BAB 2

3 Januari 1994.

Hari ini merupakan hari pertama aku menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Sultan Muhammad, salah sebuah sekolah harian elit di bandar Kuantan. Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) aku yang agak cemerlang membolehkan aku melanjutkan pengajian di tingkatan satu di sekolah ini. Gembiranya aku bukan kepalang apabila diterima masuk untuk belajar di sini. Aku benar-benar teruja kerana sekali lagi aku akhirnya dapat belajar di sekolah yang sama dengan Zhafran. Bolehlah aku jumpa Zhafran setiap hari selepas ini. Macam dulu-dulu. Tidak sia-sia usaha aku belajar bersungguh-sungguh. Memang Zhafran menjadi subjek pendorong atas segala usaha ku. Tetapi, kegembiraan aku itu tidak lama. Kata-kata ibu pagi tadi membuatkan aku rasa cukup sedih dan kecewa.

“Mak Munah ada beritahu ibu, Zhafran dapat offer sambung belajar ke MRSM Taiping. Minggu depan papa Zhafran akan menghantar Zhafran ke Perak” beritahu ibu sewaktu aku sedang menikmati sarapan pagi di meja makan. Berita itu berjaya mematikan selera ku. Kecemerlangan Zhafran dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan memperoleh skor straight 8A’s memang melayakkan lelaki itu diterima masuk ke sekolah berasrama penuh.

“Betul ke ini ibu? Abang Zhafran tak ada pula beritahu Atie” soal ku tidak percaya. Memang benar Zhafran langsung tidak memaklumkan pada aku tentang tawaran itu. Ketika pertemuan semalam pun, tiada pula Zhafran membuka mulut tentang perpindahannya ke sekolah lain. Namun, aku perasan perubahan wajah Zhafran yang sedikit murung.

“Entahlah, Atie. Itu yang Mak Munah cakap pada ibu. Kalau kamu tak pasti, nanti pergilah tanya sendiri pada Zhafran” ujar ibu sambil merenung wajah aku yang telah berubah cemberut. Mak Munah merupakan penjaga Zhafran. Persahabatan yang terjalin di antara aku dan Zhafran secara tidak langsung memperkenalkan Mak Munah kepada ibu aku. Ibu memang memantau ketat pergaulan aku. Kalau boleh semua kawan-kawan aku dia hendak kenal, sampaikan mak bapak atau penjaga kawan-kawan aku pun ibu hendak tahu.

“Bosanlah Atie nanti kalau abang Zhafran pindah sekolah” aku meluahkan rasa hati. Ibu hanya memandang aku dengan senyuman nipis. Faham benar dengan keakraban persahabatan di antara aku dan Zhafran.

“Itu kan untuk kebaikan Zhafran juga. Kan lebih baik kalau dia dapat belajar bersama-sama dan bersaing dengan budak-budak pandai. Atie tak bangga ke kalau Zhafran berjaya?” pujuk ibu aku lembut.

“Ala ibu. Abang Zhafran tu kan bijak. Belajar dekat sekolah mana pun dia boleh berjaya. Tak seronoklah kalau abang Zhafran belajar jauh-jauh. Kena duduk asrama pula tu” tingkah aku dengan wajah yang masih mencuka. Aku memang tidak boleh dipisahkan dengan Zhafran. Masih aku ingat, sewaktu Zhafran terpaksa berpindah ke sekolah menengah kerana memasuki tingkatan satu, seharian aku berkurung di dalam bilik melayan kesedihan. Itu baru kes pindah sekolah. Padahal di luar waktu sekolah aku masih lagi boleh berjumpa dengan Zhafran. Besarnya pengaruh kehadiran Zhafran dalam hidup aku. Tetapi sekarang Zhafran hendak pindah ke sekolah berasrama penuh. Tinggal di asrama bermakna semakin terhad lah masa yang boleh kami luangkan bersama.

“Tak baik Atie cakap macam tu. Seorang kawan yang baik mestilah sentiasa menyokong kejayaan kawannya” kata-kata ibu meruntun jiwa aku. Kenapa ibu tidak faham dengan gelodak perasaan yang bermain di jiwa remaja aku? Zhafran adalah mentor dan idola aku. Dia adalah pelindung aku. Macam mana aku hendak mengharungi hari-hari aku tanpa Zhafran? Siapa lagi yang akan meminjamkan telinga mendengar segala luahan masalah aku? Siapa lagi yang akan membela aku jika aku dibuli kerana bentuk fizikal aku yang montel ini? Siapa lagi yang akan memujuk aku dengan aiskrim polipop nya setiap kali aku merajuk?

“Ibu, Atie nak abang Zhafran sekolah sama dengan Atie. Ibu mintalah Mak Munah pujuk papa abang Zhafran supaya jangan benarkan abang Zhafran tukar sekolah” rayu aku pada ibu. Kelopak mata aku sudah digenangi air mata. Dulu, masa mula-mula masuk ke sekolah rendah aku meraung mahukan ibu. Sekarang air mata aku gugur kerana tidak mahu berpisah jauh dengan Zhafran. Cengeng aku memang tak berubah-ubah kan?

“Ishh..budak ni. Benda yang baik takkan kita nak halang. Tak baik tau, sayang. Lagipun masa cuti sekolah kamu masih boleh jumpa dengan Zhafran juga kan” ibu menghampiri ku dan memeluk bahu aku erat.

“Dah, jangan buat muka sedih pagi-pagi hari ni. Cepat, habiskan makanan tu. Nanti terlewat pula ke sekolah” pesan ibu sambil mengesat mutiara jernih yang jatuh di pipi aku. Dalam terpaksa aku menghabiskan nasi lemak. Namun, setiap suapan yang ku telan itu cukup pahit ku rasakan.