#24

SUMPAHAN SI PARI-PARI
PART 24
ORIGINAL STORY BY SUZIEakaCHA

Miya tersenyum melihat skrin telefonnya.

??DENVER
"Selamat malam gadis pari."

??MIYA
"Selamat malam juga, kenapa tak tidur lagi ni?"

??DENVER
"Macam mana nak tidur, dari tadi aku menunggu panggilan dan pesanan dari kau. Macam mana dengan pertandingan tu?"

??DENVER
"Oh, ya maaf Denver. Aku tak sempat menghubungi kau tadi sebab aku terus sahaja ke kolej, itu pun aku hampir saja terlambat. Nasib baiklah aku dah berbincang dengan pensyarah Yohana lebih awal. Hari ini aku sangat gembira kerana aku telah memenangi pertandingan itu."

??DENVER
"Wah! Tahniah Miya! Aku memang dah agak, kau mesti akan menang pertandingan itu.

??MIYA
"Terima kasih, aku tak jangka pun kalau aku boleh menang pertandingan tu. Banyak saingan yang hebat-hebat tapi malam ini, aku bersyukur sangat-sangat kerana nasib telah menyebelahi aku.

??DENVER
"Aku akan sentiasa mendoakan kejayaan kau kat sana. Baiklah Miya, kalau ada masa lapang ataupun Miya perlukan teman, cepat-cepat hubungi aku. Miya rehatlah, mesti penat kan?"

??MIYA
"Ya, memang penat sangat ni. Okeylah, nanti kita sambung lagi ya. Selamat malam Denver."

Mereka berdua mengakhiri perbualan pesanan ringkas itu.

Cuaca pada malam itu agak sejuk.
Miya menarik selimut tebalnya lalu menutupi tubuhnya yang kedinginan, dia mengerekot di dalam selimut itu sambil memikirkan sesuatu.

"Lester benar-benar sudah tidak mahu mendekati aku lagi, perangainya juga sudah kembali seperti dulu. Tidak ada sedikit pun senyuman di bibirnya, aku harus melakukan sesuatu." Miya mengetap bibirnya.

"Tapi, apa sebenarnya maksud Lester? Dia tidak ingin merosakkan persahabatannya dengan Kenzie. Bukankah lebih baik kalau kami semua bersahabat? Argh...Tidak! Perasaanku terhadap Lester bukan hanya sekadar sahabat, aku inginkan lebih dari seorang sahabat. Aku boleh memiliki Lester dengan mudah menggunakan tongkat saktiku tetapi aku tidak akan sesekali menggunakan cara kotor!"

Miya bermonolog di dalam biliknya. Dia asyik memikirkan Lester sehingga dia tidak menyedari matanya terlelap dan mulai dibuai mimpi.

Sementara di rumah kediaman puan Cailin pula, masih lagi kedengaran bunyi petikan gitar di dalam bilik Lester. Alunan gitarnya kurang tersusun, fikirannya seperti terganggu.

"Argh! Apa dah jadi ni?" Lester menghempaskan gitarnya ke atas sofa di dalam biliknya. Dia bingkas bangun dan berbaring di atas tilam. Dia cuba untuk melelapkan matanya namun, fikirannya terus mengganggu dirinya.

"Benarkah gadis itu adalah Miya? Kenapa dia tidak memberitahu aku sewaktu dia mentertawakan aku di luar dewan? Adakah dia sengaja untuk menyembunyikannya? Kenzie beruntung kerana dapat terus berada disisimu. Sedangkan aku pula hanya mampu melihat kau dari jauh."

Lester menekup mukanya dengan batal. Matanya yang masih segar dipaksa untuk lelap. Fikirannya benar-benar telah dikuasai oleh Miya. Hati yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapa kini berjaya dicuri. Akhirnya dia pun terlelap juga.

Keesokan harinya, mereka datang ke kolej seperti biasa. Setiap pelajar yang telah menghina Miya dahulu kini cuba untuk merapati Miya. Banyak juga pelajar lelaki yang datang memberi Miya bunga dan bermacam hadiah. Miya hanya tersenyum melihat perangai mereka yang tiba-tiba berubah menjadi baik kepadanya.

