BAB 4

ENCIK HADI memanggil Rania masuk ke biliknya sebaik sahaja dilihat kelibat gadis berusia 25 tahun itu melintasi biliknya. Dia memang sukakan Rania. Rania bukan sahaja cantik tetapi gadis itu sangat bersopan-santun.

“Ya encik, kenapa encik panggil saya?” soal Rania dengan muka yang penuh tanda tanya. Pelik benar dia dengan Encik Hadi sekarang ini. Pantang nampak dirinya melintas di hadapan bilik, pasti Encik Hadi akan memanggilnya. Kadang-kadang, tidak ada perkara penting pun yang mahu disampaikan oleh Encik Hadi.

Encik Hadi merenung tajam ke arah Rania. Perlahan-lahan dia menghampiri gadis itu. Lengan Rania dipegang kejap. Rania yang kaget pantas menepis tangan Encik Hadi.

“Encik buat apa ni?” ujar Rania agak meninggi.

‘Lelaki ini sudah melampau,’ desis hati Rania.

Ini bukan kali pertama Encik Hadi cuba menyentuhnya. Masuk kali ini sudah tiga kali Encik Hadi memperlakukannya seperti itu.

Jeritan Rania tadi, walaupun tidak jelas buah butirnya, namun sempat ditangkap oleh pendengaran Rayyan. Pantas Rayyan berkejar ke arah bunyi suara itu. Dilihatnya Encik Hadi sedang memeluk Rania daripada belakang dan mencium pipi gadis itu.

Rania cuba melepaskan dirinya namun tidak berjaya. Pegangan Encik Hadi terlalu kuat. Mahu ditolak muka lelaki itu daripada terus mencumbui dirinya. Namun apalah dayanya apabila tangannya turut dipegang kuat.

Rayyan yang melihat adegan itu daripada belakang menyangka Rania merelakan Encik Hadi memeluknya. Terasa darah dipam keluar daripada jantungnya dengan laju. Amarahnya datang tiba-tiba. Tergamak Rania bermain kayu tiga dengannya. Namun dia tahu, tidak mungkin Rania ingin membuat perkara itu di hadapan matanya jika benar kekasih hatinya itu mahu menduakannya. Ini pasti gara-gara Hadi.

“Hadi!” Rayyan menjerit sekuat hatinya. Sebuah tumbukan yang padu dilepaskan ke muka lelaki itu.

Berdarah mulut lelaki itu akibat tumbukan padu Rayyan tadi. Rania segera mendapatkan Rayyan dan bersembunyi di belakangnya. Pantas Rayyan menarik tangan Rania dan membawanya keluar daripada bilik Encik Hadi itu.

Antara mereka tiada bicara. Rania hanya mendiamkan diri kerana dia masih trauma dengan kejadian tadi. Perasaan cemburu pula sudah beraja di hati Rayyan. Dia tahu Rania tidak bersalah tetapi dia juga tidak dapat menerima apa yang dilihatnya tadi. Alangkah baiknya jika Rania tidak terlalu rapat dengan Encik Hadi.