BAB 17

Adriana terbaring lesu di atas katil. Sejak pulang daripada pejabat tadi kepalanya sakit. Mungkin terlalu penat dan tertekan dengan kerja. Sejak dua tiga hari ini banyak projek terbaru yang perlu diuruskan oleh Adriana. Kadang-kadang makan pun dia boleh lupa gara-gara terlalu sibuk dengan kerja.

" Ad " pintu bilik Adriana diketuk oleh Shahrul.

Hari ini dia tidak berniaga di gerai kerana Azlan perlu pulang ke kampung untuk menguruskan urusan perkahwinannya yang tidak lama lagi akan berlangsung.

" Ad, awak okay tak? " soal Shahrul daripada luar bilik.

Dia mula risau dengan keadaan Adriana. Tadi Alif memberitahunya Adriana seperti kurang sihat.

" Ad saya masuk ya " Shahrul terus memulas tombol pintu bilik Adriana.

Mujur sahaja tidak berkunci. Langkah kaki diatur masuk ke dalam bilik Adriana.

" Ad? " Shahrul menghampiri Adriana yang terbaring di katil.

Dahi Adriana diraba. Panas.

" Ad, bangun Ad. Awak demam ni. Badan awak panas sangat " Shahrul menampar lembut pipi Adriana.

" Hmm " jawab Adriana lemah. Dia sudah tiada daya untuk membuka mata ketika ini.

" Tunggu sekejap " Shahrul terus berlalu ke dapur.

Sekembalinya dia daripada dapur, Shahrul terusmengejutkan Adriana untuk memberikan ubat demam padanya.

" Ad bangun, makan ubat ni dulu " .

Adriana perlahan-lahan membuka matanya. Shahrul menyuapkan sebiji ubat demam pada Adriana. Kemudian disuakan air kosong pada Adriana.

" Awak rehat dulu ya. Kalau demam awak masih tak kebah, kita pergi klinik " tangannya menyelimutkan tubuh Adriana sehingga ke paras dada.

Shahrul merendamkan tuala bersih ke dalam air. Kemudian diletakkan di dahi Adriana sebaik diperah tuala itu.

" Cepat sembuh Ad. Awak kena kuat " kata Shahrul perlahan. Rambut Adriana diusap perlahan. Jatuh kasihan dia melihat keadaan Adriana.

Dia tahu Adriana terlalu bekerja keras untuk syarikat sehingga lupa untuk menjaga dirinya sendiri.

Shahrul melangkah ke bilik Adriana sambil membawa semangkuk bubur ayam yang baru saja dimasakknya tadi.

Bubur itu diletakkan di atas meja kecil bersebelahan katil Adriana.

" Ad, bangun Ad " kejutnya lembut.

Adriana terus tersedar dari lenanya. Dia memegang kepalanya yang masih lagi terasa pening.

" Mari makan. Saya ada masakkan bubur ayam untuk awak " Shahrul membantu Adriana bangun.

Dia meletakkan sebiji bantal di belakang Adriana supaya dia merasa lebih selesa.

" Saya suapkan ya " Shahrul terus mengambil mangkuk bubur itu.

Kemudian dia terus menyuap bubur pada Adriana. Adriana hanya makan tanpa membantah.

" Makan banyak sikit ya. Sehari awak tak makan hari ni kan? Sebab tu lah awak sakit " .

Adriana hanya diam.