BAB 1

SOFA empuk di ruang tamu menjadi tempat pertama untuk aku melepaskan penat dan lelah setelah seharian menguruskan kafe milikku sendiri . Tas tangan diletakkan di sisi. Televisyen terpasang tanpa ada sesiapa di ruang tamu kecuali aku yang baru sahaja melabuhkan duduk.

“Yaya, kenapa tak matikan tv ni? Membazirlah!” Aku memanggil adik sepupuku yang baru melintasiku. Ditangannya terdapat beberapa buah novel milikku. Aku menggelengkan kepala. Jika hobi aku suka mengumpul novel, hobi Yaya pula suka membaca novel yang kubeli.

“Alah, Kak Az ni. Yaya nak tengok movie. Yaya tengok ni, tak tinggal pun. Hmmm, Yaya pinjam novel Kak

Az tau.” Macam bagus saja lagaknya menjawab. Macam manalah populasi orang obesiti tidak meningkat kalau setiap kali ingin menonton televisyen, Yaya tidak pernah akan lupa untuk membawa jajan bersama.

“Cik Az, ini ada surat untuk Cik Az.”

Aku segera mengalihkan pandangan pada Mak Uteh yang menghampiri dengan menghulurkan sekeping sampul berwarna putih. Dengan kening bertaut aku tetap menyambut seraya mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Cik Az nak minum?” Mak Uteh bertanya prihatin.

Niat untuk membuka sampul ditangan terbantut seketika. Pandangan ditala pada laman wajah Mak Uteh yang dipenuhi garis-garis kedut. Biarpun penat, bibirnya masih murah dengan senyuman.

“Eh, tak apalah Mak Uteh, kalau Az nak minum, Az boleh ambik sendiri. Mak Uteh rehatlah ya?”

Mak Uteh nampak keberatan bila aku menyuruhnya berehat. Memang tidak sampai hati untuk menyuruh orang tua itu membawakan minuman sedangkan kudratku dua kali ganda lebih kuat daripadanya. Sepatutnya, Mak Uteh hanya perlu duduk di rumah sahaja melayan kerenah cucu-cucu tersayang dalam usia meniti senja itu. Namun, dia terpaksa bekerja demi menyara diri sendiri setelah ditinggalkan suami dan anak-anaknya yang tidak tahu erti berterima kasih.

“Kalau Cik Az nak apa-apa panggil aje Mak Uteh ya?” ujar Mak Uteh sebelum dia berlalu ke ruang dapur. Aku kembali menumpukan perhatian pada sampul yang berada di tangan. Sampul itu dibelek-belek seketika sehingga aku menjumpai abjad ‘TZH’ di bucu sampul. Tanpa dipaksa, bayangan wajah Tuah datang menerpa minda. Senyuman kecil terukir di bibir.

Sekeping kad berwarna ungu kegemaranku dikeluarkan dari sampul. Pandangan segera tertancap pada setiap baris kata yang tercetak.

‘ Undangan ke majlis reunion kelab Bakti Remaja 2006’

Sebaris ayat itu mula menggerakkan saraf otak. Memori-memori zaman persekolahan mula datang berlayar di minda. Sewaktu berada di tingkatan lima aku menyertai Kelab Bakti Remaja sekolah atas desakan teman-teman. Hendak tak hendak aku menurut jua kehendak mereka. Tawa kecil terletus perlahan. Lucu pula apabila mengingati saat-saat itu. Tiba-tiba ada rindu yang mampir di ruang hati. Rindu pada sekolah menengahku yang mana sudah tujuh tahun kutinggalkan.

“Kak Az ni kenapa? Dapat surat cinta eh? Kejap senyum lepas tu gelak sorang-sorang! Seram pulak Yaya tengok Kak Az ni”

Sapaan Yaya membuatkan aku sedikit tersentak. Hilang terus memori-memori manis yang datang bertandang di ingatan tadi. Aku memandang Yaya dengan muka tidak puas hati. Cuba mengawal rasa malu yang menyelubungi diri. Tidak tahu pula Yaya mengintip setiap perlakuanku sebentar tadi.

