(SPIRIT I) BAB 1

“Wey, korang pernah tak main game spirit of the coin?” tanya Faryzal kepada Aidil dan Khaidir yang sedang menelaah pelajaran di meja belajar di bilik yang memuatkan empat orang pelajar.

Khaidir dan Aidil memusingkan badan menghadap Faryzal yang sedang berbaring di atas katil dua tingkat. Kemudian mereka menggeleng kepala serentak. “Kenapa kau tanya?” soal Aidil ingin tahu.

“Aku pernah dengar, kalau duit syiling bergerak maknanya hantu dah datang dan kita boleh bersoal-jawab dengan dia. Tapi boleh percaya ke main benda tu? Entah-entah dia orang yang gerakkan sendiri duit tu, sengaja nak buat kecoh.” Khaidir pula bersuara.

“Entahlah... kalau nak tahu boleh percaya ke tak, kita cuba dulu malam ni. Semalam Dinesh ada bagi aku board dengan duit syiling lama... kau orang nak join tak?” Faryzal mengangkat keningnya, menanti jawapan dari Aidil dan Khaidir.

“Nak tu memanglah nak tapi nak main kat mana? Kat sini ke?” Khaidir memberi persetujuan.

“Tak bestlah main kat bilik ni... cari tempat lainlah.” Faryzal mula berfikir. Sesekali jari telunjuknya mengetuk-ngetuk perlahan dahinya. Kemudian tangannya mengurut dagu pula apabila masih tidak dapat memikirkan tempat.

“Hah, Aku ada satu tempat!” Aidil bersuara kuat sambil jari telunjuknya terangkat ke atas.

Khaidir dan Faryzal sudah mengurut dada, terkejut mendengar suara Aidil yang membingitkan telinga itu. “Kau ni cuba cakap tu slow sikit. Terkejut kita orang tau!” marah Faryzal sambil melemparkan bantal ke badan Aidil.

“Apa tempat yang kau nak cadangkan tu?” tanya Faryzal.

“Kat tingkat empat ada satu bilik kosong. Bilik tu dulu ada pelajar junior bunuh diri tahun lepas. Kalau tak salah aku, nama dia Rahimi. Kita pergi bilik tu jelah. Nak tak?” cadang Aidil. Dia sudah tidak sabar untuk memulakan permainan itu.

“Cantiklah kalau macam tu. Malam ni, tepat pukul 12.00 kita gerak.” Faryzal memberi kata putus. Kemudian mereka bertiga ketawa kuat.