BAB 1

“Dengar Cerita orang dulu jadikan renungan,

Pasal sorang mamat kononnya kerja asyik berangan,

Baik tengah duduk makan, atau petik buah kelapa.

Tak habis-habis pelan, cita-cita jadi kaya.”

Aku hembus nafas untuk ke sekian kalinya. Pensel Pentel di tangan aku ni cuma digoyang-goyang dari tadi. Pasif. Satu-satunya anggota badan yang aktif cuma kepala yang dari tadi terangguk-angguk ikut rentak lagu yang terpasang di earphone.

“Berangan!”

Aku toleh ke tepi. Cuma memandang muka Lili dari sisi. Pandangan yang nak tak nak je aku beri dengan kaki berlunjur dan badan bersandar di sofa ni.

“Buku je yang terbukak dari tadi tu.” Lili menjeling aku.

Huh… malas nak jawab. Aku tengah boring ni. Sudahnya aku fokus semula pada buku latihan di depan mata ni. Macam tak percaya, tengah kakak aku ni cuti semester, aku rajin-rajin bukak buku Add Math. Huh! Tak adalah rajin sangat sebenarnya, kalau bukan sebab kakak aku si Lili ni, buku Prinsip Akaun tu berganda okeynya lagi dari buku puaka ni.

“Fikir apa tu?” Lagi sekali, suara Lili yang menegur. Aku garu dahi. Janganlah upset sangat, Lili tu concern je. Aku pujuk hati sendiri aje nih!

“Benda ni… confuse lah. Memusingkan kepala otak.” Aku jawab akhirnya. Jaga hati!

“Amendanya? Let the pakar settle it.” Lili yang tadinya elok meniarap di atas sofa yang menjadi tempat aku menyandar mula panjangkan leher. Buat gaya zirafah.

Aku tak membalas, cuma muncung pensel aku halakan ke soalan nombor dua puluh satu.Pengkamiran! Jelaslah, topik yang paling aku benci.

“A’alah…” Lili menjuih. Spontan pensel aku dia tarik. Lalu laju tangannya menconteng ruang kosong pada buku aktiviti tu. Hah, itu pasallah aku malas nak tanya. Lili ni otak dia lain macam. Kalau subjek lain aku tahan mintak tunjuk ajar dia, tapi bab add math ni… gaya budak lepas degree dia ajar aku. Mana nak pick up! Haih, mungkin sebab tu dia boleh masuk UIA tu kut.

Sudahnya, otak aku mula merewang jauh. Ikut lirik lagu yang berdendang di speaker earphone aku. Watak demi watak mula keluar di minda. Itu kerja aku time lapang. Berangan jauh dan wujudkan perwatakan dalam satu-satu watak. Hasilnya, tut-tut…!

“Kau dengar tak ni?”

Aku panggung kepala, membalas pandangan Lili. Dua saat, aku geleng. Tak apa, aku jujur. Memang sepatah apa pun aku tak dengar.

Lili mendengus. Sakit hati barangkali. “Gini… kau ni La, orang main putar-belit ayat pun dah jam. Otak tu jangan kasi manja sangat. Selesaikan log tu dulu.”

“Log tu apa Li…” Aku tanya dengan nada meleret. Pelipis ni aku garu-garu lagi dengan pensel.

Automatik Lili toleh kepala, memandang aku dengan mata yang makin mengecil. “Kau ni sedar ke tidak ni?”

Aku sengih. Logiklah kalau dia kata macam tu, SPM boleh kata esok karang, aku boleh nak tanya Log tu apa!

“Hm… hm, taulah.” Lalu pensel milik aku yang sekarang di tangan Lili aku capai, sebelum kertas kira-kira yang memang dah tersedia di sebalik buku add math tu aku keluarkan. Tanpa hiraukan Lili yang masih tak hilang fokusnya pada aku, aku mencoret sesuatu di atas kertas contengan tu.