BAB 11

“Kalau adik nak jawapan berdasarkan pendapat abang… sebetulnya tindakan itu salah. Sebagai seorang anak kita perlu dengar apa yang ibu bapa suruh. Selagi mana ia tidak bertentang dengan ajaran islam, selagi itu juga kita perlu ikut.”

“Mungkin kita tidak suka… Tapi kita kena ingat, yang kita suka tidak semestinya terbaik untuk kita. Begitu juga perkara yang kita benci, mungkin sebenarnya baik bagi kita.”

Nurul Qaireen diam. Terpukul dengan nasihat itu. Kata-kata Rafiq ada betulnya. Dia tidak menafikannya. Lantas, dia terus diam membisu.

“Macam inilah… kalau adik yakin dan adik rasa tenang bila buat keputusan itu. Adik teruskan. Soal Mummy, biarkan abang cuba pujuk pula. Sekarang ini, adik perbanyakkan doa. Minta Allah lembutkan hati Mummy untuk menerima. Manalah tahu, tiba-tiba Mummy berubah hati. Hati manusia ini mudah dibolak-balik oleh Allah, bukan begitu?” Kata Rafiq bersama pertanyaan dengan nada berjenaka.

“Ya… Betul Ustaz. Ana faham.” Nurul Qaireen menyambut jenaka abangnya itu. Ketawa mereka akhirnya pecah. Sedikit sebanyak kegalauan hati dapat diusir seketika.

Nurul Qaireen bersyukur kerana masih ada yang sudi memahami dan mendengar luahan hatinya. Terima kasih abang, kerana sudi melayan kerenah adikmu ini…

Seusai memutuskan talian, telefon bimbit diletakkan ke atas meja yang terletak berhampiran dengan katil. Setelah itu, dia melentangkan badannya di atas katil. Mata dibawa memandang siling bilik. Fikiran mula terbang melayang-layang tanpa destinasi. Hati pula berlagu sedih dan sayu.

Pertengkaran dengan ibunya tadi kembali menjengah. Bukan niatnya untuk membantah hatta menentang kata ibu. Malah untuk melukai hati seorang wanita yang begitu cekal dan tabah dalam mendidik anak-anak setelah pemergiaan suami tercinta untuk selama-lamanya, sama sekali dia tidak tegar untuk berbuat sedemikian.

Tapi dia tidak boleh menipu dan menyeksa diri sendiri, kerana yang bakal menanggung semua itu kelak adalah dia. Dia berhak menentu masa depannya. Jadi, sama ada mahu atau pun tidak dia perlu juga pertahankan haknya.

‘Mummy… maafkan adik. Jujur, tidak terdetik sekalipun dalam hati ini untuk melukai hatta menyakiti hati kecilmu itu. Adik cuma mahu ibu memahami. Cukup hanya dengan memahami. Adik tidak minta lebih dari itu.’ Hatinya bermonolog sendiri.

Malam terus berlabuh. Berlabuhlah juga dia bersama kesedihan di hati. Tenanglah duhai hati. Damailah wahai jiwa.