BAB 1

Mentari yang garang berganjak pergi tatkala langit kemerahan berselubung rona ungu menyeliputi sang langit. Subhanallah indah sunggu ciptaan tuhan namun sesungguhnya rugilah pada mereka yang mensia-siakan hari ini kerana
detik-detik yang berlalu itu tidak pernah akan kembali. Walau
ditangiskan darah sekalipun, yang berlalu tetap akan pergi kerana
hakikat kejadiannya sudah begitu.
*
*
Nurul Farisha mengintai jam tangan Vintage Omega yang tersarung cantik di
pergelangan tangannya kirinya. Sekali pandang tak macam jam tangan pun.
Rekaan eksklusif dengan gabungan unsur bracelet menjadikan edisi Omega
ini tampak mahal. Apatah lagi dihiasi butir-butir permata dan disadur
emas putih. Memang akan mencuri mata sesiapa sahaja yang terlihatkan
pergelangan tangan gadis itu.

“Huh, dah dekat 5.30?” Pertanyaan itu lebih kepada dirinya sendiri.

Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Terasa tidak cukup sehari untuk
menyiapkan tugasannya. Peranannya sebagai pereka hiasan dalaman
memerlukan tumpuan dan kreativiti yang tinggi. Kadang-kadang, penat
lelah selama beberapa hari seakan-akan sia-sia sahaja apabila hasil
rekaannya ditolak bos kesayangannya. Bukan salah Encik Amran Hakimi jika
rekaannya dipandang sepi. Tetapi salah pelanggan yang tak menghargai
hasil seninya! Eh, mana boleh salah pelanggan? Customers is always
right, Farisha!

Farisha mula mengemaskan ruang kerjanya. Sudah hampir lima tahun dia
bekerja dengan Out Of The Box Creative (OOTB Creative). Dan selama lima
tahun ini juga dia selalu berfikir luar kotak untuk memberikan yang
terbaik kepada para pelanggan syarikat tempat kerjanya. OOTB Creative
menyediakan khidmat rekaan hiasan dalaman rumah dan laman. Adakalanya,
tempahan rekaan hiasan untuk hotel dan bangunan-bangunan korporat juga
kerajaan juga akan sampai ke meja mereka. Ada beberapa kelompok atau
bahagian kerja di OOTB Creative. Farisha ditempatkan di bawah seliaan
Encik Amran Hakimi, iaitu bahagian rekaan hiasan dalaman rumah. Bahagian
ini hanya akan menguruskan rekaan hiasan dalaman rumah semata-mata. Tak
kisahlah banglo, teres, semi-d, apartmen, waima rumah kampung sekalipun!

Tangannya lincah mengemaskan meja kerja. Ruang bawah meja dan sekitar
partition tempat dia memerah idea juga dikemaskan. Serabut alamatnya
lesaplah idea untuk kerja hari esok. Tambahan pula, permintaan bertambah
sejak dua menjak ini. Almaklumlah, tak lama lagi nak raya. Hari ini baru
lima hari puasa. Tetapi tempahan sudah dibuat oleh pelanggan sejak
sebulan yang lalu pun ada. Kadang-kadang Farisha sendiri pun pening
dengan sesetengah manusia yang lebih ghairah membuat persiapan menyambut Aidilfitri berbanding bulan Ramadhan sendiri.

“Ah, malaslah nak fikir! Lantaklah! Duit sendiri kan? Kalau tak ada
tempahan, tak ada pula kerja karang. Habis tu, tak ada kerja, nanti nak
makan apa?” Omelnya perlahan. Dengar tak dengar sahaja. Siap berkemas,
Farisha memerhati sekeliling. Tinggal beberapa orang rakan sekerjanya
sahaja yang masih setia dengan tugasan. Itupun semuanya yang bukan
Muslim. Masing-masing khusyuk dengan tugasan sendiri. Pasti Ikram dan
Manisah sudah pulang. Almaklumlah, bulan puasa. Sudah tentu mereka
terkejar mahu sampai ke rumah berbuka bersama keluarga. Lainlah dia.
Masih sendiri. Umurnya akan genap 30 tahun 1 Syawal ini. Tetapi dia
masih belum punya sesiapa yang istimewa.

Farisha bukan tidak cantik. Memanglah tak serupa Miss Universe. Tetapi
manisnya tetap ada. Dengan lesung pipit di sebelah kiri dan kulitnya
yang putih gebu, memang pasti mencuri pandang mata sang arjuna. Bukan
tidak ada lelaki yang mendekat. Tetapi Farisha yang susah untuk
ditambat. Kisah lama bagaikan kuat melekat. Membuatkan Farisha sukar
menerima mana-mana lelaki yang mahu menjerat!

Sekali lagi jam tangan Vintage Omega dijeling. Sudah 5.45 minit petang.
Farisah sudah bazirkan 15 minit untuk mengemas. Ruangnya tak sebesar
mana. Cuma kerja yang disertakan dengan fikiran yang melayang, pasti
akan memakan masa yang lama. Menyedari kelewatan, pantas Prada berwarna
hitam yang dihadiahkan seorang teman sempena ulang tahun kelahirannya
yang lepas disambar. Kaki diatur ke arah lif. Punat ditekan. Dan dia
menunggu tiba ke aras bawah, tempat Mazda 6 miliknya terpakir.