Bab 1 - Past 1

PAST 1

Penduduk kampung sedang rancak berpesta. Mereka menuang sejenis minuman yang memabukkan ke dalam bekas minuman yang diperbuat daripada kayu. Kelihatan dua atau tiga gadis yang dalam keadaan separa sedar sedang asyik menari ghairah di atas ribaan jejaka-jejaka kampung. Mereka bergelak ketawa. Tidak jauh dari kawasan unggun api, terdapat satu batu mendatar yang menyerupai tempat pembaringan. Di sekeliling batu mendatar itu diletakkan akar-akar kayu, bungabunga hutan, rumpai air dan tulang-temulang haiwan pemburuan. Seorang perempuan membacakan sesuatu dan menghembus nafasnya perlahan-lahan ke dalam gayung kayu yang berisi air hancing berwarna kuning. Dia menuangkan air tersebut ke atas permukaan batu yang mendatar sambil menjerit dan melolong. Jeritan dan lolongan itu saling bersahutan dalam kalangan penduduk kampung.

Tiba – tiba angin bertiup kencang. Pohon-pohon besar bergoyang dan bergoncang seolah-olah memarahi sesuatu. Daundaun jatuh berguguran. Awan berarak terkocoh-kocoh menutupi sang rembulan yang masam kerana sinarnya tidak mencecah tanah lalu munculnya kegelapan malam yang angkuh. Suara pekikan manusia, suara deruman haiwan ternakan seolah-olah muzik yang bersatu dengan lirik. Menghasilkan bunyi yang sama. Bunyi ketakutan. Bunyi kesialan. Bunyi maut.

“Abang! Anak kita!” Jerit seorang wanita yang sarat mengandung. Dia juga sedang mendukung bayi yang masih lagi menetek. Darah yang menitis dari dahi belah wanita mengandung itu laju mendarat ke pipi bayinya.

“Kemboja, lari!” Si suami memberi arahan. Beberapa rumah dijilat api marak. Penduduk kampung dan binatang ternakan bertempiaran lari. Sang kerbau berlari lintang-pukang.

Tanduk kerbau itu terhias mewah dengan mayat seorang budak. Darah segar, pekat kehitaman menitis di sepanjang jalan. Sekumpulan kambing turut galak mengembek seolah-olah cuba menambahkan perisa pahit pada malam durjana. Seekor kuda jantan melompat dan menghenjak-henjak badan seorang wanita tua hingga hancur.

“Lari! Lari selamatkan diri kamu semua!” Suami Kemboja berterusan memberi amaran kepada penduduk kampung. Bunyi kibasan sayap semakin kuat kedengaran. Pasir yang dipijak mula menerbangkan isi zarah. Sepasang mata merah menyala merenung tajam sambil menderam.

Makhluk tersebut merehatkan kedua-dua belah sayapnya. Ekornya yang panjang dan bersisik tajam dijinakkan ke tanah. Ia berjalan perlahan menuju ke arah Kemboja yang kaku.

“Kemboja! Lari!” Si suami menjerit dan berlari pantas. Dia terus melompat dan berpusing sambil menghayunkan parang panjang untuk menetak bahagian kanan Makhluk Gelap Bersayap. Ia bertindak pantas dengan menepis parang panjang yang digenggam oleh si suami dengan menggunakan kukunya yang panjang. Tangan kirinya mencekik leher si suami.

“Tolong.. Itu isteri dan anak..” rayu si suami.

Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, jasadnya terbelah dua dek libasan ekor makhluk itu. Kemboja kehilangan kata-kata melihat si suami mati katak. Tiada jeritan mahupun tangisan. Cuma sepasang mata yang dipasung. Makhluk Gelap Bersayap berjalan perlahan menghampiri Kemboja dengan sepasang mata yang merah berapi.

“Aku tak nak mati. Kasihanilah aku. Anak aku perlukan aku.” Kemboja melutut di hadapan Makhluk Gelap Bersayap. “Aku merayu. Aku diambang kelahiran. Aku sujud padamu. Tolong..” Namun, tiada lagi kata-kata yang keluar dari mulut Kemboja. Bayi ditangannya sudah beralih tempat ke kendongan kanan Sang Makhluk Gelap Bersayap. Di genggaman kiri makhluk itu terdapat daging yang merah segar dengan darah. Ia mengepakkan kedua-dua belah sayapnya dan terbang laju membelah awan. Jasad kemboja yang tidak bernyawa dibiarkan dengan mulut ternganga dengan kesan lubang besar di bahagian kiri dadanya. Suasana beransur tenang, tiada lagi bunyi-bunyian.

Dari jauh kelihatan seorang perempuan berjalan perlahanlahan menuju ke arah mayat Kemboja. Dia mengeluarkan pisau lalu dibenamkan dengan berhati-hati ke dalam perut Kemboja yang memboyot. Pisau dicampakkan ke tepi. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam perut untuk menarik sesuatu. Bayi. Dia menampar punggung bayi itu perlahan-lahan.

Suasana yang tadinya sunyi dipecahkan dengan tangisan bayi. Perempuan itu meletakkan bayi tersebut di dalam kain batik yang diikat kemas ke bahu kanan meliputi belakang tubuhnya. Dia menarik mayat Kemboja perlahan-lahan. Purnama kembali tersenyum. Suasana yang kelam diterangi sedikit cahaya yang menampakkan kebinasaan kawasan kampung.