"Inikah perangai manusia, dengan mudah mereka berubah menjadi baik kepadaku setelah wajahku berubah menjadi cantik. Kenapa mereka tidak bersikap baik sewaktu wajahku masih hodoh dahulu, adakah ini semua hanya lakonan mereka semata-mata." Gerutu Miya.

Miya menaiki tangga satu persatu menuju ke tingkat dua. Dia tidak menyedari bahawa Lester sedang memerhatikannya dari hujung koridor tingkat tiga.

"Dia masih menyimpan patung mini panda itu?" Bisik Lester. Dia mengamati patung mini panda yang tergantung pada anak beg Miya. Lester tersenyum kecil, dia teringatkan betapa susahnya dia mengeluarkan patung mini panda itu daripada mesin permainan menangkap patung. Dia berasa senang melihat Miya masih menyimpan patung itu. Kehadiran Miya semula ke kolej itu mulai mengembalikan senyuman Lester.

"Hai, Miya." Sapa Kenzie yang muncul dengan tiba-tiba dari sebuah kelas sambil mencium pipi Miya.

Miya tergamam melihat tindakan Kenzie. Wajahnya menjadi merah padam.

"Celaka! Dari mana pula Kenzie ni, mana boleh dia mencium Miya sebegitu. Mereka belum menjadi pasangan kekasih!" Lester berleter sendirian di koridor tingkat tiga. Hatinya mulai tidak senang apabila melihat Kenzie berada disamping Miya.

"Maaf Miya..." kata Kenzie apabila melihat raut wajah Miya mulai berubah. Miya tentu tidak menyukai perbuatannya tadi.

"Jangan buat macam tu lagi, nanti apa kata orang lain bila nampak kau tiba-tiba datang dan terus mencium aku," ujar Miya.

"Biar semua orang tahu bahawa aku memang mencintai kau sejak dari dulu lagi Miya," balas Kenzie.

Miya tidak mengendahkan kata-kata Kenzie. Miya terus melangkah menuju ke kelasnya.

"Yeah! Bagus," gumam Lester setelah melihat Miya meninggalkan Kenzie di belakang.

Kelas mereka pada hari itu dilangsungkan sehingga ke petang. Sebaik sahaja waktu pembelajaran mereka habis, Miya segera keluar dari kelas. Kyra dan Kenzie sudahpun menunggunya di hadapan tangga.

"Miya, petang ni kita pergi kat air terjun ya. Dah lama kita tak pergi kat sana, nanti aku ajak Lester sekali." Kata Kyra.

Miya tiba-tiba berasa teruja, jantungnya berdengup kencang apabila mendengar nama Lester.

"Ya, boleh juga. Nanti kamu berdua tunggu aku kat pinggir hutan tu ya." Balas Miya.

Sedang mereka asyik bersembang, Lester pula muncul di hadapan tangga. Dia baru sahaja keluar dari kelasnya.

"Lester! Nasib baik kau masih ada kat sini. Petang nanti kita pergi kat air terjun ya, kau mesti datang tau! Sebab ada hal penting yang aku nak cakap dengan kau nanti." Kyra berpaut pada lengan Lester seperti anak kecil.

Miya dan Lester sempat berpandangan sekejap.

"Dahlah tu Kyra, macam budak-budaklah perangai kau ni. Kau tak malu ke buat macam tu depan Miya." Bentak Kenzie kepada adiknya.

Kyra melepaskan tangannya, bibirnya muncung seperti mulut itik.

"Hissh...Abang ni kan," Kyra mendengus kencang.

"Lester kau mesti datang kat air terjun ya!" Bentak Kyra.

Lester menjungkit bahu dan meninggalkan mereka bertiga.

"Dingin betul Lester ni," gumam Miya.

"Miya, kau nak tumpang kami balik ke?" Tanya Kenzie.

"Tak, auntie Madeline dah menunggu aku kat depan gerbang tu." Jawab Miya.

"Baiklah, kalau macam tu kita jumpa kat pinggir hutan tu nanti ya." Balas Kenzie.

Mereka bertiga bergegas meninggalkan kolej Reyes.

