PENDAMPING

Langkah kakinya diatur dengan perlahan sambil anak matanya masih lagi melilau-lilau akan keadaan sekeliling. Jam baru sahaja menunjukkan ke pukul 6:25 pagi. Suasana pagi yang agak suram itu telah membuatkan bulu romanya tiba-tiba menegak. Angin sejuk berembus lembut cuping telinganya pada saat itu. Digosok-gosok batang tengkuknya itu berkali-kali.            

“Hai Firhad! Awalnya hari ini? Sorang aje?” Tegur pak cik kantin yang sedang sibuk mengelap meja di situ.            

“Eh, Pak Osman! Iya… sorang aje. Datang awal sebab nak siapkan tugasan yang cikgu bagi kelmarin.” Jujur Firhad menjawab sambil tersenyum.            

“Kenapa tak siapkan dekat rumah aje?” Soal Pak Osman lagi.            

“Tak sempatlah Pak Osman. Kelmarin saya ada perlawanan bola sepak. Balik lambat! Penatlah nak siapkan semua kerja tu. Balik rumah je, rehat sehabis-habisnya. Hihi…”             

“Owh… patutlah awal sangat sampai. Biasanya pukul 7:00 pagi baru boleh nampak muka kamu tu hah!” Firhad tersenyum malu sambil menggaru-garu batang tengkuknya lagi. Pak Osman juga sudah tersenyum-senyum akan kelakuan Firhad itu.          

   “Okeylah Pak Osman! Saya nak naik atas dulu. Tak siap kerja ni nanti, maunya berdiri dalam kelas!” Pinta Firhad lalu mula mengatur langkah menuju ke blok di mana terletaknya bilik darjah tersebut.        

Pak Osman hanya sekadar mengangguk seraya anak matanya memandang tajam ke arah Firhad yang sudah jauh ke hadapan.            


Firhad menaiki setiap puntung anak tangga itu sambil melihat ke segenap ruang yang agak gelap. Dia sempat menggeleng-gelengkan kepalanya itu sambil menekan suis lampu di sudut beranda. Seram sejuk juga tatkala seorang diri melangkah kaki untuk ke bilik darjahnya yang berada di tingkat tiga. Hanya bunyi derapan tapak kasut dari kakinya sahaja pada ketika itu. Hish! Pengawal keselamatan ni buat kerja ke tak? Bukannya nak tolong buka lampu ni. Makan gaji buta ke apa? Ini yang aku malas nak datang awal ni. Hurghh! Kalau bukan sebab Cikgu Rizal nak semak tugasan ni, baik aku datang lewat! Firhad terus mengomel keseorangan.

Langkahan kakinya mula berhenti sebaik label nama kelasnya terpacul di hadapan matanya. Dia tersenyum puas. Terpaksa meredah kegelapan untuk tiba di kelasnya yang terletak di hujung beranda tingkat atas. Sebaik pintu kelas itu dikuak olehnya, dia segera masuk dan terus menghidupkan suis lampu dan kipas. Sunyi sahaja suasana pada ketika itu. Dia mula melabuhkan punggungnya di tempat duduknya itu. Tanpa menunggu sebarang arahan, dia mengeluarkan buku-bukunya dari dalam beg lalu diletakkan di atas meja. Sambil anak matanya melihat keadaan sekeliling yang agak suram itu, jari-jemarinya turut tekun menyiapkan tugasan yang perlu disiapkan.            

“Eh, pukul 7:30 pagi dah! Mana semua orang ni? Hari ini cuti ke?” Firhad mula bersuara setelah berjaya menyiapkan semua tugasannya.          
   Dia bangun dari kerusi lalu menapak ke arah beranda. Dihulurkan kepalanya ke bahagian bawah bangunan tersebut untuk melihat jika ada sesiapa di bawah. Ternyata ianya sia-sia. Tidak ada seorang pun kelibat manusia di bawah sana. Pelik! Takkanlah hari ini sekolah cuti. Takkanlah tak ada seorang pun yang hendak memberitahunya. Dia menggaru-garu kepalanya lagi setelah mencabut songkok hitam yang dipakainya dari tadi.            

“Mana semua orang ni? Aduhhh!!! Buat penat aje aku datang sekolah hari ni. Habis tu, takkanlah aku nak belajar dengan cicak kot! Hurghhh!!!” Makin bengang Firhad setelah melihat akan situasi pelik tersebut.            

Firhad mula berpaling untuk masuk ke dalam kelas. Tiba-tiba bahunya disentuh oleh seseorang dari arah belakang. Terasa bagaikan tangan tersebut agak kasar. Bulu romanya juga turut menegak dan anak matanya ditajamkan ke hadapan. Dia masih tercegat kaku di pintu kelasnya. Fikirannya terus berputar ligat. Dikuatkan imannya lalu berpaling dengan perlahan-lahan agar dapat melihat siapakah gerangan empunya tangan tadi. Sebaik berpaling, tiba-tiba angin yang agak kuat sekali meniup suasana pagi itu dan membuatkan Firhad tidak dapat menahan diri lalu terduduk di atas lantai. Alangkah terkejutnya bukan kepalang setelah dia dapat menangkap satu bayangan hitam yang agak besar dan tinggi di hadapannya. Makhluk itu mengaum seketika ke arah muka Firhad dan hilang di sebalik gumpalan kabus hitam yang agak tebal. Firhad terpana seketika seraya rebah di tepi pintu kelasnya setelah laungan terakhirnya tadi hilang ditelan kesuraman pagi.              
 
