-9-

"Ni apa ni?! Keras macam batu! Tangan tu, lenggok lagi! Punggung tu keluarkan! Jangan simpan kat dalam! Yang perempuan tu, mendada sikit!" Tempik abang Fendi hingga bergegar dinding bilik latihan yang telah dikhaskan untuk mereka berlatih menari. "Aidora! Azzir! Tolong menari ikut rentak! Dan awak, Masni! Kenapa senyum macam iklan Colgate?! Ani! Wan! Eye contact mesti ada! Nik! Hisyam! Saya suruh awak menari, bukan ketawa!" Marahnya lagi tanpa henti sambil kakinya ligat ke sana ke mari dengan ekspresi muka yang menggerunkan.

Dari satu pasangan tarian, dia bergegas ke pasangan yang lain, memperbetulkan setiap langkah sumbang atau perkara yang nampak salah di sisinya. Tiada seorang pun yang terlepas dari tengkingannya termasuklah Aidora. Ada saja kesalahan yang ditemui abang Fendi hingga dia tidak dapat lagi menyembunyikan rasa marahnya dan terus menghentikan latihan.

"Apa ni?!!" Jerit abang Fendi dengan nada suara yang agak lantang, hingga boleh didengari mereka yang berada di luar bilik latihan tarian. Tangannya dikepalkan, dan tubuhnya kelihatan menggigil kerana menahan rasa amarah yang tunggu masa saja untuk meletup.

Aidora dan penari-penari yang lain, terkulat-kulat di tempat masing-masing, takut hendak mengangkat muka menghadap abang Fendi yang merah padam.

"Sudah berkali-kali saya ajar, masih tak ada sebarang kemajuan! Kamu semua sedar tak, yang minggu depan, minggu Pertandingan Seni Pentas?!" Soalnya dengan wajah menyinga sambil pandangan matanya diarahkan ke setiap penari yang tegak membatu. "Kamu sedar tak?!!" Dia mengulangi soalannya dengan suara yang agak keras, bila tiada seorang pun yang membuka mulut.

"Sedar....." Perlahan sahaja jawapan yang diberi. Masing-masing tunduk merenung lantai, termasuklah Aidora.

"Baguslah kalau awak semua sedar. Tapi...kenapa dah lebih sebulan kita berlatih, masih ada lagi yang terlupa?! Kenapa masih lagi tak serentak?! Kamu ni, nak menang ke tak nak?!" Abang Fendi menyilangkan tangannya di dada sambil berjalan mundar-mandir di hadapan para penari. "Hei!! Kamu ni dah tak ada mulut ke?! Saya tanya, kamu ni, tak nak menang ke?!" Teriaknya seperti seorang ketua komando.

"Nak, abang Fendi.." Suara ramai menjawab takut-takut.

"Kuat lagi!!"

"Nak, abang Fendi!!" Suara mereka menjadi lebih kuat kerana takut abang Fendi bertambah marah.

"Kalau macam tu, tunjukkanlah pada saya!" Kata abang Fendi mahu membakar semangat penarinya. "Ini peluang terakhir kamu semua...Kita akan berlatih sekali lagi untuk kali yang terakhir dan kalau ada yang buat silap lagi, saya akan terus tarik diri dan tak nak mengajar lagi." Ugut abang Fendi tanpa berselindung, kerana dia sudah kehilangan tenaga untuk terus mengajar para penarinya yang kelihatan tidak begitu memberikan komitmen kepada tanggungjawab yang telah diserahkan kepada mereka.

Aidora berasa agak cuak dengan ugutan abang Fendi. Tak mungkin seorang guru tarian yang sangat commited dengan kerjanya, tergamak memperlakukan mereka sebegitu. Tapi dia nekad untuk tidak melakukan sebarang kesalahan kerana rasa hormatnya terhadap abang Fendi.

"Okay..sekarang..semua ambil tempat masing-masing dan bersedia!" Arah abang Fendi sebelum muzik yang digunakan untuk tarian mereka, dimainkan semula. Setelah itu, dia hanya duduk diam sahaja, memerhatikan setiap langkah tarian yang dipersembahkan.

Walaupun abang Fendi langsung tidak bersuara sepanjang latihan, tapi mereka sedar, mereka masih tidak dapat mencapai tahap yang abang Fendi inginkan. Lihat saja jelingan tajam yang dilemparkan kepada mereka, bagaimana bibirnya mula digetap rapat, manakala tangannya tidak lekang dari mengusap mukanya yang kelat dan ketat. Dan sebaik sahaja tarian yang dipersembahkan tiba ke penghujungnya, tanpa pamitan, abang Fendi terus angkat kaki dan keluar dari bilik latihan tarian dengan rupa yang sangat masam.

Aidora terus mengeluh panjang. Dia ingatkan, selepas latihan, dia ingin berbicara dengan abang Fendi, nak minta tolong temukan dia dengan En. Azhar, tapi dengan keadaan abang Fendi seperti itu, memang Aidora yakin, peluangnya untuk mendapatkan bantuan abang Fendi adalah sangat tipis sekali.