Semasa dalam perjalanan pulang, Kenzie mengambil kesempatan untuk bertanya kepada Kyra. Dia memandang wajah adiknya yang sedang leka membaca buku novelnya.

"Kyra, aku tahu apa yang kau nak katakan pada Lester nanti. Kau benar-benar sudah pasti ke, nak beritahu perkara tu pada Lester?"

Kyra berhenti membaca novelnya seketika. Dia memandang Kenzie yang kelihatan serius dengan pertanyaannya.

"Ya, dah tiba masanya. Aku harus memberitahu Lester tentang perkara ini, Biarlah abang dengan Miya menjadi saksi." Kyra benar-benar nekad dengan keputusannya.

"Kau tak takut?" Kenzie tiba-tiba menghentikan keretanya.

"Tidak, aku sudah tidak boleh menyembunyikannya." Wajah Kyra serius memandang Kenzie.

"Okey, baiklah kalau kau sudah memutuskan untuk memberitahu kepadanya, aku akan menyokong keputusan yang kau lakukan."
Kenzie meneruskan semula perjalanan pulang mereka.

Seperti yang telah dijanjikan, mereka bertiga bertemu di pinggir hutan.

"Mana Lester ni, dia tak sampai lagi ke," kata Kyra.

"Sabarlah, kejap lagi dia datanglah tu. Mungkin lebih baik kita tunggu dia kat air terjun tu saja." Ujar Kenzie.

Mereka bertiga perlahan-lahan menuju ke air terjun itu.

"Apa sebenarnya yang Kyra nak beritahu pada Lester, nampak macam penting sangat." Bisik hati Miya. Dia melihat Kyra yang tidak keruan menanti Lester.

Sementara menunggu Lester sampai, mereka bertiga bermandi-manda di air terjun itu.

Air yang kebiru-biruan itu sungguh sejuk sekali. Baru sahaja beberapa minit mereka bermandi-manda, bibir mereka sudah mulai berketar-ketar kerana kesejukkan. Namun begitu, mereka tetap sahaja berenang-renang di dalam air terjun itu. Sedang mereka asyik mandi, tiba-tiba terdengar satu jeritan kuat sedang berlari menuju ke dalam air terjun.

"Jaga-jaga!"

Prasshh!! Satu percikan air yang besar berlaku di tengah-tengah air terjun itu.

"Wow!! Segarnya!" Ujar Lester yang baru sahaja menyertai mereka. Dia memercik air ke arah Kyra. Tanpa menunggu lama, Kyra terus berenang ke arah Lester. Satu kucupan hinggap di bibir Lester. Kenzie tergamam melihat tindakan berani adiknya. Miya yang telah melihat perkara itu terus berpaling ke arah lain, Lester juga turut terkejut. Lester memandang Miya yang perlahan-lahan keluar dari air yang sejuk itu.

"Lester, aku sudah lama menunggu saat ini. Aku ingin mengatakan bahawa aku sebenarnya mencintai kau sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Aku sudah tidak mampu untuk menahannya," kata Kyra. Dia meluahkan perasaan yang telah tersimpan selama beberapa tahun di dalam hatinya. Dalam diam-diam, rupanya Kyra juga mencintai Lester.

Kenzie juga turut keluar dari air itu dan menghampiri Miya yang duduk di atas batu-batuan. Dia sengaja memberi ruang kepada adiknya, dia juga telah mengetahui perasaan Kyra terhadap Lester sedari dulu lagi. Setiap kali Lester meninggalkan pekan Reyes dan berpindah ke tempat lain, Kyra pasti akan menangis dan mengadu kepada Kenzie.

Lester yang terkejut mendengar pengakuan Kyra sepi seketika. Dia benar-benar tidak menyangka Kyra telah menaruh hati kepadanya selama ini.

"Adakah kau juga mempunyai perasaan terhadapku Lester?" Tanya Kyra, dia merenung anak mata Lester dalam-dalam.

"Maaf Kyra, aku sebenarnya hanya menganggap kau seperti adik selama ini. Kau juga tahu aku tidak mempunyai adik-beradik lain, hanya kau dan Kenzie sahaja yang paling rapat dengan aku daripada kecil lagi. Aku akui, kau telah membesar dengan sungguh cantik sekali tapi perasaan ku tetap sahaja menganggap kau seperti adik kandungku sendiri." Jawab Lester. Dia membelai rambut Kyra yang basah, dia sangat menyayangi Kyra namun sayangnya cuma sekadar adik.

