BAB 4

“Beritahu saja. Mummy tak akan marah.” Ujar Puan Auliya seakan mampu membaca fikiran anaknya ketika ini. Seorang ibu sudah tentu mampu untuk melakukan semua itu. Kekuatan naluri seorang ibu memang tidak boleh dinafikan lagi.

Nurul Qaireen membawa sampul surat yang disorok di belakangnya tadi ke atas meja. Sejurus itu, Puan Auliya mengerut dahi sambil tangan mencapai sampul surat itu. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.

“Surat apa ini?” Soal Puan Auliya. Tangannya teraba-raba untuk mengeluarkan isi sampul surat tersebut.

“Surat tawaran sambung belajar.” Jawab Nurul Qaireen lalu menundukkan kepala memandang lantai. Mata dipejam. Hujung bibir digigitnya lagi. ‘Ya Allah, tolonglah…” Hatinya berbisik.

Nurul Qaireen mengerling ke arah Puan Auliya yang ketika ini sedang membaca isi kandungan surat tersebut. Dia tidak mahu mengangkat wajah memandang terus ke arah ibunya. Dia seakan dapat mengagak apa respons yang bakal diterima daripada ibu.

Debaran hati terasa sungguh mencengkam jiwa. Jantungnya pula mula bertukar rentak. Berdegup kencang. Lantas, dia meramas-ramas pergelangan tangan. Dalam usaha memujuk diri agar bertenang.

Puan Auliya membelek helaian surat di tangan sepintas lalu. Sejurus itu, kedengaran bunyi keluhan terluah. Serentak itu juga kepalanya tergeleng-geleng.

“Maaf, Mummy tidak izinkan.” Putus Puan Auliya dengan nada suara yang lembut namun tetap ada tegasnya. Surat yang dipegangnya sebentar tadi dimasukkan kembali ke dalam sampul. Lalu diletakkannya di atas meja. Ipad kembali dicapai.

Nurul Qaireen pantas mengangkat wajah. Seperti yang dijangkakan. Itu yang bakal dia dengari dari mulut Puan Auliya. Namun dia tidak mahu terus mengalah. Dia akan berusaha untuk cuba memujuk Puan Auliya.

“Tapi adik minat bidang itu. Adik…” Nurul Qaireen cuba memujuk. Namun ayatnya tersangkut apabila Puan Auliya cepat-cepat memotong.