BAB 1

Diterangkan dalam sebuah Hadis RasulullahSAW. Hanya dengan memandang empatperkara ni pun kita sudah dapat pahala. Hanya dengan memandang empat perkarani pun dikira ibadah. tahukah sahabat-sahabiah apakah yang di maksudkan 4 perkara itu?

4 perkara itu ialah : 1. wajah ibubapa, 2. Al-quran, 3. Lautan dan yang ke-4. Ka’abah. Justeru, aku mencari laut dan pantai untuk aku menenangkan fikiran sambil mengumpul pahala.

Mataku merenung tepat ke tengah laut. Air di lautan kelihatan bercahaya disepuh sinaran fajar mentari di waktu senja. Pemandangan di Pantai Seroja sangat mengasyikkan. Gulungan ombak yang beralun-alun tidak aku hiraukan.

Biarlah ombak yang mengganas itu menghempas pasir pantai. Biarlah ombak yang cemburu membawa apa sahaja yang diinginkannya.

Kicauan permai sekumpulan burung yang berterbangan kian mengalun merdu, memecah kesunyian dan diiringi deruan bayu angin laut yang menjadi irama yang penuh berseni. Ditambah pula dengan kehijauan alam malar hijau dan alunan ombak laut yang menggamit mesra serta hamparan kaki langit yang membiru.

Awan comel yang sedikit kekuningan berambal-ambalan di langit. Sinaran fajar senja yang kuning kemerahan melengkapkan lagi keindahan pantai ini. Alangkah indahnya. Alangkah!

Betapa agungnya ciptaan Ilahi. Aku mengucap syukur kerana diberi peluang kembali untuk menatap sekelumit keindahan di alam fana ini. Bayu angin laut yang sepoi-sepoi bahasa mendamaikan perasaanku.

Desiran sang bayu harapan lembut mengalun mesra, berlagu ria dan melambai pohon kasih sekawan burung. Jilbab yang menyelimuti rambutku berkibas-kibas disentuh desiran pawana yang tidak putus-putus menerpa tubuhku.

Aku duduk memeluk tubuh di bawah pohon jacaranda yang terletak di tepian pantai. Kuntuman-kuntuman bunga jacaranda yang berwarna ungu lembut mengucup mesra jiwaku. Kesuk-kesik kuntuman jacaranda seaka-akan membisikkan sesuatu yang mesra. Aku mengambil sekuntum dedaun jacaranda, lalu menciumnya.

Terasa harumannya menerobos di segenap rongga hidungku. Aku melihat kuntuman itu tanpa berkedip. Aku tersenyum. Segera secebis kotak fikiranku dibawa belayar ke pulau kenanganku bersama Syammir ketika kami berusia 17 tahun. Ya, Syammir! Mutiara sahabatku yang selama ini mewarnai hidupku yang berlorongkan kegelapan. Syammir, yang sebelum ini tidak jemu menjaga gadis buta seperti aku!

“Kau tahu Neesa, dulu sewaktu aku dihantar ke Teratak Kasih, masa aku berumur 10 tahun, kesedihan aku kerana seluruh ahli keluargaku iaitu ayah, ibu, kakak dan dua orang adikku meninggal akibat terlibat dalam kebakaran… belum pulih lagi. Setiap hari aku menangis. Sampailah bonda Murni menyuruh aku pergi ke pohon jacaranda ini. Sejak itu, kesedihan aku semakin lama semakin pudar. Kalau kau nak tahu, pohon jacaranda inilah yang membuatkan aku bahagia,” ujar Syammir panjang lebar.

Aku hanya tersenyum.