BAB 4

Di persada singgahsana..

“Ke mana sahaja Arjuna telah menghilangkan diri kanda?” gundah gulana hatinya sebagai ibu.

Manakan tidak, selama ini belum pernah anak teruna kesayangannya menghilangkan diri begitu sahaja. Hanum Cahaya mengeluh. Laksamana Suria Syahazan menggeleng melihat gelagat isteri yang dari tadi asyik menopang dagu. Lantas dia memperkemaskan selempang pada bahu isteri tercinta.

“Janganlah terlalu gusar adinda. Kanda mengerti kerenah Arjuna. Dia tak mungkin berani untuk bermain jauh dari kawasan kita. Apa dinda sudah lupa? Arjuna masih punya tanggungjawab untuk memimpin kumpulan Tualang,” soalan suaminya dibiar sepi.

Sekilas, dia memandang si suami yang segak memakai tanjak. Sememangnya sebagai keturunan pahlawan, mereka sekeluarga tidak terkecuali mengekalkan warisan turun temurun berpakaian tradisional sepanjang masa. Bukan itu sahaja, segala ilmu mempertahankan diri diperturunkan kepada ahli keluarga generasi demi generasi.

“Adinda ibunya, sudah tentulah adinda bimbang. Mana mungkin seorang bapa mampu mengerti akan kebimbangan seorang ibu? Arjuna satu-satunya anak kita, kanda. Dinda tak pernah biarkan dia terpisah jauh dari kita, inikan pula sudah hampir seminggu tidak pulang. Andai lesap dia dari pandangan, maka pincanglah deru nafas adinda,” lemah suara Hanum Cahaya membalas nasihat si suami.Terangkat kening Suria Syahazan.

Sementelah diteliti, amat benar jua kata-kata yang terucap dari bibir isterinya.

“Inilah masanya untuk kita mendidik Arjuna berdikari, dinda. Kanda rasa dia semakin bijak dan sudah matang. Mungkin kini dia mengerti dan belajar untuk melakukan segalanya sendiri. Jangan difikirkan sangat, Panca turut bersamanya. Hulubalang kita telah mengesan kehilangan mereka berdua, dinda. Kanda yakin, kerana mereka sepupu yang sentiasa berdiri pada kaki sesama sendiri,” sambung Suria Syahazan sambil tersenyum sebelum berlalu meninggalkan Hanum Cahaya keseorangan dalam kamar pesona mahligai mereka yang tersergam indah.

“Arjuna Indera Wahyu, itulah nama aku sejak dilahirkan. Memang aku tak boleh mengubahnya, Afthar. Aku tak boleh nafikan bahawa aku keturunan pendekar zaman berzaman. Sejak lahir juga semua orang perlu belajar untuk menghormati aku sebagai waris Tun Terpilih. Bonda dan ayahanda memanggilku Arjuna. Setiap pelusuk Bentara juga mengenali aku dengan nama Arjuna. Pendekar remaja yang digeruni. Aku hilang kebebasan. Kemahuan aku dikekang, segala yang aku pelajari adalah berkaitan dengan ilmu kepahlawanan. Sedangkan aku masih lagi remaja. Seperti anak-anak sebaya kita yang lain.Aku jemu, Afthar. Aku bahagia hidup begini, bebas tanpa protokol,” luahnya sambil meraup rambut.

“Aku faham perasaan kau. Aku juga melalui perkara yang sama denganmu. Tapi takkan kau tak tahu, dah lama sangat kita tinggalkan Bentara. Tentulah bonda dan ayahanda kita bimbang. Seluruh penduduk Bentara tentu tertanya-tanya. Kita tak boleh lupa pada tanggungjawab, Afzal. Lagipun, semakin hari telapak kuasa(tapak tangan kiri) aku semakin sakit. Aku yakin, mereka telah berjaya mengesan kita sekarang. Badan aku semakin lemah. Namaku Panca Indrawan Sakti tentu telah diseru,” tenang dia menghabiskan hujah.

“Jika kau perlu pulang, pulanglah Panca. Tinggalkan aku di sini, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Fisa. Segala yang berlaku pada kami berdua adalah dongengan. Hanya satu khayal yang tak mungkin menjadi nyata,” kini mereka tidak betah untuk berpura-pura lagi. Kesakitan semakin kuat menyerang Panca. Lebih elok sekiranya jejaka itu pulang terlebih dahulu. Arjuna akan menyusul kemudian.

“Tidak Arjuna! Tidak! Siapa yang akan melindungimu sekiranya terjadi apa-apa? Apa yang akan aku jawab andai segunung persoalan bonda dan ayahanda kita tebarkan? Aku akan menunggumu di sini. Pergilah lekas, aku tidak selemah itu. Aku masih mampu bertahan!” lantang suara Panca menegah.

Pantang baginya untuk meninggalkan sepupunya itu bersendirian. Meski pahlawab terulung sekalipun, jika diperdaya oleh muslihat boleh rebah sekelip mata. