-4-

Aidora menggaru kepalanya yang tidak gatal apabila Abang Fendi tiba-tiba memintasnya sebelum sempat dia keluar dari bilik latihan.

"Kenapa ni, Abang Fendi? Lain macam je saya tengok."

"Boleh saya jumpa awak sekejap tak? Saya ada hal nak cakap dengan awak sikit."

"Abang Fendi nak ajak saya dating ke? Kenapa tak cakap awal-awal."

"Ish! Awak ni, Aidora...ke situ pulak. Saya ada hal lain yang saya nak bicarakan dengan awaklah."

Aidora diam memandang Nik dan Azzir yang sedang menunggu di pintu keluar.

"Err..kalau macam tu, Abang Fendi tunggu kejap. Saya nak beritahu diorang berdua tu dulu." Kata Aidora sebelum pergi mendapatkan Nik dan Azzir.

"Kenapa tu, Aidora?" Soal Nik sebaik sahaja Aidora mendekati mereka.

"Abang Fendi nak jumpa kejap. Ada hal dia nak cakap. Sebab tu aku rasa lebih baik korang berdua pergi dulu. Takut lama pulak meeting aku dengan Abang Fendi." Arah Aidora kerana tidak mahu mereka menunggunya.

"Kalau macam tu, Aidora, kitaorang tunggu kat gerai jelah. Nak aku orderkan makanan untuk kau dulu tak?" Tawar Nik pada Aidora.

"Kau belanja ke?"

"A'ah aku belanja, tapi kau yang bayar." Pintas Nik selamba.

"Ish! Kedekutnya....Baru je nak rasa gembira sebab ingatkan kau nak belanja. Potong stim betul." Aidora mencebir bibirnya pada Nik.

"Tak apa, kak. Kalau kak Nik tak nak belanja, biar saya saja yang belanja akak." Azzir pula menawar diri.

Terus Aidora tersenyum senang. "Betul ke ni, Azzir?"

"Betul..."

"Kalau macam tu, tolong orderkan akak nasi goreng paprik dengan milo ais."

"No problem, kak."

"Aik! Takkan kak Aidora je awak belanja, kak Nik tak nak belanja jugak ke, Azzir?" Soal Nik, yang cemburu dengan layanan istimewa yang Azzir berikan kepada Aidora.

"Saya okay je, Kak Nik." Azzir bersetuju tanpa banyak soal.

"Serius ke, Azzir?"

"Laa...seriuslah ni."

"Macam tak percayalah pulak."

"Kalau macam tu kan, Azzir, tak payahlah belanja Kak Nik. Belanja akak sorang je. Sebab dia tak percaya yang Azzir nak belanja dia." Usik Aidora, sengaja nak mengenakan Nik yang mula menarik muka masam.

"Ala...janganlah macam ni. Nak merajuklah lagu ni." Gumam Nik, merajuk sedih.

"Ala...sayang bucuk bucuk roommate aku...Janganlah merajuk. Aku gurau je."

"Yelah, Kak Nik. Janganlah merajuk. Saya confirm belanja akak." Pujuk Azzir dengan senyuman yang melebar kerana gelagat Aidora dengan Nik yang comel.

"Amin. Ni yang seronok nak dengar ni." Nik melompat gembira.

Aidora sekadar menggelengkan kepala melihat gelagat Nik yang adakalanya lebih kebudak-budakkan dari dia sendiri.

"Kalau macam tu, kitaorang gerak dululah, Aidora. Jangan lambat sangat tau!" Pesan Nik sebelum dia menggamit Azzir dan mengajaknya beredar.

Aidora sekadar mengangguk sebelum dia masuk semula ke bilik latihan dan duduk di sebelah Abang Fendi yang sudah lama menanti.

"Lamanya awak biarkan saya menunggu kat sini." Jeling Abang Fendi geram.

"Janganlah marah, Abang Fendi. Tak baik untuk kesihatan." Pujuk Aidora cuba membuat Abang Fendi tersenyum semula.

"Abang Fendi tak marah pun, cuma mulut ni je tak sabar nak bercerita, nak sampaikan pada Aidora satu rahsia." Abang Fendi memulakan bicaranya.

"Apa dia, Abang Fendi? Dari nada suara Abang Fendi, bunyi macam serius je. Seram pulak saya dibuatnya."

"Tak adalah serius sangat, cuma saya sebenarnya nak beritahu awak satu rahsia menarik berkaitan dengan En. Azhar awak tu." Abang Fendi tersenyum penuh makna.

"Rahsia apa pulak, Abang Fendi? Ada rahsia yang lebih menarik daripada hal cicak tu ke? Tapi kenapa perlu saya tahu? Peliklah Abang Fendi ni." Soal Aidora bertubi-tubi.

"Sebabnya, rahsia ni, ada kena mengena dengan awak, Aidora."

"Part ni yang buat saya rasa tak senang duduk ni." Aidora mula berasa resah. Kalau perkara yang hendak diperkatakan berkaitan dengan dirinya, sudah pasti semuanya yang buruk-buruk belaka.

"Awak nak tahu ke tak?"

"Kalau berkaitan dengan saya, mestilah nak, Abang Fendi." Perasaan ingin tahu Aidora mula memuncak.

"Kalau awak nak tahu, sebenarnya, nama awak tak pernah lekang dari bibir En. Azhar. Ada saja cerita yang dia bawa pulang pasal awak."