"Eh...you all rasa, dia marah tak?" Soal Agnes, salah seorang penari senior yang turut terlibat dalam Pertandingan Seni Pentas itu nanti.

"Tak kot.." Nik menggelengkan kepala walaupun dia separa yakin dengan jawapannya sendiri.

"Tapi rasa-rasa...confirm dia sedang marah. Cubalah tengok muka dia tadi. Nak jeling pun takut. Dah macam nak makan orang dah."

"Taklah, kak Ani. Lan rasa, dia tak marah. Kalau marah, mesti kita dah kena sembur tadi sebelum dia pergi."

"Tapi, Lan...Aku pulak rasa, yang abang Fendi memang tengah marah giler kat kita semua." Azzir pula menyampuk, memberikan pandangan rasminya.

"Aku pun sama macam Azzir, Lan. Aku rasa dia memang tengah marah, sebab tu dia pergi macam tu saja. Jangan-jangan, dia akan betul-betul tarik diri lepas ni." Hisyam menyuarakan pendapatnya pula.

"Ku ni, Sham, jangan pandai-pandai buat andaian je. Kalau masin mulut kau tu, kang dah naya, kita juga yang susah nanti. Lebih baik kita tengok je esok. Kalau dia datang, maknanya..dia memang tak marah." Aidora memberi cadangan dan semua yang turut berada di situ mengangguk setuju.

"Kalau dia tak datang, macam mana, kak Aidora?" Soal Azlan kerana bimbang akan sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku.

"Kalau macam tu, nampak gayanya, kita semua kenalah pergi memujuk abang Fendi supaya kembali kepada kita." Jawab Aidora bersama keluhan panjang.

Esok malam, selesai saja solat Isyak, Aidora dan penari-penari yang lain sudah mula menunggu di bilik latihan dengan penuh debaran. Aidora sendiri tidak senang duduk. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk, dan ada kalanya, dia mundar-mandir ke sana ke mari, untuk menenangkan rasa gelisah yang melanda. Tapi setelah dua jam menanti, bayangan abang Fendi masih juga tidak kelihatan.

"Nampaknya...memang sah abang Fendi tengah marah dengan kita." Suara Masni memecah keheningan di dalam bilik itu. "Ini mesti sebab engkaulah, Aidora! Jangan-jangan dia gaduh dengan En. Azhar, dan sebab itulah dia lepaskan kemarahan dia pada kita!"

Aidora terkedu bila kata-kata Masni sampai ke telinganya. Dia langsung tidak terfikir akan kemungkinan yang satu itu.

"Kak Masni! Mulut tu jangan celupar!" Marah Azzir yang sudah berdiri bercekak pinggang, lagak seperti hero Melayu terakhir.

"Betul tu, kak Masni. Jangan main sedap mulut je tuduh kak Aidora. Lan rasa, kalau betul dia marah sebab bergaduh dengan En. Azhar, mesti dia terus serang kak Aidora. Tapi semalam, bukan kak Aidora saja yang kena, kita semua turut disemburnya." Azlan yang tidak tahan dengan sikap Masni, turut campur tangan dan membela Aidora.

"Eleh...Macamlah Lan tak tahu...Kak Aidora kan salah seorang penari kesayangan abang Fendi. Takkanlah dia nak sembur orang kesayangan dia seorang saja. Mestilah dia sembur semua sekali supaya tak nampak ketara sangat yang sebenarnya dia tengah marah pada perempuan gedik tu." Cemuh Masni sebab tidak puas hati bila Aidora dibela mereka.

"Kak Masni!!" Tengking Azzir bengang.

"Azzir...Lan..Sudahlah tu..Mungkin ada betulnya cakap kak Masni tu. Mungkin pergaduhan akak dengan En. Azhar, salah satu punca abang Fendi naik darah tiba-tiba." Aidora mencelah, mengiakan kemungkinan yang diperkatakan Masni itu. Dan kalau benarlah itu puncanya, memang seratus peratus kesalahan terletak di bahu Aidora.

"So, apa kita nak buat sekarang? Kita masih perlukan khidmat abang Fendi. Kalau tak ada dia, susahlah kita." Soal Nik yang mahukan penyelesaian.

"Tak apalah. Sebagai menebus kesalahan yang mungkin disebabkan oleh aku, jadi aku sendiri yang akan jumpa abang Fendi dan pujuk dia. Tapi...masalahnya sekarang, kat mana nak cari abang Fendi?"

"I tahu kat mana dia selalu lepak.." Jawab Agnes bersama senyuman lebar.

"Kat mana, kak Agnes?"

"Kat mana lagi kalau tak kat Pusat Kebudayaan. Dia kan guru tari kepada penari Pusat Kebudayaan jugak."

"Yelah...tak terfikir pulak pasal tu. Kalau macam tu, sekarang jugak aku pergi cari dia." Aidora cepat-cepat beredar supaya dapat bertemu abang Fendi dengan segera sebelum terlambat.