-14-

-2 BULAN LEPAS-

"Bosannya!!" Aidora merungut bila kepalanya sudah tidak dapat lagi menerima segala apa yang dibaca untuk ujian yang bakal tiba. Dia terus meninggalkan nota yang bersepah di atas meja dan melompat ke atas katil, lalu berbaring di atas tilam yang masih empuk walaupun sudah bertahun-tahun digunakan sejak asrama itu ditubuhkan lagi.

Walaupun Aidora berkira-kira untuk sekadar merehatkan mindanya, tapi dia tidak dapat menahan mata yang mula terasa berat sebaik sahaja kepalanya mencecah bantal. Mungkin ada baiknya juga kalau dia tidur untuk sejam dua, supaya dapat dia merehatkan otak yang penat bekerja. Sekurang-kurangnya, dia akan merasa segar semula sebelum menelaah kembali nota-nota yang bersepah di meja. Tapi, sebelum sempat matanya tertutup rapat, dan sebelum dia berjaya menginjakkan kakinya ke alam mimpi, dia terdengar bunyi ketukan bertalu-talu di luar pintu biliknya.

Mata Aidora yang hampir tertutup, terus terbuka dengan luas. Dengan rasa malas dia bangkit dan menuju ke pintu untuk melihat siapa yang datang mengganggu ketenangannya. Kalaulah Nik ada di bilik, sudah pasti dia yang akan menyambut tetamu di pintu. Tapi, Nik sudah pun menghilang dari bilik sebaik sahaja selesai solat Isyak.

"Err..assalamualaikum, kak Aidora. Maaf sebab menganggu akak. Cuma nak beritahu, ada orang nak jumpa akak di foyer." Seorang gadis manis bertudung putih, memberitahu Aidora, sebaik sahaja pintu bilik dibuka luas.

"Nak jumpa akak? Siapa ya? Adik kenal tak siapa dia?" Soal Aidora ingin tahu.

"Saya tak tahu nama abang tu. Tapi saya selalu nampak kak Aidora dengan dia." Jawab gadis itu bersama sebuah senyuman manis.

"Kalau macam tu, thanks ye, dik. Nanti akak turun jumpa dia."

"Sama-sama, kak. Saya minta diri dulu." Aidora terus menutup pintu bilik bila kelibat gadis itu hilang dari pandangan.

"Hmm...siapa pulak yang datang ni? Takkan Jenal kot?" Aidora menyoal dirinya sendiri sambil menukar seluar pendek yang dipakai dan menyarung seluar track suit berwarna hitam yang baru dibeli dua minggu yang lepas sewaktu keluar bersama ahli keluarganya untuk meraikan harijadi ibu Aidora.

Aidora segera memperkemaskan dirinya, kemudian mencapai dompet dan kunci bilik sebelum keluar menuju ke foyer seperti yang disampaikan oleh gadis tadi. Setibanya Aidora di sana, dia melihat Jenal sedang rancak berbicara dengan Sharina, kawan sekampung Jenal yang menjadi pujaan hati ramai lelaki kerana wajah comelnya dan perlakuannya yang manja.

Langkah Aidora terhenti kerana merasakan bukan Jenal yang mencarinya. Dia segera berpusing kerana tidak mahu menganggu perbualan mesra di antara Jenal dan Sharina. Lagipun, hatinya cemburu melihat Jenal ketawa mesra bersama Sharina.

"Dora! Nanti dulu." Nizam yang turut berada di foyer bersama Rosli dan Zul, memanggil Aidora dan menggamitnya supaya datang mendekat.

Aidora menggelengkan kepala, tidak mahu menyertai Nizam. Tetapi bila Nizam tetap terus menggamitnya, dengan hati yang berat, Aidora paksa dirinya melangkah ke arah mereka bersama wajah yang sedikit suram.

Jenal dan Sharina yang mendengar nama Aidora disebut, terus mematikan perbualan mereka. Sharina segera beredar ke tempat lain, tetapi sempat menghadiahkan Aidora sebuah jelingan tajam, dan Jenal pula melangkah merapati mereka dengan wajah selamba.

"Kenapa, Nizam?" Tanya Aidora perlahan. "Kau ke yang nak jumpa aku?"

"Bukan Nizam yang nak jumpa Aidora. Tapi Nal." Celah Jenal dan berdiri di sebelahnya.

"Kenapa?" Aidora memandang Jenal dengan pandangan yang pelik. Sebab setahu dia, Jenal memang tak suka bertemu waktu hari biasa. Kenapa tiba-tiba dia diajak berjumpa? Musykil betul.

"Nal nak ajak Aidora keluar makan."

"Keluar makan? Kenapa? Ada sambutan apa-apa ke? Nak kata birthday Nal, lambat lagi."

"Aidora tak sudi nak keluar dengan Nal ke?" Soal Jenal sedikit resah sambil ekor matanya meleret ke arah tiga rakannya yang sabar menanti.