“Firhad! Bangun Firhad!” Kedengaran suara seseorang memanggilnya.

Pintu bilik dikuak oleh Encik Zamarul setelah anak tunggalnya itu masih lagi tidak muncul di sebalik daun pintu. Encik Zamarul menggelengkan kepalanya sebaik melihat anaknya itu masih lagi terbaring di atas katil. Dengan keadaan selimutnya yang berada di bawah katil, rambut anaknya yang tidak terurus, serta tubuh badannya yang sudah berpeluh-peluh. Encik Zamarul mengerutkan keningnya lalu menyelak kain langsir yang menutupi jendela bilik itu.            

“Firhad… bangun! Dah subuh ni. Kamu cakap nak pergi sekolah awal hari ini. Bangunlah!” Tutur Encik Zamarul sambil menepuk-nepuk bahu anaknya itu.            

“Erm… err… Fir kat mana ni papa? Aduh!!! Pening kepala la.” Soal Firhad sebaik membuka matanya yang terpaksa menahan pedih akan cahaya terang dari lampu yang dipasang oleh papanya tadi.            

“Eh, kamu dekat rumahlah! Dah! Bangun cepat! Mama pun dah tunggu dekat bawah.” Jawab Encik Zamarul yang agak kebingungan akan perilaku anaknya tu.            

Firhad hanya sekadar menggelengkan kepalanya lagi. Dia terus memandang akan setiap langkahan kaki papanya itu yang sudah berlalu pergi.  


NASI lemak yang berada di dalam pinggan itu dihabiskan dengan beberapa suapan. Puan Haslina turut menuangkan secawan kopi panas kepada suaminya. Hari ini rutinnya adalah seperti biasa sahaja. Tugas sebagai suri rumah amatlah dilaksanakannya dengan baik.            

“Mana anak kesayangan awak tu? Masih tak turun lagi? Dah lewat ni.” Puan Haslina membuka suara lagi.            

“Ada kat atas tu hah! Abang dah kejutkan dia tadi. Nanti dia turun la tu.” Jawab Encik Zamarul sambil menghirup kopi di tangannya.            
Beberapa minit selepas itu, Firhad menyertai mama dan papanya di meja makan. Encik Zamarul dan isterinya memandang serentak terhadap anak tunggal kesayangannya itu. Firhad menarik kerusi lalu anak matanya masih merenung akan nasi di dalam pinggan di atas meja.            

“Eh, kamu tak ke sekolah ke hari ni? Bukan ke semalam kamu cakap nak pergi awal ke? Kamu tak sihat ke?” Encik Zamarul mengajukan soalan terhadap anaknya itu.            

“Fir kurang sihat la papa… pening kepala! Rasa macam nak demam aje.” Jujur Firhad sambil menongkat dagunya di atas meja makan.            
“Hem… itulah Fir! Mama dah cakap, balik awal ke rumah! Ini tidak, asyik nak merayap dekat luar tu. Jarang sekali mama boleh tengok anak mama ni melekat dekat rumah. Pukul 12:00 malam pun masih tak nampak batang hidung kamu tu. Sampai bila kamu nak jadi macam tu Firhad?” Ulas Puan Haslina sambil menghulurkan secawan kopi kepada anaknya itu.            

“Betul kata mama tu! Sudahlah Fir. Kamu kena ingat, exam dah nak dekat! Kamu patut fokus pada pelajaran kamu tu.” Sambung Encik Zamarul lagi.            

“Hem… iyalah mama, papa! Fir minta maaf atas segala sikap Fir yang kurang baik sebelum ni. Maafkan Fir iya?” Jawab Firhad sambil tersenyum kelat itu.            

“Dah! Kita makan iya? Kamu berehatlah dekat rumah. Nanti papa akan maklumkan kepada cikgu sekolah tentang cuti kamu hari ini. Tapi ingat, esok kamu kena pergi sekolah!” Tegas suara Encik Zamarul itu.            

“Baik papa!” Ringkas Firhad menjawab.  


FIRHAD mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Fikirannya masih lagi dihantui rasa pelik akan mimpinya malam tadi. Puan Haslina yang baru selesai menyidai pakaian turut merasa pening kepala setelah melihat kelakuan anak tunggalnya itu. Dia mengorak langkah ke arah anaknya itu.            
“Kata pening kepala… ini dah boleh jalan ke sana ke mari! Dah sihat ke?” Tegur Puan Haslina sebaik melabuhkan punggungnya di kerusi sofa tersebut.            

Firhad pantas memandang akan mamanya itu. Puan Haslina juga sudah mengangguk-anggukkan kepalanya terhadap Firhad di hadapannya.            

“Fir ada apa-apa nak kongsi cerita dekat mama ke?” Soal Puan Haslina lagi.            

“Entahlah mama… susah nak cakap!”            

“Alaa… cakap jelah! Mungkin mama boleh selesaikan masalah Fir.”            

“Sehari dua ni, Fir rasa tak sedap badan la. Dah tiga malam Fir mimpi benda sama!” Jujur Firhad yang sudah mula membuka ceritanya.            
“Mimpi apa pula ni? Apa yang mengganggu fikiran anak mama ni? Cuba Fir jelaskan pada mama.” Desak Puan Haslina yang telah memandang anaknya itu dengan penuh bersungguh-sungguh.            

