BAB 1

‘’Eh dah asal dah tak comel muka aku ni, hurmm tudung senget semacam tulah pasal tak comel macam Neelofa dah.’’ Hami membetulkan tudungnya yang sedikit senget itu, lalu melangkah keluar rumah menuju ke peti surat yang terletak di sebelah pagar banglonya. Dia mendengus tatkala meneliti surat-surat yang terdapat di dalam peti surat tersebut.

‘’Ini dah masuk kali ke berapa aku dapat surat yang sama tapi bukan untuk aku!’’ desus hatinya.

Semenjak Hami berpindah ke banglo itu pada bulan Syawal tahun lepas, dia selalu menerima surat-surat yang bukan ditujukan untuknya, malah untuk jiran sebelah. Tapi Hami tidak menyalahkan posmen. Yang perlu bertanggungjawab adalah jirannya itu sendiri, kerana jejaka tersebut tidak mempunyai peti surat. Tidak hairanlah para posmen selalu tersilap hantar.

Nasib baik hari ni hari pertama Ramadhan. Kalau tak, memang aku dah baling surat-surat ni ke pasu bunga mamat sebelah tu, hati Hami berkata-kata lagi. Namun segera dia beristighfar dan memulakan perjalanannya menuju ke rumah jirannya.

Punat loceng jirannya ditekan oleh Hami tiga kali. Setelah beberapa saat tiada jawapan, dia mengetuk pula pintu jirannya itu sekuat hati. “Assalamu’alaikum!” Gadis berusia pertengahan dua puluhan itu hampir menjerit.

“Wa’alaikumussalam,” akhirnya pintu itu pun perlahan dibuka oleh pemilik rumah tersebut.

“Ya saya dengarlah, tak perlulah nak ketuk kuat sangat, saya bukannya pekak pun,” Selamba saja lelaki itu menjawab.

Hami menarik nafas dalam-dalam. “Encik Rizal, buat ke seribu kalinya, boleh tak awak tolong bina peti surat awak sendiri? Selama 6 bulan saya tinggal sini, dah balik-balik saya terima surat-surat awak yang selalu kena hantar kat mailbox saya tu. Dah bejuta kali saya pergi ke rumah awak untuk berikan semua surat ini untuk awak. Memang sah awak pun dah bosan tengok muka saya. Tolonglah ya,” gadis berhijab labuh itu menghulurkan beberapa pucuk surat kepada Rizal.

Rizal mengambil surat-surat tersebut. “Terima kasih. Assalamu’alaikum,” ujarnya lalu ingin menutup kembali pintu rumahnya, namun tombol pintu itu ditahan oleh Hami.

“That’s it? Itu saja respon awak?” Hami bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Terasa jengkel juga dia terhadap jejaka tinggi yang berperangai chill itu.

Rizal mengerutkan dahinya. “Habis, takkanlah awak expect saya nak jemput awak masuk rumah saya pula? Kan haram kalau dua orang yang bukan muhrim berdua-duaan. Tak belajar hukum ke?”

Berderau darah Hami mendengar jawapan Rizal. “Bukan itulah! Maksud saya, sekurang-kurangnya awak beritahulah saya yang awak nak buat peti surat baru ke, apa ke…. Ini terima kasih je?”

“Laa… kan saya pernah bagitahu awak, kalau ada surat-surat saya, biarkanlah saja dalam peti surat awak tu. Nanti saya ambil sendiri. Saya tak pernah pun minta awak hantarkan kat saya. Setakat peti surat pun tak payahlah kedekut sangat nak kongsi.”

Hami mengurut dadanya. Ya Allah… sabar, sabar….

Sebenarnya memang betul, Rizal pernah berpesan kepadanya bahawa Hami tidak perlu lagi menghantar surat-surat tersebut ke rumahnya. Sudah tentu gadis itu telah melakukan perkara sedemikian. Tapi setelah menuruti pesanan lelaki itu, semakin semak pula peti suratnya, kerana Rizal hanya membiarkan saja surat-surat itu di sana. Memanglah Hami tak senang hati. Selagi tidak dihantar surat-surat tersebut ke depan pintunya, selagi itulah jejaka itu akan membiarkannya di sana.

Ambil sendiri konon, wajah Hami mencuka.