BAB 1

“Kalau kau nak tahu, lembu aku tu gila, Jo! Tak boleh nak dibuat korban! Kalau kau jumpa gerenti kau menggelupur lari sekampung menjerit minta tolong, lembu aku ni silap haribulan kalau dihantar ke Sepanyol ke Mexico ke boleh jadi lembu Matador tu” Jerit Wak Bon kepada Pakcik Johari. Pakcik Johari memandang wajah Wak Bon yang kusut masai itu.

“Perghh dashyat! Lembu kau ada penyakit apa, sawan? Kau dah bagi nama kat urus setia masjid nak buat lembu tu jadi korban. Lagipun aku tengok lembu kau tu sihat je.” Pakcik Johari cuba menenangkan Wak Bon.

“Kau tak faham, Jo. Aku dah jaga lembu tu sejak dia kecil lagi. Dia ada penyakit. Aku lupa pulak yang lembu aku tu ada penyakit.” Kata Wak Bon. Wak Bon tidak mahu lembunya dijadikan korban pada Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelma.

“Yalah, tapi penyakit apa? Itu yang aku nak tahu.”

“Kau takkan faham Jo. Kau bukan pernah bela lembu pun.” Luah Wak Bon dalam nada kecewa.

“Apa pulak aku tak pernah bela lembu.. Ni aku bela anak aku ni, perangai pun dah macam lembu. Degil betul. Disebat sikit barulah nak buat kerja.” Kata Pakcik Johari.

“Ayah dia pun dah macam lembu, apatah lagi anaknya. Haii Jo, takkanlah kau tak pernah dengar ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?” Perli Wak Bon terhadap Pakcik Johari. Pakcik Johari mula meninggikan suara terhadap Wak Bon.

“Orang tua tak sedar diri.! Kau ingat kau ni siapa nak cakap aku macam tu?” Marah benar Pakcik Johari akibat digelar ‘lembu’ oleh Wak Bon. Wak Bon gelak besar. Dia gembira melihat telatah Pakcik Johari yang marah itu.