Setelah beberapa minit kemudian, Puan Haslina mengerutkan keningnya sebaik mengetahui segala isi cerita yang disampaikan oleh anaknya itu. Firhad juga sudah beberapa kali mengeluh akan masalah yang dihadapinya itu.            
“Mungkin mainan tidur kot! Iyalah, Fir kan selalu balik lewat malam. Dan suka pula tengok cerita hantu. Barangkali semua tu adalah imaginasi Fir sahaja. Jangan nak fikir sangatlah!” Puan Haslina cuba menghilangkan perasaan serabut anaknya itu dengan andaiannya yang tersendiri.            

“Tak mungkin mama! Fir tak rasa yang semua ni hanyalah mainan tidur. Sebab Fir ada bukti yang kukuh dalam kes macam ni. Fir ada benda nak tunjuk dekat mama!” Tutur Firhad lalu menanggalkan baju T-shirt yang dipakainya itu.            
“Ya Allah! Kenapa boleh jadi macam ni?” Terkejut seketika Puan Haslina sebaik melihat kesan lebam yang agak kebiruan itu di atas bahu anaknya itu.            

“Ini yang Fir dapat dari semua mimpi tu! Mungkin kesan lebam ni datangnya dari sentuhan makhluk yang muncul dalam mimpi Fir tu. Lepas Fir tersedar dari mimpi, Fir masih terasa betapa kasarnya sentuhan dari makhluk tu. Habis berpeluh-peluh satu badan Fir!” Sambung Firhad lagi yang dalam kebingungan.            

“Susah mama nak percaya dengan semua ni. Kenapa baru sekarang Fir nak buka mulut untuk bagitau mama tentang ni?”            

“Fir tak nak risaukan mama je. Tapi kali ni, Fir tak sanggup nak tidur dalam keadaan yang tak tenang je.”            

“Takpelah! Mari sini mama lumurkan ubat. Nanti mama bagitau papa tentang mimpi tu. Mungkin serba sedikit boleh dapatkan jawapan dari teka-teki ni.”            

Firhad sekadar menggangguk tanda menyetujui kata-kata dari mamanya itu. Puan Haslina masih lagi bingung akan perkara yang dibahaskan tadi.  


SEMINGGU KEMUDIAN,
Firhad hanya membatukan dirinya di pondok bersebelahan dengan kantin sekolah. Jam sudah menunjukkan ke pukul 3:00 petang. Dia masih dengan lamunannya itu. Terasa begitu penat dengan semua yang berlaku ke atas dirinya.            
“Assalamualaikum. Awak ni… Mohd Izzul Firhad Bin Mohd Zamarul kan? Panjang betul nama awak. Maaf kalau saya mengganggu lamunan awak tadi.” Tiba-tiba seorang perempuan telah menegurnya di situ.            

Firhad mendongak akan wajahnya untuk memandang akan pemilik suara yang menegurnya itu. Dia menghadiahkan senyuman kelat kepada perempuan tersebut. Perempuan itu terus mengambil tempat di hadapannya lalu menegurnya lagi.            

“Awak tak nak jawab ke salam saya tadi?”             
Firhad memandang tepat ke wajah perempuan di hadapannya itu. Kesian pula di hatinya kerana tidak melayan hamba Allah S.W.T itu.            

“Waalaikumussalam. Macam mana awak tau nama saya? Awak siapa? Saya tak kenal awak!” Firhad membuka suara dalam keadaan yang kurang bersemangat.            

“Sebenarnya saya dah lama perhatikan awak dari jauh. Saya tau, awak pelajar baru kan? Nama penuh saya… Nur Alya Amani Binti Mohamad Hamdan. Awak boleh panggil saya Alya aje! Saya dari kelas 4 Ekonomi. Awak dari kelas 5 Sains kan?” Terang Alya dalam keadaan tersenyum itu.            

“Awak ni kan… dah macam penyiasat! Semua benda tau tentang saya. Habis tu, awak nak apa jumpa saya ni?”            

“Takdelah! Saya tengah tunggu abah saya. Entah kenapa lambat pula dia hari ni. Saya tengok awak asyik mengelamun sorang-sorang dekat sini, itu yang saya datang ni. Maaflah, kalau saya dah kacau awak!”            

“Takpe. Saya okey!”            

“Err… yang awak ni tak balik lagi kenapa? Bukan ke hari-hari awak datang sendiri dengan motor ke?” Soal Alya ke arah Firhad yang sedang memandangnya.            

“Owh, saya berehat je dekat sini. Penat!” Ringkas Firhad menjawab dalam keadaan tersenyum nipis itu.            

“Nah! Awak minum air ni dulu. Saya tengok muka awak ni pucat semacam je. Awak tak sihat ni. Kena pergi klinik. Cuaca sekarang tak menentu!” Sambung Alya sambil menghulurkan sebotol air mineral kepada Firhad di hadapannya.            
“Air jampi ke ni? Tak nak la!”            

“A’ah, racun membunuh! Hish… apalah awak ni. Ini air kosong jela. Takkan la saya nak racunkan orang yang saya suka pula!” Tutur Alya seraya menutup mulutnya dengan tapak tangan sambil membuntang anak matanya kepada Firhad itu.            

“Apa awak cakap tadi? Suka? Boleh ulang sekali lagi tak? Telinga saya ni dah lama tak cuci.”            
“Takde apalah! Okeylah Firhad. Saya nak balik dulu. Jangan lupa pergi klinik!”            

