masuk tidur. Esok nak kerja. Nanti sayang pula yang sakit sebab tak cukup tidur. Abang juga yang kena jaga sayang kalau sayang sakit”, Arshad mencuit hidung Maisara yang sedang merangkul manja lengannya. Hanya reaksi anggukan dan senyuman yang ditunjukkan oleh dia.