"Cerita yang baik ke yang buruk, Abang Fendi?"

"Selalunya yang baik-baik saja. Tak pernah sekali pun dia bercerita perihal yang tak baik pasal awak. Naik bosan juga bila dia selalu sangat memuji awak."

Aidora terkulat-kulat menatap wajah Abang Fendi seperti tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut lelaki itu. Tak mungkin dia tersalah dengar. Telinganya masih belum pekak lagi. Setiap butir kata Abang Fendi memang sangat jelas sekali, tapi Aidora masih sukar untuk mempercayainya.

"Tak mungkinlah, Abang Fendi. Susah saya nak percaya." Aidora masih enggan menerima kenyataan.

"Sebab itulah saya ketawa bagai nak rak tadi. Saya pun tak percaya bila dia buat macam tu pada awak. Saya rasalah, Aidora, entah-entah, En. Azhar syok kat awak tak?"

Aidora terdiam mendengar kata-kata Abang Fendi yang langsung tidak masuk akal. Tak mungkin Profesor Serba Tau tu ada menaruh hati pada dia. Yang pasti, hatinya tidak pernah terbuka untuk lelaki itu. Lagipun, Aidora sudah ada Jenal. Kenapa perlu dia fikirkan tentang perasaan En. Azhar kepadanya?

"Jangan-jangan Abang Fendi tipu saya. Abang Fendi cuma nak kenakan saya kan?"

"Tak percaya sudah. Saya berani potong jari kalau saya tipu awak, Aidora." Abang Fendi bertaruh dengan berani.

"Apa-apa sajalah, Abang Fendi. Yang pasti, memang susah saya nak percaya." Balas Aidora, masih tetap dengan pendiriannya.

"Terpulanglah pada awak, Aidora. Tapi itulah hakikatnya." Jawab Abang Fendi mempertahankan kenyataannya.

"Itu je ke rahsia yang Abang Fendi cuba nak sampaikan pada saya?"

Abang Fendi mengangguk perlahan.

"Kalau macam tu, memandangkan Abang Fendi dah sempurnakan tujuan Abang Fendi berjumpa saya, saya ingat saya nak minta diri dululah, Abang Fendi. Lebih baik saya layan nafsu makan saya, dari layan cerita fiksyen Abang Fendi. Selamat malam, Abang Fendi." Aidora terus bangun dan meninggalkan Abang Fendi yang masih lagi duduk di tempatnya.

Tiba di gerai, Aidora lihat, hanya tinggal Azzir sahaja yang setia menantinya.

"Yang lain dah balik ke?" Tegur Aidora sebaik dia tiba di meja Azzir.

"A'ah...Semua balik dulu sebab kononnya banyak homework perlu diselesaikan." Jelas Azzir pada Aidora.

"Aiseh...Sorry, Azzir. Pasal akak, awak terpaksa buang masa kat sini." Aidora merasa sangat bersalah pada pasangan tarinya.

"Saya okay je, kak. Tak ada masalah pun. Ada handphone peneman setia saya. Lagipun tutorial saya dah selesaikan semua dan esok, memang kebetulan saya tak ada kelas. Itu yang saya terus lepak tunggu akak."

"Thanks, Azzir. Kalau tidak, bosannya terpaksa makan sorang-sorang." Aidora mula terliur melihat nasi goreng paprik di depan mata. Dia terus mencapai sudunya dan mula menjamah. "Azzir, lepas ni teman akak keluar pergi pasar malam sekejap, boleh tak?" Pinta Aidora selepas menelan makanan yang hancur dikunyah di dalam mulutnya.

"Pasar malam? Kenapa nak ke sana?" Soal Azzir curiga.

"Nak cari barang penting untuk misi akak." Aidora mengangkat keningnya sambil menghirup milo ais hingga tinggal setengah.

"Misi apa, kak? Ni mesti ada berkaitan dengan En. Azhar, betul tak?"

"Ding! Dong! Dang! Tepat sekali jawapannya." Aidora ketawa mengekek.

"Tak nak kongsi dengan saya ke misi akak tu?" Azzir cuba mencungkil rahsia Aidora.

Aidora berfikir sejenak. Dia tidak pasti sama ada dia patut beritahu Azzir atau tidak. Tapi melihatkan muka mengharap Azzir dan mengenangkan kesanggupannya menunggu dia, akhirnya Aidora mendedahkan juga misi yang bakal dijalankan esok.

"Akak biar betul?!" Mata Azzir terus terbeliak bila mendengarkan rancangan yang Aidora fikirkan untuk sempurnakan misinya. "Bahaya tu, kak. Kalau jadi apa-apa nanti macam mana? Takkan akak tergamak nak malukan dia?"

"Apa salahnya, Azzir. Dia pun dah pernah malukan akak sekali, so, akak rasa sudah sampai masanya akak pulangkan paku buah keras."

"Entahlah, kak. Tapi saya rasa berat hatilah, kak."

"Jadi, Azzir tak nak temankan akak ke pasar malamlah?"

Azzir bungkam. Tak pasti apa yang perlu dia buat.

"Tak mengapalah, Azzir. Akak akan pergi sendiri. And thanks sebab belanja akak." Aidora terus bangkit meninggalkan nasi goreng yang masih penuh di pinggan kerana merajuk dengan Azzir yang tidak menyokong misinya.