BAB 5

24 September 2000.

Setelah mengharungi penerbangan selama hampir 16 jam termasuk transit di Dubai, akhirnya aku selamat sampai di lapangan terbang antarabangsa Birmingham. Bumi yang cukup asing, yang bakal menjadi medan juang aku dalam menuntut ilmu. Setelah selesai segala urusan kastam, aku menyorong troli yang terisi dengan dua biji beg bagasi sambil melangkah keluar dari balai ketibaan. Aku melilau pandangan mencari kelibat tinggi lampai Zhafran yang berjanji untuk menjemput aku di sini. Rindunya aku untuk menatap wajah lelaki itu. Yalah, sudah hampir tiga tahun Zhafran berada di bumi England dan di sepanjang tempoh itu hanya telefon yang menjadi penghubung kami. Sekali skala kami berhubung melalui email tetapi kemudahan Internet di Malaysia tidaklah secanggih mana pada waktu ini. Untuk membaca dan menghantar email, aku perlu singgah ke kafe siber dengan bayaran yang agak tinggi.

“Assalamualaikum, Alif Zhafran” aku menghampiri figura lelaki yang kelihatan sedang tercari-cari seseorang. Aku melemparkan senyuman lebar di bibir.

“Waalaikumsalam, Atiya Mawaddah Hassan” salam yang dihulur dijawab. Dia membalas senyuman aku, masih mesra seperti dahulu. Aku perhatikan penampilan lelaki itu atas bawah. Semakin kacak! Semakin berkarisma dan yang pasti semakin macho. Dan kali ini aku memandang lelaki ini dengan rasa getaran di jiwa. Jantung ku berdegup kencang. Hati aku benar-benar terpesona. Kenapa dengan diri aku ini?

“Jaga pandangan mata itu. Nanti kalau jadi zina mata, tak fasal-fasal dapat dosa kering” teguran lembut Zhafran membuatkan aku tersedar dari terus merenung nya. Terbit pula rasa malu. Entah kenapa aku menjadi mudah terusik rasa dengan ayat-ayat yang dituturkan Zhafran. Padahal jika dulu, aku main redah saja dengan lelaki ini. Dulu itu semasa aku masih lagi seorang kanak-kanak yang belum kenal erti batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Sekarang, aku seorang gadis yang sedang meningkat dewasa. Nyata masa yang kami tinggalkan banyak mengubah corak pergaulan persahabatan di antara aku dan Zhafran. Sesak nafas aku apabila berada dekat dengan lelaki ini.

“Abang apa khabar?” aku menyoal Zhafran untuk menutup rasa segan. Namun pertanyaan aku itu dibiarkan sepi. Aku perasan mata Zhafran tunak memerhatikan aku. Langsung tidak berkelip. Ada yang tak kena ke dengan penampilan aku? Tudung yang aku pakai senget ke? Baju sejuk yang aku sarung di tubuh koyak ke? Atau seluar aku kotor ke?

“Abang..” aku melambaikan tangan di depan muka Zhafran membuatkan lelaki itu tersedar. Aku mencebikkan bibir.

“Abang ini, tadi cakap tak baik tenung lama-lama. Zina mata. Itu abang pandang Atie macam nak telan orang saja, boleh pula?” aku memulangkan paku buah keras membuatkan Zhafran meledakkan tawa kuat.

“Dah pandai menjawab Atie sekarang ni. Abang tengok Atie sebab abang nak pastikan betul ke tak Atiya Mawaddah yang ada depan abang sekarang ini. Bukan ke Atie yang abang kenal dulu comel orangnya?” tingkah Zhafran melirik aku dengan pandangan yang mengusik. Sempat lagi dia menggelembung kan kedua-dua belah pipinya. Aku faham sangat dengan isyarat yang dia tunjukkan itu.

“Habis sekarang ini Atie dah tak comel ke?” tanya aku. Aku suka dengan perkataan ‘comel’ yang sering digunakan oleh Zhafran untuk merujuk kepada badan aku yang montel. Sekurang-kurangnya perkataan itu tidaklah membuatkan hati aku menjadi sensitif dan rendah diri dengan bentuk fizikal aku.