Air mata Kyra mulai jatuh bercucuran setelah mendengar jawapan Lester. Dia menyangka Lester juga mempunyai perasaan terhadapnya selama ini kerana, Lester sentiasa mengambil berat tentang dirinya. Dia telah menaruh harapan yang tinggi sehingga membuatkan dirinya kecewa.

"Kyra, aku benar-benar meminta maaf." Lester memegang bahu Kyra dengan lembut.

"Aku tidak akan berputus asa! Aku akan lakukan apa sahaja untuk memiliki kau." Kyra menepis perlahan tangan Lester dan segera menuju ke arah Kenzie.

"Kenzie! Kita balik sekarang!" Bentak Kyra. Dia lantas menarik tangan Kenzie dan mereka bergegas meninggalkan air terjun itu tanpa menghiraukan Miya yang masih duduk di tepi air terjun. Manakala Lester pula baru sahaja hendak menghampiri mereka namun, Kyra dan Kenzie pula terus berlalu pergi.

Miya yang sepi sedari tadi bingkas berdiri. Dia juga ingin meninggalkan air terjun itu setelah melihat Kenzie dan Kyra pergi. Baru sahaja dia menapak selangkah, Lester lantas menarik Miya ke dalam dakapannya.

"Lepas Lester!" Rintih Miya. Dia risau kalau-kalau kembar Ruby itu kembali ke air terjun dan melihat Lester memeluknya.

"Kau jangan salah sangka dengan perkara tadi," kata Lester.

"Siapa kata aku peduli dengan perkara itu, Kyra mencintai kau. Kenapa kau tak terima sahaja cinta Kyra!" Miya menolak tubuh Lester.

"Kau menyuruh aku menerima cinta Kyra? Habis tu, kenapa kau menolak cinta Kenzie? Kenapa kau menghilang begitu saja? Kau langsung tidak menghubungi aku!"

"Kau sendiri yang mengatakan bahawa kita tidak mempunyai urusan lagi, bukan aku yang meninggalkan kau! Tapi kau yang telah meninggalkan aku di tempat ini pada waktu itu! Kau tahu tak, betapa sakitnya hatiku melihat kau pergi begitu saja dan malam tadi kau langsung tak datang berjumpa dengan aku! Lelaki jenis apakah kau ini Lester, kenapa kau takut sangat untuk merapati aku kembali? Aku ingin terus berada disamping mu, tapi kenapa kau terus mengelakkan diri!" Air mata Miya mengalir deras sambil meluahkan kata-kata yang terpendam di hatinya, dia juga lupa dengan pengakuan Kyra kepada Lester sebentar tadi.

Tanpa berkata apa-apa, Lester terus mengucup bibir Miya.

Miya terkaku dihadapan Lester, dia membiarkan Lester bermain dengan bibirnya seketika. Setelah itu, sekali lagi Lester mendakap Miya dengan seerat-eratnya.

"Sebab inilah aku tidak mahu mendekati kau. Selepas sahaja kau menghilang pada hari itu, aku mulai menyedari bahawa aku memang sudah jatuh cinta pada kau. Perasaan ini berputik pada hari perkhemahan kat hutan Parko tempoh hari. Aku sangka ia hanya mainan perasaan tapi semakin hari, perasaan itu semakin berkembang," Lester menarik wajah Miya dan merenung anak mata Miya yang bersinar.

"Apa yang akan kita lakukan selepas ini? Bagaimana dengan Kyra?" Miya meleraikan dakapan Lester.

"Aku sudah menjelaskan kepadanya bahawa aku hanya menganggap dia sebagai seorang adik."

"Tapi, Kyra bukan seorang yang mudah mengalah. Dia akan berusaha untuk mendapatkan keinginannya."

"Miya, adakah kau benar-benar mencintai aku?" Lester meraih tangan Miya dan menggenggamnya dengan erat.

Miya memandang anak mata Lester, lalu mengangguk perlahan-lahan.

