BAB 4

Segera Hami bersiap untuk pulang ke rumah. Lokasi butiknya itu begitu unik dan strategik, di mana ianya berada di tengah-tengah pusat membeli-belah yang terbesar di bandar itu serta berhampiran dengan restoran-restoran, zoo akuarium dan juga pemandangan sungai yang indah.

Sebaik saja gadis itu menjejakkan kakinya keluar butik, dia terlanggar dengan seseorang. Seseorang yang belum benar-benar dia kenali namun wajahnya kerap dia jumpai. Siapa lagi kalau bukan jirannya, Rizal.

Allah…. Budak ni lagi. Kenapa pula bulan Ramadhan ni kami selalu terserempak? Dulu-dulu batang hidung pun susah nak tengok. Hami mengusap dahinya.

“Eh, Assalamu’alaikum. Asyik-asyik nampak awak lagi. Butik tutup awal hari ni?” tegur Rizal sambil melihat jam tangannya. Baru jam dua petang.

Hami mengangguk. “Wa’alaikumussalam. Ya, saya ada acara nak datang malam nanti. Awak buat apa?” Dia menjenguk ke belakang Rizal dan mendapati bahawa terdapat perbelasan penuntut yang berjalan bersama jejaka itu.

“Saya tengah bawa mereka pergi melawat zoo akuarium tu,” balas Rizal. Kemudian dia berpaling kearah para pelajarnya. “Ni Cikgu kenalkan jiran Cikgu, Hami. Cikgu tabik dia sebab dalam usia semuda macam ni dia dah mampu buka butik sendiri, tinggi pendapatan setiap bulan. Tapi dia ni peminat nombor satu peti surat. Kalau kamu boys nak tackle Kakak Hami kamu ni, kamu kena beli peti surat banyak-banyak, kalau boleh sebesar gunung Everest tu. Gerenti dia tak reject punya.”

Pecah ketawa murid-murid yang ada di sana. Kedengaran para pelajar lelaki bersiul cuba untuk memikat Hami yang memang lawa manis itu. Wajah Hami merah merona. Kini gilirannya pula untuk membalas kata-kata Rizal. “Ha, ni Kakak perkenalkan, Cikgu Rizal. Kakak taklah tahu nama penuh dia, tapi yang Kakak tahu, bapa dia ni seorang Dato’. Kakak tabik dia sebab walaupun dia dari orang berada, dia masih memilih kerjaya mulia sebagai seorang pengajar. Ni Kakak nak bagi satu tip untuk murid perempuan yang minat kat Cikgu Rizal: pada hari jadinya, Kakak nasihatkan kamu belikanlah peti surat untuk dia ni. Kesian Kakak tengok, mungkin dia tak tahu kot macam mana rupa peti surat. Sebab tu rumah dia tak ada peti surat langsung.”

Selagi lagi berderai ketawa para penuntut. Kelihatan murid-murid perempuan yang begitu teruja untuk membelikan hadiah kepada Cikgu Rizal yang mempunyai raut wajah babyface itu. Rizal hanya mencebik tatkala Hami tersenyum puas.

“Kak Hami! Jom join kita orang pergi zoo akuarium!” ujar salah seorang pelajar Rizal. Nampaknya cadangannya itu telah disambut baik oleh rakan-rakannya yang lain.

Hami memandang Rizal. Rizal hanya menjengkot bahu. Akhirnya Hami berputus untuk mengikuti mereka memandangkan masa masih awal.

“Tengok jerung harimau ni. Siapa boleh namakan apa genus dan species mereka?” Rizal mengemukakan soalan kepada penuntut-penuntutnya semasa mereka meneliti ikan jerung yang sedang berenang dengan setenangnya.

“Soalan kacang macam ni pun nak tanya. Galeocerdo cuvier,” Hami berbisik kecil namun dapat didengari dengan jelas oleh Rizal.

“Awak boleh tolong jangan menyampuk?” geram juga hati jejaka itu apabila mendengar jawapan Hami yang seolah-olah mengejeknya.

“Suka hati sayalah nak cakap apa.”

Mereka berdua kemudian memalingkan muka dari sesama sendiri dan meneruskan perjalanan menuju ke pameran seterusnya. Para pelajar yang lain hanya tersengih melihat kelakuan kedua orang dewasa itu yang bagaikan kebudak-budakan. Jarang juga mereka lihat Cikgu Rizal mereka berperangai sebegitu.

“Oh ya, kamu jangan lupa, yang kamu semua telah pun terpilih untuk mewakili sekolah kita bertanding di peringkat akhir dalam Peraduan Nasional Filem Biologi. Seperti yang kamu ketahui, kamu kena buat filem atau dokumentari mengenai apa saja tajuk yang berkenaan dengan subjek Biologi. Rekalah apa saja kamu nak mengikut kreativiti kamu sendiri. Filem itu mesti dihantar pada hari pertama buka sekolah selepas Hari Raya nanti. Jangan main-main, ini peringkat akhir tau. Kita kena harumkan nama sekolah. Faham?” Rizal menoleh kepada para pelajarnya yang mengeluh panjang.