“Abah awak dah sampai ke? Tak nampak pun!” Laung Firhad setelah Alya berlalu dari situ.            
“Saya boleh jalan kaki la.” Lantas Alya membalas.            

“Nak saya hantarkan awak tak? Saya okey aje!” Teriak Firhad lagi.            

“Terima kasih jela Firhad!” Balas Alya yang sudah mula berjarak dari tempat duduknya sebentar tadi.  


PUAN HASLINA amat resah menunggu kepulangan anak tunggalnya itu. Sudah jam 5:00 petang, tetapi sedikit kelibat pun tidak dinampaknya. Encik Zamarul yang baru sahaja keluar dari dalam keretanya itu turut memandang hairan akan reaksi isterinya itu.            

“Assalamualaikum Has. Apa yang awak terjenguk-jenguk di luar pagar rumah tu?” Tegur Encik Zamarul seraya turut melihat ke segenap halaman rumahnya itu.            

“Waalaikumussalam abang. Firhad ni hah! Masih belum balik lagi. Risau la saya. Dia tu bukannya sihat lagi. Kita keluar cari dia nak tak?” Jelas Puan Haslina terhadap suaminya itu.            
“Mungkin dia masih ada kelas tambahan kot! Dia kan dah nak exam ni. Awak jangan risau la. Nanti baliklah dia! Saya kenal dengan anak saya tu. Dia takkan melencong tempat lain. Takpun study group dekat rumah kawan dia. Mana kita tau!”            

“Abang ni… Has cuma risaukan dia aje. Zaman sekarang macam-macam boleh berlaku!”            
“Takde apalah… nanti baliklah dia tu!”            
Sebaik pasangan suami isteri itu hendak melangkah masuk ke dalam rumah, satu deruan enjin motosikal telah memasuki perkarangan rumah mereka. Encik Zamarul tersenyum setelah melihat anaknya itu telah pulang ke rumah dengan selamat.            

“Tengok! Kan abang dah cakap, dia akan balik! Awak tu selalu fikir yang bukan-bukan.” Bisik Encik Zamarul di cuping telinga isterinya itu.            

Puan Haslina sekadar memandang ke arah suaminya yang asyik tersengih dari tadi. Firhad mula mendekati kedua orang tuanya itu sambil tersenyum kelat.            

“Assalamualaikum mama, papa! Maaflah. Fir study rumah Hadif tadi. Lagi satu, Fir dah solat dan dah makan! Mak Cik Raudhah kirim salam dekat mama.” Jujur Firhad sambil membuka ikatan tali kasut sekolahnya itu.            
“Waalaikumussalam.” Ucap Puan Haslina sambil tersenyum.  


SEUSAI solat isyak, Firhad mengatur langkah menuruni setiap puntung anak tangga untuk ke tingkat bawah. Dia menggalas beg pikulnya di belakang. Anak matanya memerhati ke segenap ruang untuk memastikan mama dan papanya tiada di situ. Sebaik dia melalui ruang tamu, kelihatan papa dan mamanya sedang asyik menonton drama di televisyen.            

“Hah! Fir nak ke mana pula malam-malam ni? Duduk rumah jela.” Tiba-tiba Puan Haslina bersuara.            

“Err… Fir nak keluar dengan kawan-kawan la mama. Bosan la duduk di rumah ni. Bolehlah mama iya? Sebelum pukul 12:00 malam, Fir balik!” Pinta Firhad terhadap mamanya itu.            
“Mama cuma risaukan Fir aje. Lagipun, kesan lebam dekat bahu tu tak sembuh pun lagi.” Sambung Puan Haslina lagi.            

“Alaa… mama. Fir okey! Mama janganlah risau sangat. Okeylah, Fir pergi dulu.”            

“Hati-hati bawa motor tu. Jangan nak laju sangat!” Encik Zamarul mula mencelah perbualan antara isteri dan anaknya itu.            

“Baik papa!” Balas Firhad seraya melangkah ke pintu utama.  


ANGIN malam berembus lembut ke cuping telinga Firhad. Dia masih lagi menunggu Hadif dan Saiful di sebuah pondok yang terletak di tepi tasik itu. Hampir setengah jam dia menunggu kawan-kawanya itu. Kebiasaannya tidaklah selambat hari ini.            

“Maaf Fir! Kami lambat. Isi minyak motor tadi.” Tutur Hadif sebaik menghampiri rakannya itu.            

“So, macam mana dengan bahu kau tu? Masih terasa sakit lagi ke?” Kini Saiful juga tidak ketinggalan dalam perbualan itu.            

“Kurang sikit! Cuma aku tak puas hati sebab sampai sekarang aku masih tak dapat jawapan dalam setiap teka-teki ni.” Balas Firhad sambil memicit-micit kepalanya yang sudah terasa pening.            

“Kau banyakkan bersabar Fir! Kitaorang akan bantu kau untuk selesaikan masalah ni.” Sambung Saiful lagi.            

“Apa rancangan kita?” Soal Hadif sambil memandang ke wajah Firhad itu. Mereka bertiga  kini sedang melayani perasaan sendiri. Mencari idea untuk menyiasat tentang mimpi ngeri tersebut.            

“Hah! Aku dapat!” Tiba-tiba Hadif bersuara.            
“Hish, kau ni… terkejut tau tak? Apa yang ada dalam fikiran kau tu? Baik cakap, sebelum hilang!” Pinta Firhad seraya membuntang anak matanya itu ke arah Hadif di hadapannya.            