“Isy, mana ada! Yaya tu kenapa? Pandang Kak Az semacam. Sejak bila Yaya jadi stalker Kak Az ni?” sengaja aku mengusik Yaya yang terlalu menunjukkan minat untuk mengetahui isi kandungan kad di tanganku. Aku senyum sahaja melihat Yaya ketawa. Kantoilah tu!

“Kak Az dapat surat apa tu? Tak nak share dengan Yaya ke?” Yaya mula mengambil tempat di sebelahku, ingin merampas kad yang kupegang. Aku biarkan sahaja Yaya membaca isi kandungan kad tersebut. Tiada apa-apa yang perlu dirahsiakan.

“Kak Az nak pergi Pahang?” Yaya bertanya tanpa memandangku.

“Kalau ya kenapa?” aku menyoalnya kembali. Sengaja ingin mengusik sepupu kesayanganku itu.

“Jauhlah Kak Az…”

Tanpa amaran aku merampas kad di tangan Yaya. “adikku sayang, Pahang dengan KL tak adalah jauh mana pun. Kak Az boleh drivelah.” Aku ketawa melihat wajah blur Yaya. Tas tangan dicapai, bersedia untuk bergerak ke bilik tidurku. Langkahku terhenti apabila Yaya menahan.

“Tapi…Yaya tak rasa papa akan benarkan Kak Az drive sorang-sorang. Errr….” Yaya kulihat keberatan untuk menyambung kata-katanya namun dapat kuagak apa yang ingin disampaikan. Senyuman dibibir sedikit pudar.

“Tak apalah Yaya, Kak Az naik dulu. Assalamualaikum Yaya.”

Anak tangga kudaki dengan rasa sebak yang menghimpit perasaan. Air hangat mula bertakung di kolam mata.

Ingatanku melayang pada kenangan bersama arwah ayah dan ibu.

BAHANG panas terik di luar kelas membuatkan aku jadi rimas dengan rambutku. Timbul rasa kesal kerana terlupa membawa gelang getah bersama. Akibatnya, aku asyik menolak rambutku yang panjang ke belakang. Niat hendak belajar sendiri terbantut. Sudahnya, aku menongkat dagu termenung jauh. Hendak berbual, Aida dan Umi tiada. Entah ke mana mereka menghilang.

“Hai Az! Kenapa ni? Resah semacam aje Tuah tengok.” Tuah tiba-tiba muncul di hadapanku lalu duduk di tempat Maria, bertentangan denganku. Senyuman manis terukir di bibirnya membuatkan hatiku tenang. Untunglah hidup jika Tuah yang kacak ini menjadi teman lelakiku.

“Tak ada apalah Tuah. Az rasa panas sikit. Nak ikat rambut getah pulak tak ada.” Aduku manja. Buku latihan di atas meja diambil lalu dikipas-kipaskan ke muka. Anak mata Tuah yang tajam merenungku, aku buat-buat tidak Nampak. Tuah memang gemar memandangku begitu.

“Lah…kenapa tak cakap Az nak getah? Kejap ya, Tuah tolong carikan untuk Az.” Tuah bergerak keluar dari kelas. Dia menuju ke kelas sebelah. Kami bebas keluar masuk kelas kerana ketiadaan guru. Ramai guru yang tidak dapat masuk ke kelas masing-masing kerana terpaksa menghadiri mesyuarat penting bersama pengetua. Hanya pengawas sekolah yang mengawal keadaan kelas. Aku memerhatikan gelagat Muhaimin mengayat Najihah. Sungguh terbaik apabila pengawas sekolah itu mengabaikan tanggungjawabnya demi mengurat kekasih hati.

Aida Dan Umi masuk ke kelas terus melabuhkan punggung di tempat masing-masing. Aku segera menurut apabila Aida menggamit, menyuruh aku menghampirinya. Malas mahu mengambil kerusi, aku duduk di atas meja Umi. Siap bersila lagi.

