BAB 1

Ketika ini, Nurul Qaireen berdiri di tangga. Di tangannya, terdapat satu sampul surat. Di dalamnya terkandung surat tawaran bagi menyambung pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Enam bulan dia menanti. Penantian yang penuh dengan debaran dan teka-teki. Dia begitu mengharap, rezeki Allah masih ada buatnya. Dalam ribuan pemohon, dia mahu dirinya berada dalam kalangan yang terpilih. Itu yang selalu dipinta dalam setiap doa munajat yang dia panjatkan tanpa putus-putus kepada Yang Esa.

Memilih untuk tidak terus berada di bangku sekolah, menduduki apa-apa lagi peperiksaan besar, sama ada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mahupun Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), itu pilihan nekad daripadanya.

Biarpun pada mulanya, ada saranan daripada ibu agar dia memikirkan kembali keputusan itu, menimbang balik baik buruk tindakan yang bakal diambil. Alhamdulillah… dia yakin dengan keputusan yang telah dibuat.

Sejak dari itu, ibu tidak lagi bersuara mengenai perkara itu. Berkaitan hal itu, ibu sama sekali tidak akan memaksa malah tidak juga akan menghalang sekiranya tiba-tiba dia berubah fikiran untuk mengambil antara salah satu daripadanya. STAM ataupun STPM.

Kata ibu, “Kalau ambil, bagus… kalau tidak ambil, bukan bermakna tidak bagus. Sambunglah belajar di mana-mana sahaja sekalipun. Dua-duanya ada kelebihan masing-masing. Sekarang, apa yang perlu kamu buat, pilihlah apa yang terbaik bagi kamu.”

“Ikut gerak hati kamu kata apa. Tapi… dalam kamu ikut kata hati, perlu juga kamu berhati-hati, ada kalanya suara hati, sifatnya mampu menipu. Maka… tindakan terbaik, pohon petunjuk dari Allah.”

Bicara ibu suatu ketika dahulu, yang berbaur nasihat itu, masih lagi segar dalam kotak mindanya. Tertanam kukuh dalam hati. Masakkan dia akan lupa akan kata-kata itu. Sudah tentu tidak. Kerana kata-kata itu juga, dia memberanikan diri untuk berhadapan dengan ibu pada hari ini.