"Kalau benar kau mencintai aku, tidak ada apa yang perlu kau takutkan. Kita sama-sama saling mencintai dan kita harus berjuang untuk mempertahankan cinta kita. Walaupun kita terpaksa mengorbankan persahabatan kita."

"Tapi, ada sesuatu yang kau perlu tahu tentang diriku. Aku bukanlah manusia biasa seperti kamu. Aku adalah..."

Raut wajah Lester berubah, dia bingung seketika.

"Apa maksud kau Miya? Kau bukan manusia biasa? Jadi kau sebenarnya siapa? Aku tidak mahu ada rahsia di antara kita, berterus terang sahaja dengan aku."

"Kau tentu masih ingat dengan peti perak itu kan? Peti itu milik ibuku, ia berisi tongkat sakti dan serbuk sakti yang telah menghapuskan sumpahan ke atas diriku. Aku telah disumpah oleh ayahku sendiri dan diusir ke dunia manusia. Aku sebenarnya adalah seorang Pari-Pari." Miya mengeluarkan sayap putihnya dan menunjukkan siapa dirinya yang sebenar kepada Lester.

Lester tergamam melihat bentuk asal Miya yang bersayap.

"Pa...Pari? Kamu seorang Pari? Apakah aku salah mendengar dan salah melihat kau seperti ini?" Lester mengamati sayap putih Miya.

"Tidak Lester, memang benar inilah diriku. Aku tidak sanggup lagi untuk terus membohongi orang-orang yang aku sayangi."

"Kenzie dan Kyra juga tahu perkara ini?" Tanya Lester.

Miya menggeleng perlahan.

"Auntie Madeline melarang aku untuk mendedahkan identiti sebenar aku, kerana ia akan membahayakan diriku." Jawab Miya.

"Memang betul tindakan auntie Madeline. Nyawa kau akan terancam jikalau kau mendedahkan identiti kau kepada keluarga Ruby."

"Tapi kenapa dengan keluarga puan Ruby? Mereka semua nampak baik-baik sahaja, tidak mungkin mereka akan membahayakan nyawaku."

"Itu kerana mereka tidak tahu identiti sebenar kau. Tapi kau tidak perlu risau kerana, aku akan menjaga dan melindungi kau mulai dari saat ini. Aku tidak mahu gadis yang aku cintai diapa-apakan, aku janji!" Lester memeluk Miya dengan lembut.

"Apa kaitan dengan semua ini pada keluarga puan Ruby?" Miya tidak habis berfikir.

"Kita balik sekarang ya, hari dah nak gelap ni." Kata Lester.

"Baiklah Panda," balas Miya sambil tertawa kecil.

"Panda? Apesal kau panggi aku Panda ni. Hari tu Senget, sekarang dah bercinta panggil Panda pula." Lester mencuit pipi Miya.

"Yala, kan hari tu kau pernah dapat mata Panda. Comel sangat, sebab tu aku panggil kau Panda. Nanti panggil Senget marah pula." Balas Miya.

Mereka berdua tertawa gembira. Lester memegang erat tangan Miya sambil mereka berjalan meninggalkan air terjun.

"Esok datang awal tau!" Kata Lester sambil menghidupkan motorsikalnya.

"Tak nak," balas Miya sambil melambaikan tangan kepada Lester. Miya memasuki laluan kecil di tepi ladang jagung pari Madeline.

"Kalau kau tak nak datang awal, aku akan datang menjemput kau kat rumah!" Pekik Lester yang perlahan-lahan melintasi jalan.

"Yala, esok aku datang awal." Balas Miya yang menyusuri laluan kecil kembali ke rumah.

Setibanya di rumah, ibu Lester segera mendapatkan Lester yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah.

"Ayah kamu akan kembali ke sini esok," kata puan Cailin yang sungguh teruja menanti kepulangan suaminya.

"Ayah telefon ibu ke? Kenapa ayah nak balik ke sini?" Lester agak terkejut, raut wajahnya tampak risau.

"Kenapa Lester? Kamu tak suka ayah kamu balik ke sini ke?" Puan Cailin mengerutkan keningnya.