“Target utama kita adalah… Pak Osman!” Hadif terus menyatakan ideanya itu.            

Firhad dan Saiful mengangguk dengan serentak. Mereka mengerti akan target tersebut. Siapakah Pak Osman yang sebenarnya sehinggakan muncul di dalam setiap mimpi buruk Firhad itu. Pasti ada sesuatu yang mereka perlu rungkaikan!  


PUAN HASLINA tersenyum lebar setelah melihat anak tunggalnya itu sedang menuruni setiap puntung anak tangga. Encik Zamarul juga turut berada di meja makan itu. Puan Haslina mempelawa anaknya itu untuk bersarapan bersama. Firhad menjamah hidangan di atas meja itu dengan berselera sekali. Adakah masalahnya itu sudah selesai?            

“Fir okey tak hari ni? Makan bukan main berselera sekali mama tengok! Ada apa-apa yang nak dikongsi ke?” Puan Haslina menyoal akan Firhad sambil mengunyah Mee Goreng Basah di dalam pinggan itu.            

“Hari ni, Fir nak rungkaikan segala teka-teki yang dah ganggu tidur Fir selama ni. Lagipun, exam dah dekat! Fir tak nak benda ni ganggu masa depan Fir. Hitam ataupun putih, Fir perlu tau!” Terang Firhad dalam keadaan bersemangat itu.           

  “Baguslah! Papa doakan semuanya selesai dengan baik. Malam nanti, papa akan bawa Ustaz Latiff untuk tengok-tengokkan Fir. Mana tau, ada benda luar dah masuk dalam. Sekurang-kurangnya kita berikhtiar. Yang menyembuhnya, Allah S.W.T. Papa nak Fir duduk rumah malam ni. Boleh kan?” Jelas Encik Zamarul lagi terhadap anaknya itu.            

“Baik papa!”  


PARA pelajar sudah mula masuk ke dalam kelas masing-masing. Guru-guru juga sudah mula bergerak ke kelas yang hendak dicurahkan ilmunya itu. Sementara Firhad, Hadif dan Saiful masih lagi sedang berlambat-lambat menghabiskan Mee Celup di dalam mangkuk itu. Mereka sengaja melambatkan suapan makanan itu supaya dapat mencari peluang untuk berbual dengan Pak Osman.            

  “Korang masih tak siap makan lagi? Kelas dah start tu!”            

“Cik Pengawas Sekolah ni siapa pula? Suka hati kami la nak makan cepat ke lambat!” Saiful menjawab akan teguran itu.            

“Hish! Tak elok la korang layan dia macam tu. Nama dia Alya!” Firhad mencelah.            

“Owh… kawan kita ni dah ada girlfriend la. Tak bagitau kitaorang pun!” Kini Hadif juga tidak ketinggalan untuk menyakat rakannya itu.             Saiful hanya tersenyum sambil menyuap Mee Celup ke mulutnya.           

  “Apalah korang ni! Kami ni berkawan jela.” Sanggah Firhad seraya meminta maaf kepada Alya akan gurauan dari rakan-rakannya itu.            
“Dahlah korang! Saya ke kelas dulu. Makan tu cepat sikit. Nak saya hantar nama korang dekat Pengetua Sekolah ke?” Bidas Alya seraya melangkah meninggalkan tiga orang lelaki di situ.            

Saiful dan Hadif asyik ketawa sahaja setelah melihat reaksi Alya setelah disakat. Firhad mula mencuri pandang akan Pak Osman yang sedang menyapu lantai di hujung kantin itu. Agaknya, apa kaitan Pak Osman dengan mimpi buruknya itu?  


MEREKA beriringan melangkah kaki menuju ke arah Pak Osman yang sedang mengemas barang-barang untuk pulang ke rumah. Manakala para pelajar yang lain sudah mulai pulang ke rumah masing-masing. Mereka memberanikan diri untuk bertegur sapa dengan Pak Osman. Lagi-lagi ingin menanyakan soalan yang tidak masuk akal itu.          

   “Assalamualaikum. Maaf mengganggu Pak Osman!” Firhad mula bersuara.            

“Waalaikumussalam. Iya, ada apa?” Jawab Pak Osman seraya berhenti dari melakukan kerjanya tadi.          

   “Boleh kami bersembang dengan Pak Osman sekejap! Ianya sangat penting!” Sambung Hadif lagi.          

Pak Osman memandang pelik akan tiga orang remaja yang sedang memandangnya itu. Apa yang mereka hendak bualkan?            

“Duduklah!” Sejurus itu Pak Osman mempelawa tiga remaja di hadapannya.            

“Apa yang kamu bertiga nak dari pak cik sebenarnya?”          

   “Macam ni la pak cik! Kitaorang berterus terang aje. Agar tak pening kepala.” Tutur Saiful sambil menajamkan matanya ke arah Hadif agar memulakan perbualan itu.          

   “Begini pak cik! Kawan kami ni, nama dia Firhad. Anak kepada Zamarul Haji Zulkifli. Dia ni pelajar yang baru sahaja berpindah dari Selangor ke Kelantan ni. Sebelum ni okey aje, entah kenapa semenjak dia masuk sekolah ni… dia sering diganggu dalam setiap tidur dia.” Jelas Hadif yang bersungguh-sungguh dalam penceritaannya itu.            

