-19-

Dari pagi hinggalah ke petang, Aidora tak berhenti-henti mengeluh. Fikirannya sangat kusut kerana pengakuan cinta En. Azhar kepadanya, semalam. Langsung tidak pernah terlintas di fikirannya, yang En. Azhar sudah lama menaruh hati kepadanya. Seriuskah dia? Atau En. Azhar ada matlamat tertentu yang disembunyikan di sebalik pengakuan itu? Dan kalau betul En. Azhar serius, apa yang perlu dia lakukan? Menolak? Menerima?

Dengan fikiran yang masih bercelaru, Aidora melangkah masuk ke bilik latihan tarian yang terletak di sebelah dewan makan asrama itu. Dan langkahnya mati serta-merta, bila dia seperti melihat kelibat En. Azhar di dalam bilik itu.

Aidora menggosok matanya berkali-kali untuk memastikan yang kelibat En. Azhar bukan sekadar bayangan, dan ternyata memang lelaki itu ada di situ, sedang berbual mesra dengan Nik dan Noraini.

"Kenapa dia datang lagi?" Ngomel Aidora perlahan sebelum mendekati abang Fendi dan menarik lelaki itu ke satu sudut, jauh dari yang lain, untuk berbicara.

"Ha..Aidora...Apahal ni?"

"Abang Fendi, apa dia buat kat sini?" Bisik Aidora. Jari telunjuknya dituding ke arah En. Azhar yang masih belum perasan akan kehadirannya.

Abang Fendi mengeluh perlahan. "Entahlah, Aidora. Saya sendiri pun tak faham, kenapa dia beria-ia sangat nak ikut saya ke sini. Saya memang kalau boleh tak bagi dia ikut, sebab saya tahu, dia sebabkan awak rasa terganggu. Tapi bila dia dok buat muka sepuluh sen dan berdegil nak ikut juga, tak sampai hati pula saya nak tolak. Takut nanti dia buat hal lagi macam hari tu."

"Tapi tak bestlah dia ada, abang Fendi. Saya tak boleh nak concentrate sebab dia punya renungan yang sangat menyeramkan tu." Balas Aidora bersama jelingan tajam yang dilemparkan pada En. Azhar. Tapi dia sedikit terkejut bila melihat En. Azhar sedang berbual mesra pula dengan Masni, siap bertepuk bertampar lagi. Takkanlah cinta En. Azhar dah beralih arah? Dan kalau betul pun dah beralih arah, kenapa Masni? Kenapa dia yang dipilih? Tak ada orang lain ke?

"Saya faham, Aidora, tapi tak boleh ke awak buat macam dia tak wujud je dalam bilik ni?" Rayu abang Fendi dengan muka kasihan.

"Tak tahulah, abang Fendi. Tapi saya cuba jelah. Jangan pulak abang Fendi nak marah saya, kalau saya tersilap langkah. Kalau abang Fendi nak marah juga, marahlah En. Azhar, sebab dia puncanya saya tersilap."

"Boleh saja...Tapikan...saya tertanya-tanyalah, Aidora. Kenapa kehadiran En. Azhar buat awak kalut ye? Jangan-jangan...awak ni sebenarnya...suka kat En. Azhar jugak tak? Sebab setahu saya, kalau dalam hati tu memang tak tertulis nama En. Azhar, dia buat apa pun depan awak, saya rasa awak buat tak peduli je. Tapi, yang peliknya...awak rasa terganggu pulak."

"Hah! Apa yang abang Fendi merepek ni? Mana ada saya suka dia!" Suara Aidora meninggi sikit, dan mengundang perhatian dari semua yang ada di bilik tu, termasuklah En. Azhar.

"Betul ke awak tak suka dia?" Bisik abang Fendi perlahan. Matanya melirik ke arah En. Azhar. "Baik awak selami betul-betul isi hati awak yang sebenar, Aidora."

"Ish! Malaslah nak layan abang Fendi lagi. Sama je dengan semua orang." Balas Aidora dengan wajah yang masam sebelum mengambil tempat di sebelah Azzir. Fikirannya mula serabut memikirkan kata-kata abang Fendi, hingga tak sedar En. Azhar sudah berdiri di sebelah.

"Kenapa marah-marah ni, Aidora?" Soal En. Azhar sambil tangannya mengelus lembut rambut Aidora.

"Ha.." Mulut Aidora terus melopong. Tapi seminit kemudian, cepat-cepat dia menjauhkan diri dari En. Azhar bila perasan, mereka berdua telah menjadi tumpuan semua yang berada di dalam bilik itu.

"Saya tanya, kenapa Aidora marah-marah?" Tona suara En. Azhar berubah sedikit keras bila matanya terpandang tangan Aidora yang berpaut pada lengan Azzir. Mujur Azzir bertindak cepat memisahkan dirinya dari Aidora, kalau tidak, penumbuk sulung sudah pasti bakal hinggap di muka kacaknya.

"Tak ada...Mana ada saya marah. Saya geram je." Aidora menjawab acuh tak acuh.