"Tak ibu, bukan macam tu. Tapi..." Lester tidak menghabiskan kata-katanya. Dia terus berlari ke arah pintu bilik bawah tanah dan menarik satu persatu kain putih yang menutupi barangan ayahnya yang disimpan rapi di bilik bawah tanah itu.

"Apa yang kau cari ni Lester? Nanti ayah kamu marah kalau nampak barangannya di kacau!" Bentak puan Cailin.

Lester tidak mengendahkan kata-kata ibunya. Dia terus menarik kain itu satu persatu sampai akhirnya dia menjumpai peti kaca di sudut bilik bawah tanah itu.

Lester terkejut melihat jasad seorang pari yang telah diawetkan di dalam peti kaca itu. Jasad seorang pari perempuan yang masih utuh terbaring kaku. Lester melihat ayahnya membeli jasad pari itu di sebuah muzium yang terletak di tengah pekan beberapa tahun yang lalu. Ketika itu Lester baru berumur tujuh tahun. Ayahnya juga menceritakan kepadanya tentang pari yang telah membunuh dua orang sahabat baiknya. Cerita itu masih kekal dan segar di dalam ingatannya.

"Nyawa Miya benar-benar dalam bahaya sekarang. Ayah tidak boleh mengetahui identiti Miya, Miya pasti akan menerima nasib seperti pari di dalam peti kaca ini." Bisik hati Lester.

Lester menutup kembali peti kaca itu dengan kain, kemudian dia bergegas masuk ke dalam biliknya.

Puan Cailin bingung melihat perangai Lester yang berkelakuan pelik. Kebiasaanya Lester pasti akan tersenyum sedikit apabila mengetahui ayahnya akan pulang menjenguk mereka.

*****
"Kyra, Miya ada hubungi kau tak?" Kenzie menjenguk ke dalam bilik Kyra yang terbuka luas.

"Takde," jawab Kyra malas.

Kenzie menghampiri adiknya.

"Sudahlah Kyra, kamu tidak usah memikirkan tentang Lester lagi. Dari awal lagi aku sudah mengagak bahawa Lester tidak mempunyai perasaan terhadap kau. Karen yang lebih cantik dari kau pun dia tak pandang, entah gadis yang macam manalah dia inginkan." Kenzie mengusap belakang adiknya.

"Walaupun Lester hanya menganggap aku sebagai adik tapi aku tidak akan berputus asa untuk memiliki hatinya, Lester pasti akan menjadi milikku!" Kyra mengepal penumbuknya.

"Jangan terlalu berharap Kyra, ia hanya akan menyakitkan kau." Kenzie menepuk bahu adiknya perlahan lalu keluar meninggalkan Kyra di dalam biliknya.

Handphone yang tersimpan rapi di atas meja digapai oleh Kenzie. Nombor Miya segera didail.

Panggilan disambungkan.

??KENZIE
"Hello Miya, kau okey ke?"

??MIYA
"Ya, aku baik-baik saja. Ada apa ni?"

??KENZIE
"Aku minta maaf kerana kami meninggalkan kau kat air terjun petang tadi."

??MIYA
"Hmm...Takpelah, air terjun tu bukannya jauh sangat dari rumah. Lagipula aku balik bersama Lester tadi, macam mana dengan Kyra? Dia baik-baik saja kan?"

??KENZIE
"Kau balik dengan Lester? Miya, tolong jangan rapat dengan Lester ya. Kyra ada kat dalam bilik dia, emosinya agak terganggu. Biarkan dia bertenang sekejap."

??MIYA
"Kenapa aku tak boleh rapat dengan Lester? Dia kan kawan kamu juga. Baiklah, aku akan berjumpa dengan Kyra esok. Mudah-mudahan Kyra dapat tenangkan fikiran dia."

??KENZIE
"Aku cemburu!"

??MIYA
"Cemburu? Tolonglah faham Kenzie, hubungan kita hanyalah sekadar kawan. Maaf, aku nak rehat ni. Esok kita jumpa kat kolej saja.

Miya terus mematikan telefon.

"Kenapalah susah sangat kau nak terima aku Miya," keluh Kenzie. Dia menarik bantalnya dan terus berbaring.