“Ha’ah, dah tak comel dah” jawab Zhafran selamba membuatkan aku menjegilkan mata. Dulu aku memang mempunyai berat badan yang dikategorikan sebagai obesiti. Sejak dari kecil aku adalah kanak-kanak yang tembam. Dan, kerana kekurangan itulah aku sering merasa rendah diri. Aku menjadi pendiam dan tidak punya ramai kawan. Namun, fizikal aku tidak langsung membuatkan Zhafran merasa segan untuk berkawan dengan aku. Malah, tidak pernah sekali pun lelaki ini mempersendakan atau mengejek kekurangan aku itu. Sebab itu aku selesa berkawan dengannya. Dialah satu-satunya kawan rapat aku yang sentiasa menceriakan zaman kanak-kanak aku.

“Sampai hati abang cakap Atie dah tak comel” aku memuncungkan mulut, pura-pura merajuk. Sudah lama aku tidak mendengar pujukan Zhafran. Mengada-ngada betul kau ni Atiya!

“Muncung lagi mulut tu. Nanti abang ikat dengan getah baru tahu. Atie memanglah dah tak comel, tapi makin cantik” aku langsung tidak menyangka kata-kata itu yang akan dituturkan Zhafran. Wajah aku sudah berubah rona merah. Kenapa dengan aku ini? Tiba-tiba aku menjadi resah dengan bait indah yang meniti di bibir Zhafran. Terus membuatkan aku kehilangan kata-kata.

“So, tell me. Macam mana Atie boleh kurus ni? Diet melampau ke? Don’t tell me you are skipping your meals?” pertanyaan Zhafran sudah berubah nada. Aku tahu Zhafran memang tidak suka jika aku mengamalkan diet yang tidak sihat.

“Tak adalah. Atie diet ikut nasihat Dr” balas aku. Sebenarnya, suatu peristiwa yang menyebabkan aku benar-benar bertekad untuk mengurangkan berat badan aku. Aku pernah dimasukkan ke wad kecemasan kerana menghadapi asma yang kronik atau obese asthmatics. Menurut doktor, salah satu puncanya adalah kerana berat badan aku yang berlebihan telah mengganggu lubang udara paru-paru aku. Peristiwa ini tidak pernah aku khabarkan kepada Zhafran. Tidak ingin membuatkan dia bimbang. Dan sudah pasti aku akan dihadapkan dengan bebelannya yang berbakul-bakul nanti. Tak sanggup aku nak dengar!

“Betul ke ni?” tanya Zhafran separuh percaya.

“Betul” aku meyakinkan nya.

“Cuma, adalah sekali dua tu Atie skip meals sebab tak sempat masa belajar. Abang tahulah persediaan A-level bukan senang. Banyak coursework yang nak kena siapkan” aku menyambung jujur.

“Haa, kan abang dah kata. Abang bukannya apa, abang tak naklah Atie pengsan macam dulu. Atie kan ada gastrik. Kat sini, walau Atie sibuk macam mana pun abang tak nak Atie tak makan. Kalau jadi apa-apa abang juga yang susah. Ibu dan abah Atie mesti marahkan abang nanti” ujar Zhafran. Aku hanya tersenyum mendengar leteran lelaki itu. Sudah lama aku tidak dengar bibir merah itu membebel. Terbit rasa indah dan bahagia apabila Zhafran mengambil berat akan diri aku.

“Ya, Atie tahu. Dah lah pot pet tu abang. Lenguh dah Atie berdiri dekat sini. Bila nak bertolak ke kampus ni?” pertanyaan aku mengundang jelingan Zhafran.

“Nakal Atie sekarang ya. Okay lah, jom kita ke kereta abang. Tiga puluh minit perjalanan dalam kereta abang nak sambung kata-kata nasihat abang” beritahu Zhafran mengusik. Aku hanya mencebikkan bibir. Di dalam hati aku tidak kisah. Untuk hari ini, kalau Zhafran nak membebel sampai malam pun aku tak peduli. Sebab aku benar-benar rindukan celoteh lelaki ini!