BAB 1

Sungguh luas pemandangan di waktu petang ini. Angin yang bertiup kencang, langit biru yang memukau seolah memanggil si kecil untuk bermain layang-layang.

Tidak ketinggalan kawanan sang pipit berkejaran di celah-celah rimbunan padi yang menghijau, membangkitkan suasana indah tatkala melihatnya.

Manakala sang raja udang yang asyik memerhati kelincahan si cilik lampan menyusuri anak sungai seakan tidak perasan akan sang bangau yang turut sama memerhati.

Aku yang menaiki Yamaha 135LC berwarna hitam detik itu, berhenti seketika di bawah rimbunan pohon mangga. Tidak ku sangka di kawasan perumahan teres ini tersembunyi penanaman padi secara komersil.

Ini pengalaman pertamaku menjejakkan kaki ke kawasan sawah padi kerana aku adalah anak kelahiran Klang, Selangor. Disana, sukar untuk aku merasa pengalaman sebegini. Terpaku seketika melihat keindahan alam ciptaan illahi.

“Ashraf, mana-mana yang tidak lengkap tu, kamu pandai-pandailah beli. Bincang dengan mereka ya. Abang nak balik dulu. Ni Kak Ana kamu beri Toto. Ambillah buat tidur malam nanti. Emak kamu tadi ada telefon menanyakan perihal duit sewa. Pasal tu, nanti-nantilah kita bincang ya”, jelas Abang Suhaimi sewaktu hari pertamaku disitu.

“Baiklah”,jawabku sambil memunggah barang-barangku dari keretanya.

“Sebelum terlupa, esok malam Kak Ana kamu jemput datang rumah. Kami buat jamuan makan sikit. Alah, jemput jiran-jiran dan sedara-mara saja. Jangan lupa datang ya. Jemput sekali mereka tu”, tambah Abang Suhaimi sambil menghidupkan enjin kereta.

Mereka ialah pasangan adik-beradik dari Sarawak yang turut sama menyewa disini. Bezanya mereka sudah menyewa empat bulan lebih awal dariku.