BAB 1

Aku sangat terkesan dengan kisah Nabi Adam a. s dan isterinya Hawa. Entah kenapa sejak kecil lagi aku begitu terpukau dengan keindahan kisah itu. Tentang Nabi Adam a.s yang kesepian hinggalah Allah menghadiahkan dia Hawa sebagai pasangan.

Bermula Adam a.s tertidur nyenyak, tak sedar kepada sesuatu yang ada di sekitarnya. Dalam saat-saat yang demikian itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri.

Bagai orang yang sedang terbius, Adam a.s tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril a.s..

Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang mendambakan seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau.

Sehinggalah kepada pertemuan mereka, Hawa si wanita cantik menghiasa syurga dan Adam jejaka kacak dan gagah tanpa cacat celanya. Sungguh aku terpesona dengan kisah mereka.

Dek kerana kekaguman aku terhadap kisah itu, aku sering memasang doa dan impian agar aku bertemu dengan ‘Adam’ ku.