BAB 8

14 Ogos 2001.

Aku melebarkan pandangan ke luar jendela hospital. Fikiran aku buntu memikirkan permintaan abah. Dek terlalu risaukan keselamatan aku di negara asing, abah telah sepakat untuk membawa aku pulang ke Malaysia buat selama-lamanya. Bermakna aku terpaksa berhenti daripada pengajian aku di sini. Tetapi, aku datang ke sini di atas tiket biasiswa MARA. Jika aku menarik diri, bermakna aku terpaksa membayar ganti rugi yang bukannya sedikit. Ini jugalah alasan yang aku berikan pada abah supaya terus membenarkan aku berada di sini. Namun, abah sanggup menggunakan wang simpanannya dan akan membuat pinjaman bank untuk membayar balik wang biasiswa yang telah aku gunakan. Abah benar-benar tekad dan bertegas dengan keputusannya. Aku menjadi buntu. Aku ingin terus belajar di sini. Dan aku juga tidak tega membiarkan orang tua aku menanggung beban hutang demi aku.

Sekarang aku sudah berada di penghujung pengajian tahun satu. Segala usaha aku sepanjang dua semester yang lepas pasti akan menjadi sia-sia jika aku mengambil keputusan untuk berhenti belajar. Aku tidak mahu ketinggalan ke belakang. Bagaimana lagi harus aku yakinkan ibu dan abah supaya terus membenarkan aku belajar di sini. Aku dapat rasakan kesihatan aku akan pulih dengan sepenuhnya dalam masa dua minggu lagi. Tempoh yang ada sekarang ini memang cukup untuk aku berehat sebelum memulakan semester ketiga, semester akhir bagi tahun pertama pengajian aku. Akhirnya, aku melepaskan keluhan berat.

“Kenapa ni Atie?” soalan yang diutarakan Zhafran benar-benar mengejutkan aku. Aku langsung tidak menyedari kedatangannya. Aku tidak terus menjawab pertanyaan Zhafran, sebaliknya hanya terus membuang jauh pandangan ke luar.

“Kenapa ni? Atie ada masalah ke? Beritahulah abang. Sejak bila Atie dah tak nak kongsi masalah dengan abang ni, emmm?” bertalu-talu Zhafran menyoal aku dengan nada suara yang lembut.

“Atie sebenarnya buntu. Tak tahu dah macam mana nak yakinkan abah. Atie tak nak berhenti belajar” luah aku sayu.

“Berhenti?” Zhafran benar-benar terkejut dengan perkhabaran yang aku sampaikan padanya. Aku hanya menganggukkan kepala mengiakan pertanyaan Zhafran. Kemudian, aku melemparkan pandangan kembali ke luar jendela.

“Dah cuba pujuk uncle?” tanya Zhafran perlahan.

“Sudah. Macam-macam alasan dah Atie beri. Tapi semuanya tak jalan. Malah abah sanggup berhutang untuk bayar balik biasiswa MARA. Atie buntu lah abang. Atie nak terus belajar dekat sini. Atie nak terus bersama dengan abang dekat sini” ujar aku lirih. Kolam mata aku menjadi panas. Cengeng aku sudah bermula. Kuatlah wahai hati!

“Nanti abang cuba cakap dengan uncle pula ye. Janganlah buat muka moyok macam ni” beritahu Zhafran cuba memujuk aku. Aku tahu Zhafran memang tidak betah melihat aku dalam kesedihan. Dia memang tidak pernah jemu memujuk dan menenangkan perasaan aku jika dilanda kedukaan, sejak dulu sehingga kini.

“Entahlah, abang. Atie kenal sangat dengan abah Atie. Kalau dah hitam kata abah, memang takkan bertukar menjadi putih. Selepas apa yang menimpa Atie ni, memang abah takkan benarkan Atie terus berada di sini. Lagipun, abang sudah tahun akhir. Abang ingat abah akan terus benarkan Atie tinggal di sini bila abang dah balik ke Malaysia nanti? Dulu pun puas Atie pujuk mereka untuk benarkan Atie belajar dekat sini. Ibu dan abah benarkan pun sebab abang” terang aku dengan panjang lebar. Zhafran kelihatan seperti sedang berfikir mendengar kata-kata aku. Selepas itu, suasana hanya dibiarkan sepi. Zhafran seakan tenggelam dalam dunianya sendiri. Mungkin dia sendiri buntu untuk membantu aku memujuk abah supaya membenarkan aku terus berada di bumi England ini.

“Assalamualaikum” salam yang diucapkan abah memecahkan kesepian di antara aku dan Zhafran. Salam abah ku jawab di dalam hati.

“Anak abah macam mana hari ini?” abah menghampiri aku. Aku hanya memandang abah sambil melemparkan senyuman nipis.

“Atie rasa dah makin sihat. Mungkin beberapa hari lagi dah boleh keluar kot” ujar aku separuh berbohong. Sebenarnya aku ingin meyakinkan abah. Mana tahu mungkin mereka akan terbuka hati untuk membenarkan aku meneruskan pengajian semester tiga aku di sini.

“Alhamdulillah. Kalau macam tu lagi cepat kita boleh balik ke Malaysia” balasan abah membuatkan aku menelan pahit air liur. Nampaknya taktik aku tidak menjadi.

“Uncle, saya hendak bincang fasal pengajian Atie, boleh?” tiba-tiba Zhafran bersuara serius.