“Habis tu, apa kaitan dengan pak cik pula?” Soal Pak Osman yang masih dalam kebingungan.           
  “Yang peliknya, kenapa wajah pak cik yang sering muncul dalam setiap mimpi dia? Dengan kehadiran makhluk berbadan tinggi, besar dan hitam. Apa semua tu?” Sambung Saiful lagi.           
  “Be… betul ke apa yang diaorang cerita ni Firhad?” Pak Osman cuba mencari kepastian setelah melihat Firhad hanya berdiam diri tanpa membahas sebarang bicara.          

   “Betul pak cik! Hanya pak cik sorang sahaja yang boleh jawab segala kekeliruan saya ini. Saya dah tak sanggup nak simpan benda dekat bahu saya ni. Saya tak boleh nak tidur dengan tenang setiap malam! Hanya pak cik harapan saya. Tolonglah pak cik! Apa sebenarnya yang sedang berlaku pada diri saya ni?” Luah Firhad dalam keadaan yang agak lemah.          

   Pak Osman menundukkan wajahnya ke lantai kantin. Apa yang ditakutkannya kini sudah berlaku. Menyesal tiada guna lagi. Tak mungkin dia dah kembali menuntut haknya. Kenapa perlu budak ni? kenapa? Siapa budak ni sebenarnya? Kenapa benda tu suka sangat padanya? Aku benar-benar keliru dan menyesal akan apa yang berlaku sebelum ni. Sesungguhnya aku memohon ampun padaMu Ya Allah.          

   “Pak Osman! Pak Osman! Okey tak ni?” Saiful menegur Pak Osman setelah agak lama dia berdiam diri memandang lantai itu.            

“Erk… okey, pak cik okey! Dahlah! Petang nanti kita jumpa dekat taman. Pak cik akan jelaskan apa yang berlaku ni.” Pantas Pak Osman menjawab sebaik tersedar dari lamunannya sebentar tadi.            

“Baiklah! Kami akan tunggu di sana nanti.” Jawab Firhad yang sudah mulai tersenyum lega itu.  


JAM telah menunjukkan ke pukul 5:00 petang. Firhad bersama dengan rakannya yang lain sudah pun menanti kehadiran Pak Osman di taman itu. Dari jam seawal 4:30 petang lagi mereka telah sampai di tempat yang dijanjikan. Kelihatan beberapa buah keluarga sedang sibuk melayani anak-anak mereka di taman permainan itu. Melihatkan mereka dalam keadaan begitu, sangat gembira. Tetapi tidak bagi Firhad. Dirinya masih lagi dihantui oleh bayangan makhluk hitam dan besar itu.           

  “Assalamualaikum. Maaf, pak cik lambat!” Tiba-tiba Pak Osman menegur sebaik dirinya telah muncul di situ.          

   “Waalaikumussalam.” Jawab mereka serentak.          

   “Tak mengapa pak cik. Yang penting pak cik dah sampai.” Kini Hadif pula bersuara sebaik menjawab salam tersebut.           

  “Boleh pak cik cerita pada kami tentang apa yang ada dalam mimpi Firhad tu?” Saiful terus mengajukan soalan bagi mendapatkan jawapan yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka.            

“Tolonglah pak cik! Saya nak tahu semuanya.” Pinta Firhad ke arah Pak Osman di hadapannya itu.  


Imbas Kembali,
Tahun 1964, Kota Bharu Kelantan.             “Tolong! Tolong!” Teriak Kalsom kepada jiran-jirannya pada ketika itu.

Kini rumah mereka telah hangus dijilat api. Bagaikan sepantas kilat! Rumah usang itu kini roboh akibat dari kebakaran yang sangat teruk. Punca kebakaran masih lagi tidak diketahui. Osman meratap kesedihan sambil memangku isteri kesayangannya yang kini sudah tidak bernyawa lagi. Sungguh malang nasib yang telah menimpanya. Orang kampung masih lagi memunggah air di dalam baldi bagi memadamkan kebakaran itu. Suasana malam itu juga kini sudah diterangi cahaya oleh api yang sedang marak. Asap hitam menjulang tinggi ke langit.          

   “Som! Bangun Som! Jangan tinggalkan abang!” Osman tidak putus-putus memanggil nama isterinya yang sudah terkulai layu di ribaannya itu.            

“Sabar Osman! Kamu tak boleh macam ni. Anggap sahaja ini dugaan dari Allah S.W.T kepada kamu! Yang pergi tetap akan pergi. Kita yang masih hidup ni, perlu diteruskan!” Pujuk Tok Misai merangkap ketua kampung itu.           

  “Tok tak rasa apa yang saya rasa! Isteri saya Tok. Saya takde siapa-siapa dalam hidup saya melainkan dia Tok!” Osman masih menegakkan benang yang basah sementara isterinya yang tidak bernyawa masih berada di pangkuannya.            
“Tok tau semua tu! Tapi kau kena redha dengan ketentuan Allah S.W.T.” Sambung Tok Misai lagi yang dari tadi memegang bahu Osman di sebelahnya.            

Osman masih lagi menangis sambil memangku isterinya itu. Dia sangat menyayangi akan isterinya itu. Sungguh tak diduga dia akan mendapat ujian sebegini. Aku berserah kepadaMu Ya Allah S.W.T.  