"Saya rasa, saya tahu macam mana nak hilangkan rasa geram awak tu. Nah..ini untuk awak." En. Azhar mengeluarkan coklat Zip perisa strawberry dari kocek seluarnya, lalu menyerahkan kepada Aidora.

Wajah Aidora terus berubah ceria. Itu memang coklat kegemarannya. Tapi macam mana En. Azhar tahu? Memang coklat itu ubat mujarab yang boleh buat dia ceria semula.

En. Azhar tersenyum lebar. Akhirnya, dia sudah bertemu salah satu benda penting yang boleh buat Aidora lemah. Memang tak sia-sia dia bertanya pada kawan-kawan sekelas Aidora tentang perkara-perkara yang menarik mengenai gadis separa Jepun itu.

"Amboi, kak Aidora...happynya dia...Dah hilang ke perasaan geram yang membuak-buak tu?" Usik Azzir dengan nada suara sinis.

"Siapa kata dah hilang? Geram tu tetap ada. Tapi sebab dah ada coklat ni...dah kuranglah sikit geram tu." Aidora tersengih. Giginya terus mengunyah coklat yang sudah selamat berada di dalam mulut.

"Kalau Aidora suka, hari-hari saya boleh belikan untuk Aidora." Pintas En. Azhar senang hati. Sekurang-kurangnya dia berjaya membuat gadis separa Jepun pujaan hatinya itu tersenyum riang seperti selalu.

"Biar betul, En. Azhar? Takkan En. Azhar sanggup nak habiskan duit dekat roommate saya ni? Bukannya dapat pulangan apa-apa pun." Nik mencelah dan menyiku Noraini yang nampak senang dengan perkembangan positif antara Aidora dengan En. Azhar.

"Kenapa, roommate? Jealous ke, aku dapat coklat?" Aidora mencebir sambil menjilat saki baki coklat yang berada di jarinya.

"Kau ni, Aidora, makan coklat macam budak kecik. Comot giler! Tak malu ke dengan En. Azhar. Umur dah nak masuk dua puluhan, tapi perangai mengalahkan budak kecil." Perli Masni dalam nada cemburu. Dia tidak begitu suka bila melihat Aidora mendapat perhatian lebih dari dirinya sendiri. Lebih-lebih lagi dari En. Azhar. Dia memang tak menyangka yang En. Azhar tu seorang yang sangat kacak, malahan seratus kali lebih kacak dari teman lelakinya sendiri. Kalau Aidora menolak, mahu saja dia mencuba nasib, tapi sayang, En. Azhar hanya nampak Aidora.

"Tak apa, Masni..Macam mana comot pun Aidora di mata orang lain, tapi dia tetap nampak comel di mata saya." Dengan selamba En. Azhar mengesat kesan comot di bibir Aidora dengan ibu jarinya, sebelum baki coklat yang berada di ibu jarinya itu dimasukkan ke dalam mulutnya.

Aidora tergamam. Bukan dia seorang sahaja, bahkan semua yang ada di dalam bilik latihan tarian itu turut terkejut dengan tindakan berani mati En. Azhar.

Abang Fendi terus pergi kepada En. Azhar dan menarik telinga teman serumahnya itu. "Dah..dah...Jangan nak bercengkerama pulak dalam bilik ni. Ini bukan pentas lakonan drama swasta. Ini bilik latihan tarian. Kau, Azhar, baik kau duduk diam-diam kat tepi, kalau tidak, aku halau kau dari bilik ni." Abang Fendi menolak En. Azhar supaya duduk di kerusi yang telah disediakan di satu sudut. "Dan yang lain-lain tu, wayang dah habis ye. Silalah ambil tempat masing-masing dan berdiri sebelah partner awak, sebab latihan dah nak bermula. Kali ni, saya nak persembahan yang  perfect. Selagi tak perfect, jangan haraplah kamu boleh balik bilik." Tegas abang Fendi dengan nada suara yang sedikit keras, sambil memastikan mereka benar-benar sudah bersedia di tempat masing-masing, sebelum dia menghidupkan lagu yang mengiringi tarian mereka. Kemudian dia mula memerhatikan penari-penarinya satu persatu, dengan harapan tiada satu pun yang tersilap langkah, sebagai petanda yang mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk Pertandingan Seni Pentas yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Aidora turut memberi tumpuan pada rutin tarian supaya tidak tersalah langkah. Namun, sekali-sekala, dia memerhatikan En. Azhar dengan ekor matanya. Dan setiap kali itu jugalah, hatinya akan berdegup kencang bila pandangan mereka bertaut.

Ah! Apa sudah jadi dengan dirinya? Kenapa jantungnya makin laju berdegup? Jangan-jangan...tekaan abang Fendi betul. Barangkali memang betul dia sudah mula sukakan En. Azhar. Tapi, betul ke hatinya sudah terpaut pada En. Azhar? Tanpa sedar, sekali lagi matanya melirik ke arah En. Azhar yang sedang tersenyum nipis kepadanya, dan secara automatik, bibir Aidora turut membuahkan senyuman tatkala pandangan mereka bertaut lagi.