“Boleh, Zhafran” balas abah pendek. Semua mata menghala ke wajah Zhafran, menanti butir bicara yang akan disuarakan oleh lelaki itu.

“Saya harap uncle benarkan Atie meneruskan pengajian dia di sini” pinta Zhafran membuatkan abah terkesima.

“Maafkan uncle, Zhafran. Tapi uncle dah sepakat untuk bawa Atie balik ke Malaysia. Di Malaysia nanti, Atie boleh daftar belajar di universiti local” balas abah perlahan namun masih dapat aku kesan ketegasan di sebalik kata-kata abah itu.

“Tapi, Atie sudah hampir setahun di sini. Jika sambung belajar di Malaysia, Atie terpaksa bermula dari awal balik” tingkah Zhafran tidak berputus asa.

“Itu uncle faham, Zhafran. Bukan kami tak fikirkan semua itu. Tapi, buat masa sekarang apa yang lebih penting adalah keselamatan Atie. Atie satu-satunya anak perempuan uncle. Uncle tak yakin dengan kehidupan yang Atie lalui di sini. Kawasan ini tidak selamat untuk perempuan Melayu. Jika uncle tahu awal-awal yang komuniti Melayu kurang di sini, memang uncle tak akan benarkan Atie datang ke sini” ujar abah dengan panjang lebar, masih mempertahankan keputusan yang diambilnya. Aku mengeluh kecewa di dalam hati. Abah memang seorang yang berpendirian tegas. Memang sukar hendak meyakinkan abah jika keputusan telah diputuskan.

“Kalau begitu, biar Atie pindah tinggal bersama-sama dengan saya. Saya janji, saya akan jaga keselamatan Atie sepanjang masa. Saya juga janji, akan terus berada di sini sehingga Atie tamat belajar. Saya akan tunggu Atie di sini” saran Zhafran bersungguh-sungguh. Sebuah cadangan yang bagi aku agak tidak masuk akal. Namun melihat kesungguhan Zhafran membuatkan hati aku cukup terharu.

“Uncle faham Zhafran dan Atie sangat rapat sebagai sahabat. Tapi, kamu berdua bukan muhrim. Agama kita tidak benarkan kamu berdua tinggal serumah walaupun berlainan bilik” tutur abah menyangkal cadangan Zhafran.

“Jadi, izinkan saya bernikah dengan Atie” ayat yang terpacul di mulut Zhafran benar-benar mengejutkan aku. Tidak aku sangka sebegini hebat pengorbanan yang sanggup Zhafran lakukan untuk aku.

“Abang, apa yang abang mengarut ini?” tanya aku masih dalam keadaan terperanjat. Zhafran tidak perlu menghancurkan kebahagiaannya hanya semata-mata untuk pastikan aku dapat terus belajar di sini. Aku tidak sampai hati membiarkan keadaan ini berlaku.

“Nikah kahwin bukan perkara main-main, Zhafran. Kamu sedar tak apa yang kamu cakapkan ini?” soal abah dengan serius.

“Ya, uncle. Saya sedar dan saya memang serius. Saya bersedia menjadi suami Atie. Dan saya akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga dan melindungi Atie sebagai isteri saya” beritahu Zhafran dengan yakin.

“Pernikahan adalah penyatuan dua jiwa, Zhafran. Dua jiwa yang saling mencintai. Bolehkah kamu menyayangi Atie lebih daripada seorang sahabat?” soal abah kembali seolah-olah ingin menebak perasaan Zhafran.

“Saya memang cintakan, Atie. Lebih daripada diri saya sendiri. Saya memang yakin dengan keputusan saya untuk memperisterikan Atie” luah Zhafran dengan tegas membuatkan aku terpegun. Terasa seperti darah ku menyerbu naik ke kepala. Saat dan detik seakan terhenti. Luahan yang berjaya menjengahkan rasa bahagia walaupun aku tahu Zhafran tidak mungkin memaksudkan apa yang dikatanya. Kerana Zhafran sendiri sudah mempunyai pilihan hatinya sendiri. Bagaimana dengan cinta Siti Aisyah yang setia menunggunya di Malaysia?

“Baiklah, kalau begitu kamu berdua akan dinikahkan sebaik Atie dibenarkan keluar dari hospital” putus abah membuatkan aku benar-benar terpana. Mana mungkin abah membuat keputusan tanpa meminta persetujuan aku terlebih dahulu.

“Atie tak setuju!” ujar aku kuat membangkang. Aku tidak boleh membenarkan kesilapan ini berlaku. Ramai hati yang akan terluka jika pernikahan ini diteruskan. Walaupun sekuat mana hati aku meronta-ronta untuk terus menimba ilmu di bumi England ini, tapi aku tidak tega mendahulukan kepentingan diri aku sendiri.

“Kenapa, Atie? Bukankah ini yang Atie mahukan? Dengan pernikahan ini, abah dan ibu tidak akan runsing dengan keselamatan Atie di sini” soal abah pelik dengan penolakan keras aku.

“Atie memang sayangkan abang Zhafran. Sayang sebagai seorang adik kepada abang. Dan Atie tidak rela abang Zhafran mempertaruhkan kebahagiaannya demi Atie” luah aku pedih. Pedih dengan pembohongan yang terpaksa aku ungkapkan. Aku tahu Zhafran terpaksa dengan cadangannya itu. Cukuplah selama ini aku sering menyusahkan dan membebankan Zhafran. Mungkin sudah takdirnya aku harus pulang ke Malaysia.