BAB 1

Tak semua kahwin paksa berakhir dengan kebahagiaan. Tak semua kahwin paksa akan memutikkan bibit-bibit cinta. Bagi aku kisah kahwin paksa dekat dalam drama dan filem tu semuanya dongeng. Mana ada kahwin paksa yang bahagia, tambah-tambah kalau kahwin dengan lelaki berhati batu!

Setahun sebelumnya…

“Mak nak Min kahwin dengan Harriz!”

Aku memandang wajah emak dan cuba mencerna dengan baik apa yang baru aku dengar tadi. Betul ke apa aku dengar ni? Aku tak mimpi? Kahwin? Harriz? Dengan tak semena-mena bibirku menguntumkan senyuman.

“Senyum pulak dia. Mak tahu Min memang dah lama sukakan Harriz kan?”
Aku tersentak. Macam mana mak boleh tahu ni?

“Ha, mesti terfikir kan macam mana mak boleh tahu? Ini mak lah. Mak yang lahirkan Min, besarkan Min selama dua puluh lima tahun. Sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betinanya,” terang mak panjang lebar. Siap berperibahasa bagai. Mentang-mentanglah anak mak ni cikgu Bahasa Melayu.

“Orang tua-tua kata kalau diam tu tandanya setuju…” usik emak membuatkan pipiku semakin memerah.

“Mak ni…” Aku menunduk rapat menekur lantai. Ya, aku memang dah lama sukakan Harriz sejak aku mula mengenali erti cinta. Tapi perasaan Harriz kepadaku, aku tidak pasti.

Aku dan Harriz, nak kata rapat sangat tu taklah. Aku kenal Harriz sebab dia anak kawan baik emak. Dulu masa kecil-kecil, Harriz lah yang selalu teman aku main masak-masak. Tapi bila dah besar ni masing-masing bawak haluan sendiri.

AKU melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan dengan Harriz. Wajahnya serius, langsung tiada senyuman. Tadi dia menghantar mesej kepadaku meminta aku berjumpanya di restoran ini.

“Kau lambat. Lama aku tunggu,” rungutnya.

“Sorrylah, jalan jem tadi.” Ujarku dengan sengihan di bibir. Lamanya aku tak jumpa Harriz. Dah makin handsome. Tak sia-sia aku sukakan dia selama ni!
Aku memanggil pelayan restoran dan memesan segelas teh O ais limau.

“Ceh, jawapan klise rakyat Malaysia,” gumamnya sambil menyedut minuman.

“Ada apa kau nak jumpa aku ni?” Aku kembali meneliti seraut wajah milik Harriz Nazmi. Wajah Melayu asli yang kacak. Aku rasa kalau Harriz ni apply untuk jadi duta Tahun Melawat Malaysia konfem lulus punya.

“Pasal rancangan mak-mak kita tu lah.”

“Oh yang tu…” Aku mengangguk faham. Hatiku berbunga riang. Dalam fikiran aku dah terbayang aku dan Harriz pergi kursus kahwin sama-sama, pergi butik pengantin sama-sama, naik pelamin sama-sama. Oh, beginikah rasanya cinta?
“Aku nak kau bantah rancangan diorang tu. Kau gila ke, aku, kau, kahwin? Memang tak lah kan?”

Senyumanku mati serta-merta. Punah dan ranap angan-angan yang aku bina tak sampai seminit tadi.

“Tapi aku dah setuju,” ujarku perlahan.

Membulat mata Harriz memandangku.

“Kau setuju kahwin dengan aku?” Soalnya tidak percaya.

Aku mengangguk. Melihat raut wajahnya yang agak tertekan dan berserabut tika ini, aku pasti dia tak setuju dengan rancangan parents kami. Nampaknya aku cuma bertepuk sebelah tangan.

“Kenapa kau setuju? Kau ingat aku cintakan kau? Hei, tolong sikit. Kau ingat kau layak ke nak jadi wife aku? Aku ni pilot, kau tu cikgu sekolah rendah je. Ada hati nak kahwin dengan aku,” hinanya tanpa sedikit pun memikirkan perasaanku.