"Tapi....bukan ke Nal tak suka keluar waktu weekdays? Kenapa ubah fikiran?" Dalam hati Aidora, dia pasti semua itu disebabkan rancangan dari rakan-rakan Jenal. Dan pasti ada sebab munasabah kenapa Jenal ambil keputusan untuk mengajak dia bersama.

"Err..." Jenal menarik Aidora supaya berdiri jauh sedikit dari teman-temannya yang lain. "Sebenarnya, Rosli nak ajak awek dia keluar. Tapi awek dia tak nak keluar berdua sahaja. Jadi, Rosli ajak Nal, Nizam dengan Zul turut serta. Cuma rasa tak seronok pula kalau awek dia seorang je yang perempuan. Tu yang Rosli minta Nal ajak Aidora sekali, supaya awek dia tak rasa kekok sangat." Jenal akhirnya menjelaskan perkara yang sebenar supaya Aidora tidak terus bertanya.

"Maknanya, kalau bukan sebab Rosli, Nal memang tak adalah sangat nak keluar dengan Aidora." Aidora sebak bila dapat tahu tujuan sebenar Jenal mengajaknya keluar.

"Aidora, please jangan macam ni. Nal cuma nak tolong Rosli. Kesian kat dia yang dah lama sangat cuba nak ajak awek dia keluar. Inilah satu-satunya peluang dia. Nal harap sangat Aidora dapat tolong dia. Lagipun Aidora kata, Aidora nak sangat keluar dengan Nal. Jadi, apa salahnya sambil menyelam, minum air." Pujuk Jenal dengan harapan Aidora mahu menolong Rosli.

Kalau diikutkan hati, mahu saja Aidora menolak ajakan Jenal, tapi mengenangkan Rosli yang berharap sangat Aidora ikut sama, akhirnya dia bersetuju untuk turut serta. Tapi malangnya, sebaik sahaja tiba di asrama teman wanita Rosli, dia pula tak dapat keluar, sebab kakaknya tiba-tiba datang melawat.

"So, macam mana ni, Rosli? Aku dah lapar ni?" Nizam merungut sambil memegang perutnya yang sejak dari tadi asyik berbunyi.

"Tak apalah, kita pergi keluar makan jugalah. Aidora macam mana? Tak kisah ke ikut kami?" Rosli mengajukan pertanyaan itu kepada Aidora kerana takut Aidora kurang selesa dengan mereka.

"Aku rasa lebih baik Aidora tak ikut sekali." Jenal yang menjawab bagi pihak Aidora. "Lagipun tak manis kalau dia seorang perempuan, keluar dengan kita berempat. Korang tunggu sini, sementara aku pergi hantar Aidora semula ke asrama." 

Aidora hanya terkulat-kulat memandang rakan-rakan Jenal yang memandangnya dengan rasa sangat bersalah.

"Jenal! Nanti dulu. Tak payahlah hantar Aidora. Alang-alang dah keluar ni, jom jelah kita keluar makan sekali. Aku belanja. Dah jom!" Rosli terus menghidupkan motorsikalnya.

Jenal memandang Aidora yang masih duduk di atas motorsikal bersamanya. "Betul Aidora masih nak ikut kami? Tapi..."

Aidora tak tunggu lagi dan terus melompat turun dari motorsikal Jenal. Dia tahu sangat apa yang Jenal hendak sampaikan padanya. Sebelum dia malu, lebih baik dia tidak turut serta.

"Rosli...tak apalah, aku tak ikut. Mungkin lain kali sajalah." Aidora menolak segera pelawaan Rosli.

"Jangan macam ni, Aidora. Serba salah aku dibuatnya."

"Tak apa, Rosli. Tak ada rezeki aku. Korang pergilah. Aku balik dulu."

"Aidora! Tak nak Nal hantar ke?" Jenal menyoal Aidora yang sudah beberapa langkah di depan.

"Tak apalah, Nal. Aidora boleh jalan kaki. Bukannya jauh pun." Aidora melambaikan tangan sambil memegang helmetnya dengan tangan yang satu lagi.

"Aidora! Nanti dulu!" Nizam memecut motorsikalnya dan berhenti di sebelah Aidora. Kemudian dia turun dari motorsikalnya dan memaksa Aidora mengganti tempatnya. "Guna motorsikal aku ni. Besok aku datang ambil dari kau semula."

"Tapi, Nizam..." Mata Aidora mula berair. Terharu dengan sikap Nizam yang lebih mengambil berat tentang dirinya dari Jenal sendiri.

"Jangan degil, Aidora. Aku akan lebih susah hati tengok kau balik ke asrama jalan kaki sorang diri. Dah...pergi balik. Tapi sebelum tu, Aidora...Tolonglah jangan biar Jenal layan kau macam ni." Pesan Nizam sebelum berlari semula kepada rakan-rakannya termasuk Jenal.

Dengan muka yang dibasahi airmata, Aidora terus memecut motorsikal Nizam ke arah asramanya, tanpa berpaling sekali pun pada Jenal.