“Korang ke mana tadi? Boleh pulak tinggalkan aku sorang-sorang.” Aku menyebak rambut ke belakang. Rimas dan panas.

“Kitorang pergi tandas tadi. Tak kan kau nak ikut jugak kot.” Umi meleretkan suara. Ada senyuman bahagia

terukir di pangkal bibirnya.

“Hah, yang kau senyum-senyum ni kenapa? Apa yang jadi masa korang pergi tandas tadi?” Aku menepuk tangan Umi yang berada di atas meja. Aku memang sudah masak benar dengan perangai Aida dan Umi kalau sesuatu terjadi pada mereka.

“Kau Tanya Aida.” Jawab Umi pantas.

Aida menjuihkan bibir. “Dia bahagialah sebab Cikgu Wafi tegur dia tadi. Aku yang cun gila ni dia tak tegur pulak. Bengang betul! Ni mesti Si Umi ni buat sesuatu sampai Cikgu Wafi tak nampak aku.” Begitu beremosi Aida bercerita manakala Umi tersengih memanjang.

Padanlah. Budak berdua ni memang dah lama tangkap cintan dengan Cikgu Wafi, guru matematik kami yang muda remaja lagi kacak. Mereka sanggup mengheret aku meninggalkan Kelab Melancong semata-mata ingin menyertai Kelab Bakti Remaja yang diuruskan olah Cikgu Wafi. Gila! Memang tidak kunafikan ketampanan Cikgu Wafi namun benteng pelajar dan guru itu menjadi penghalang kuat untuk aku turut serta meminatinya. Aku tidak segila sahabat-sahabatku ini. Kalaulah Cikgu Wafi utu sudah berpunya, mati kataklah Aida dan Umi. Heheh.

“Korang berdua ni gediklah!” Ujarki seklai lagi menolak rambut ke belakang. Benar-benar tidak selesa.

“Kau ni kenapa Az? Tolonglah ikat rambut tu. Rimaslah aku tengok. Tahulah rambut kau tu cantik.” Ujar Aida mencubit pahaku. Aku menyeringai kesakitan. Bisa sungguh tangan minah ni.

“Kau ingat aku tak rimas ke? Aku tertinggal getah rambutlah. Tadi Tuah cakap nak tolong carikan tapi sampai sekarang tak muncul-muncul.”

Aida dan Umi saling berpandangan dan berbalas senyum penuh makna.

“apa?”

“Kenapa kau tak couple aje dengan Tuah tu? Nampak tak yang dia sukakan kau?” Umi mengusik namun aku tidak menyambut. Malas mahu melayan mereka berdua.

“Az, Tuah suka kau. Kalau dia tak suka kau, dia tak kan susah payah nak carikan getah untuk kau.” Kali ini Aida pula mengambil giliran untuk mengusik.

“Aku dengan Tuah tu kawan ajelah. Jangan nak mengada-ngada ya?” Aku berpura-pura marah. Bukan apa, aku tidak suka bila rakan-rakan sekelas mengusik aku dengan Tuah. Bimbang jika kekasih hati atau orang yang meminati Tuah akan memarahi aku yang tidak bersalah. Cewah!!

Bicara kami terhenti bila Tuah datang menghampiri, senyuman girangnya menghantar rasa senang di hati. Tuah memang kacak dan pandai bergaya. Tuah…nama yang aneh kan? Namanya yang unik menarik minatku untuk lebih mengenalinya. Tuah Zikri bin Halim. Nama yang sesuai dengan orangnya.

“kenapa Az duduk atas meja ni? Ambiklah kerusi. Tak eloklah duduk atas meja ni.” Tuah menghulurkan getah ke tanganku. Aku menyambut dengan senang hati. Rambut yang panjang segera dicekak lalu diikat kemas. Barulah selesa.

“alah, Az malas nak ambik kerusi. Nanti kena simpan balik.”

Tuah menggelengkan kepala. Aku hanya tersengih memandangnya.