SEMINGGU KEMUDIAN,
Osman menaiki motosikalnya itu untuk pulang ke rumah. Sayu hatinya pada ketika itu. kini dia keseorangan di sebuah pondok kecil yang diberikan oleh ketua kampung bagi menggantikan rumahnya yang hangus dalam kebakaran sebelum ini. Bagi Osman, bukanlah sedih sangat jika dia kehilangan rumah. Tetapi, kehilangan Kalsom dalam hidupnya itulah yang disedihkannya. Tiada siapa yang mampu menggantikan tempat arwah isterinya itu.            

“Assalamualaikum Osman. Kamu dari mana ni?” Tegur Pak Sahak yang kebetulan melalui jalan itu.           

  “Waalaikumussalam Pak Sahak. Saya baru balik dari ziarah kubur arwah isteri saya.” Balas Osman sebaik memberhentikan motosikalnya itu.         

    “Hem… baguslah tu Osman! Hari ini Pak Sahak tengok kamu dah semakin baik. Yang dah pergi, tetap akan pergi. Kita yang masih hidup ni, tetap kena teruskan hidup. Jika kita rindukan arwah, sentiasa ziarah kubur dia dan sedekahkan ayat-ayat suci al-quran buatnya agar tenang di sana. Sabar adalah senjata yang paling indah dalam islam! Kamu kena ingat tu!” Pak Sahak mula memberikan kata-kata semangat terhadap Osman itu.           

  “Emm… iyalah Pak Sahak! In Shaa Allah. Saya akan ingat pesanan tu.”             

“Baguslah kalau macam tu! Takpelah, Pak Sahak pun nak ke rumah Haji Seman ni. Ada masa nanti kita berbual lagi. Assalamualaikum.” Pinta Pak Sahak lalu menghidupkan enjin motosikalnya itu.           

  “Iyalah. Waalaikumussalam.” Ringkas sahaja Osman membalas.            


Sesampainya dia di rumah, alangkah terkejutnya dia setelah melihat makhluk besar, tinggi dan hitam sedang memerhatinya di satu sudut di dalam pondok itu. Makhluk itu menyeringai dan menampakkan barisan giginya yang tajam.           

  “Apa lagi yang kau nak? Aku dah tak perlukan kau! Pergi kau dari sini!” Osman cuba menghalau makhluk yang pernah dibelanya suatu ketika dahulu.            

Makhluk itu tersenyum lagi ke arah Osman yang dahulu pernah menjadi tuannya.           

  “Aku tak sanggup lagi nak membela kau! Aku tak mahu menyekutukan Allah S.W.T. pergi kau dari sini! Jika tidak, aku takkan teragak-agak memusnahkan kau. Pergi!!!” Tegas Osman memberi amaran kepada makhluk itu.            

“Hahaha… belum sempat kau musnahkan aku, aku sudahpun memusnahkan hidup kau! Aku tau, isteri kau dah mati dalam kebakaran seminggu yang lepas! Selama ini apa yang jadi pada isteri kau yang bodoh tu, adalah dari kerja aku! Kau boleh buang aku sesuka hati kau. Tapi, aku juga boleh buang isteri kau dari hidup kau! Hahahaha…..” Makhluk itu mula bersuara sambil merenung tajam ke arah Osman dengan menunjukkan anak matanya yang sudah merah menyala itu.  


BELUM sempat Pak Osman menghabiskan ceritanya, Saiful mencelah akan penceritaan tersebut. Mereka saling berpandangan. Pak Osman juga sudah menundukkan wajahnya dari bertentang mata dengan Firhad.           

  “Kau ni… jangan nak potong cerita orang boleh tak?” Tegur Hadif terhadap Saiful itu.           

  “Alaa… aku tanya aje! Err… betul tak Pak Osman? Makhluk yang ganggu tidur Firhad tu adalah makhluk yang sama kan?” Sambung Saiful lagi setelah persoalan yang sama tadi tidak dijawab oleh Pak Osman.           

  “Betul tak Pak Osman?” Kini Firhad juga tidak melepaskan peluang untuk bersuara.            

“Iya! Itu adalah makhluk yang sama. Hem… makhluk tu amat marah setelah pak cik buang dia dari hidup pak cik! Tapi, ternyata pak cik silap. Makhluk tu muncul kembali untuk menagih dan mencari tuannya yang baharu! Kau kena cepat Firhad! Sebelum makhluk tu sempat menguasai diri kau, kau perlu buang dia! Pak cik tiada kuasa untuk bantu kau dalam kes macam ni. Kau perlu dapatkan khidmat dari Ustaz yang berkebolehan bagi membantu kau. Kesan lebam di bahu tu juga adalah tanda yang kau akan jadi tuannya yang baharu!” Terang Pak Osman sambil memegang tangan Firhad di hadapannya itu.          

   “Tapi kenapa makhluk tu pilih Firhad sebagai tuannya setelah bertahun-tahun lamanya? Kenapa bukan orang lain yang akan menjadi mangsanya?” Soal Hadif yang masih dalam kebingungan.           

  “Firhad memiliki kekuatan yang tiada pada orang lain. Kekuatan yang dimiliki itu telah mula dilihat sejak kamu masih bayi lagi. Makhluk itu ingin menumpang badan sahaja. Jika seseorang tu lemah, makhluk tu tak mungkin akan menumpang badan yang seperti itu. Pak cik tau yang Firhad ada ilmu persilatan sejak dari umurnya 7 tahun lagi. Jika kamu tak buang benda tu sekarang, lambat-laun makhluk tu akan menguasai diri kamu dan amat sukar bagi kamu untuk berpatah balik. Sudah pastinya, kamu akan mendapat nasib macam pak cik juga! Ini yang pak cik dapat setelah pernah membelanya dahulu.” Jelas Pak Osman lalu menunjukkan parut yang agak lama tetapi masih kelihatan baru di bahagian perutnya.            

