BAB 6

“Tentu ramai. Suara kamu kan sedap.”

Rizal hanya ketawa kecil, menampakkan lesung pipitnya yang menarik itu. Kemudian lelaki tua dan budak itu meninggalkan mereka, dan kelihatan budak tersebut mengukir senyuman terhadap Hami.

Hami bingung. Rizal imam Terawih? Apa yang berlaku ni?

“Tunggu tunggu tunggu….. Awak…. Imam Terawih di Masjid Samudra tu?” Kepala Hami sudah pusing.

Jejaka itu memandang Hami dengan pandangan yang sangsi. “Laa, takkan awak tak tahu? Sepanjang bulan Ramadhan ni sayalah yang jadi imam solat Terawih kat sana. Apalah awak ni.”

“Bukan…. Bukan Ustaz Shah?”

“Dah tentulah bukan-“ Lantas Rizal terhenti. Dia seperti dapat mengagak apa yang berlaku. Lalu dia mengajukan soalan terhadap Hami, “Saya nak tahu, darimana awak kenal nama Ustaz Shah?”

“Budak lelaki berkening tebal tu. Saya tanya dia, siapa yang jadi imam kat masjid, dia jawab ‘Shah’ dan dia cakap kat saya yang imam tu bekerja di Pusat Tingkatan Enam Perwira. Saya sebenarnya tertarik dengan suara merdu imam tu, sebab tu saya tanya dia. Saya curious sangat.”

Rizal menepuk kepalanya. Ternyata sangkaannya tepat. “Budak tu memang selalu belajar mengaji di masjid bersama saya. Hanya semua budak-budak yang turut belajar mengaji panggil saya Shah. Abang Shah. Orang lain, termasuk keluarga dan warga sekolah, panggil saya Rizal. Kebetulan pula Ustaz Shah satu pejabat dengan saya.”

Shawl labuh Hami sudah tidak menentu. Semakin lama semakin pening gadis itu. “Tapikan nama awak Rizal… Kenapa pula dia panggil awak Shah?”

“Shahrizal… itu nama penuh saya. Selama ini awak hantarkan surat-surat saya ke pintu rumah saya ni, awak tak perasan langsung?”

Cepat-cepat Hami membuka peti suratnya dan meneliti surat-surat yang ditujukan buat Rizal. “Muhammad S.Rizal bin Dato’ Seri Paduka Haji Amin,” perempuan itu membaca nama yang tertera di situ. S.Rizal bermakna Shahrizal…. Ya Allah…. Selama ini aku tak sedar!

“Saya ada sebab tertentu kenapa saya masih belum bagitahu Ustaz Shah tentang awak,” Rizal cuba memberi penerangan.

“Ini kerana Ustaz Shah tu dah berbini, makcik oi! Memanglah saya ragu-ragu nak sampaikan hasrat awak tu kat dia!”

Hampir terkeluar jantung Hami tatkala mendengar kata-kata Rizal. Nasib baik Rizal belum mengkhabarkan permintaannya kepada Ustaz Shah, kalau tidak, nahas! “Kenapa awak tak bagitau saya yang dia dah ada bini?! Walaupun dalam Islam dibenarkan sampai beristeri empat, saya takkan sanggup memporak-perandakan rumah tangga orang!”

“Saya ingat awak betul-betul sukakan dia, taklah sampai hati saya nak cakap kat awak. Rupa-rupanya Ustaz Shah yang awak maksudkan selama ini adalah saya….”

Suasana antara mereka berdua menjadi senyap seketika. Yang memenuhi udara mereka ketika itu hanyalah bunyi loceng basikal serta tapak kaki para penduduk yang melintas di hadapan mereka.

Untuk memecahkan keadaan yang teramat janggal itu, Hami meminta diri. “Err, saya pergi dulu ya. Hari ini hari terakhir saya bertaranum-“

“Taranum?” Pantas Rizal memotong percakapan Hami. Matanya membulat, hatinya berdegup laju. “Di mana?”

“Awak ni janganlah buat muka macam beruk tersepit. Takut saya tengok,” Hami mengambil selangkah ke belakang. “Di MyIslam FM. Dari hari pertama Ramadhan dah saya dijemput bertaranum setiap kali selepas solat Asar.”

“Ya Allah Ya Rabbi….” Rizal menekup mukanya, dia terus tersandar di pagar, sambil tertawa perlahan, bagaikan tidak percaya apa yang didengarinya.

Semakin takut Hami memandang kelakuan ganjil Rizal. “Kenapa dengan awak ni?”