BAB 1

Beberapa dulang hantaran peminangan yang bersusun di atas permaidani dipandang sekilas. Haji Fahmi Al-Qadri dan isterinya, Hajah Khatijah sedang duduk berbincang di ruang tamu. Perbincangan mereka kembali disambung sambil gelak tawa berselang seli.

Kelibat seorang gadis masuk ke ruang tamu tempat Haji Fahmi dan Hajah Khatijah sedang duduk rancak berbual. “Mak, abah. Jemput minum. Maira ada buat air kopi kegemaran mak.”

Husna Maira melutut di tepi meja kopi untuk meletakkan dulang berisi seteko air kopi dan sepinggan keledek goreng yang dibuatnya di dapur tadi. Malam sejuk begini, maknya memang suka kalau dapat minum kopi panas. Abah pula tak cerewet. Selera abah sudah ikut selera mak. Mereka dah hidup bersama hampir 30 tahun. Tentulah banyak perkara yang mereka berkongsi. Selera pun sama jadinya.

“Duduk, Maira. Mak dengan abah ada benda nak cakap.” Terus saja Maira jadi gelisah. Jarang sekali mak dengan abah ada perkara yang nak dicakapkan dengannya. Iyelah, dia dibesarkan jauh dari keluarga sejak dari kecil lagi. Dia dihantar untuk belajar di luar negara kerana permintaan datuk dan neneknya. Sememangnya datuk sebelah ibu amat menitikberatkan hal cucu-cucunya.

Datuk dan nenek tahu ayah dan mak tak mampu nak berbuat demikian dengan pendapatan sedia ada. Jadi, datuk dan neneklah yang beria mahu menampung pengajiannya di luar negara. Kalau ikut Maira, tentu sekali dia pilih dalam negara supaya lebih dekat dengan abah dan mak tapi dia terpaksa akur bila mak dan abah bersetuju dengan cadangan datuk neneknya.

Maira mengambil tempat duduk bersebelahan maknya. Segera tangan Hajah Khatijah merangkul tubuh anaknya ke dalam pelukan. Pipi mulus Maira diusap perlahan. Dia dan suami saling bertukar pandang dengan senyuman di bibir.

Hajah Khatijah memegang tangan anak bongsunya. “Maira. Maira tahukan abah dan mak sayangkan Maira? Kami sentiasa nakkan yang terbaik untuk Maira.” Ujarnya bermukadimah.

“Maira tahu. Maira faham.” Ujar gadis itu lembut. Dia yakin Hajah Khatijah sedang merujuk pada keputusan mereka untuk menerima pinangan yang tiba siang tadi.

“Apa yang mak dan abah fikir baik untuk Maira, Maira akan ikut. Maira percaya mak dan abah sentiasa buat yang terbaik untuk Maira.” Tambahnya lagi cuba menenangkan hati ibubapanya juga hatinya yang sebenarnya masih bergelodak hebat sebenarnya.

Bukan dia tidak percaya dengan keputusan yang diambil ibubapanya tapi dia lebih risaukan dirinya. Mampukah dia jadi isteri yang baik? Mampukah dia menjadi seorang ibu mithali? Terlalu banyak kekurangan diri yang membuatkan dia begitu khuatir untuk melangkah ke alam perkahwinan.