BAB 1

AKU senyum sendiri. Tak sangka dalam Kampung Kelapa Tua ni adanya sekuntum bunga mekar yang cantik. Selama aku hidup dua puluh lima tahun, inilah kali pertama aku berjumpa dengan seorang gadis cantik bak bidadari. Terserempak gadis itu berjalan terkedek-kedek dengan sebuah bakul buah di tangan kiri dan payung di tangan kanan.

Entah apa mimpi gadis itu, berpayung malam-malam begitu. Namun dia tetap manis dan sopan dengan baju kebaya dan berkain batik sutera. Mat Kepoh, kawan sekolah aku dulu yang becok mulutnya juga turut terlopong melihat lenggok gadis itu berjalan. Tidak pasti di mana rumah gadis manis itu. Aku dan Mat Kepoh hanya pandang tidak berkelip.

Tidak berani menegur walaupun gadis itu melemparkan senyuman manis kepada kami berdua tika itu. Dua minggu aku di kampung kerana bercuti semester, hanya beberapa kali terserempak dengan gadis itu. Namun satu yang pasti, gadis itu berjalan menuju ke arah hujung kampung. Mungkin rumahnya di situ. Agaknyalah.

Malam nanti aku kena ke rumah Wak Leman. Ada jemputan kenduri kesyukuran. Aku terima jemputan itu kerana aku ingin sangat tahu di mana rumah gadis manis itu. Setahu aku Wak Leman tu tinggal seorang diri di rumah tu di hujung kampung. Hampir dengan tepi hutan dara.

Dengarnya hutan itu tidak pernah diteroka sebab itulah orang kampung panggil hutan dara. Aku dengan senang hati menerima jemputan Wak Leman. Tidak ramai yang datang kerana Wak Leman sendiri tidak suka bergaul dengan orang kampung.

Tambahan pula Wak Leman bukannya asal kampung Kelapa Tua. Dia seorang perantau dari Acheh. Jadi tidak mustahillah penduduk kampung tidak begitu mesra dengannya. Entah kenapa, aku yang jarang-jarang ada di kampung ni pula yang dijemputnya.

Ah! Bukan jemputan Wak leman yang aku ambil kisah tapi gadis manis itu yang menjadi agenda aku sebenarnya.