Tiga sahabat itu terkejut setelah melihat parut sebesar tapak tangan yang sangat hodoh dan menggerutu di perut Pak Osman. Saiful dan Hadif yang bersungguh-sungguh tadi juga sudah mula menelan liur sebaik melihat parut yang amat menakutkan bagi sesiapa yang melihatnya.            
“Kamu kena cepat Firhad! Pak cik doakan semuanya akan baik-baik belaka! Pak cik minta maaf, disebabkan tindakan pak cik itu… kamu terlibat sama dalam situasi macam ni. Pak cik benar-benar menyesal. Maafkan kesalahan pak cik Firhad!” Pinta Pak Osman yang sudah mula menitiskan air mata lelakinya itu.            

“Sudahlah Pak Osman! Yang lepas, biarkan berlalu. In Shaa Allah. Saya akan buang benda ni secepat mungkin! Lagipun, saya tak nak benda ni.” Tutur Firhad lalu menggenggam buku lima Pak Osman di hadapannya itu serta disaksikan oleh Hadif dan Saiful.  


FIRHAD melangkah kaki menuju ke meja makan untuk bersarapan bersama mama dan papanya itu. Kini Puan Haslina dan Encik Zamarul sedang menikmati sarapan pagi itu dengan berselera sekali. Firhad menarik kerusi lalu mencapai kuih karipap di dalam pinggan di atas meja. Firhad sempat menghadiahkan sebuah senyuman kepada mama dan papanya itu.            

“Macam mana dengan keadaan kamu hari ini Firhad? Papa tengok, kamu dah boleh senyum melebar dah tu!” Encik Zamarul mula bersuara seraya mengerling ke arah isterinya di sebelah.            
“Fir rasa bersemangat dan ringan aje seluruh tubuh badan ni. Selepas berubat dengan Ustaz Latiff semalam, tidur Fir pun dah tak diganggu dengan makhluk tu dah!” Jawab Firhad sambil tersenyum.            

“Alhamdulillah. Mama seronok sangat bila tengok Fir dah boleh ceria semula. Cuma Fir perlu habiskan air yang Ustaz Latiff bagi semalam. Jangan tak minum pula!” Puan Haslina juga turut mencelah perbualan antara anak dan suaminya.            
“Hah! Lagisatu, ingat apa Ustaz Latiff pesan semalam. Jangan nak keluar malam selalu-selalu! Kalau takde hal penting, duduk aje di rumah!” Sambung Encik Zamarul lagi.            

“Iyalah papa, mama. Fir ingat semua tu! Lagipun, Fir tau… exam dah nak dekat!” Balas Firhad lalu mengunyah kuih karipap yang sudah berbaki di dalam mulutnya.           

  “Hari ini kamu nak jumpa dengan Pak Osman kan? Sampaikan salam papa untuknya. Jangan lupa, malam nanti ajak dia ke rumah. Papa nak buat majlis doa selamat sikit. Boleh kan?” Pinta Encik Zamarul lagi.           

  “In Shaa Allah papa!” Tutur Firhad dalam keadaan tersenyum itu.  


SUASANA kantin sekolah agak lengang sedikit berbanding tadi. Ini kerana, semua pelajar dan guru sudah kembali memulakan rutin mereka itu. Firhad, Hadif dan Saiful mula menapak ke arah Pak Osman yang sedang mengelap meja di situ. Firhad memulakan perbualan sebaik Pak Osman berbalas senyuman antara mereka.            

“Assalamualaikum Pak Osman.” Tegur Firhad sambil tersenyum itu.            

“Waalaikumussalam. Kamu apa khabar hari ni?”         

    “Alhamdulillah. Dah semakin baik sejak berubat semalam. Err… papa kirim salam dan kami sekeluarga ada buat majlis doa selamat malam ni. Kalau boleh, kami sekeluarga nak Pak Osman ada sekali. Itupun kalau Pak Osman tak keberatan la.” Tutur Firhad lagi.          

   “Owh, iya ke? In Shaa Allah. Kalau takde aral melintang, malam ni Pak Osman sampai la.” Jawab Pak Osman yang masih mengelap meja itu.            

Firhad hanya mengangguk dan dua orang rakannya itu masih setia di sisinya. Firhad bersyukur sangat kepada Allah S.W.T kerana membuka minda dan matanya sebelum nasi menjadi bubur. Kini dia merasa bebas dari segala anasir-anasir jahat dan kesakitan yang ditanggungnya sebelum ini. Berharap sangat, setelah berlakunya kejadian ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara Pak Osman dengan ahli keluarganya. Sesungguhnya, kuasa Allah S.W.T amatlah hebat dan sangat luar biasa. Jika dahulu Pak Osman dengannya hanyalah bertegur sapa sewaktu berurus niaga jual beli sahaja, tetapi kini hubungan itu sudah bertukar menjadi lebih akrab. Malah, mampu menjadi seperti ahli keluarga sendiri. Sesungguhnya, tiada yang lebih hebat dariNya. Tiada dua dan tiada tiga. Hanyalah SATU! Yakni Allah S.W.T. Semoga kami tergolong dalam kalangan orang yang beriman dan tidak menduakanMu Ya Allah. Aamiin!  


TAMAT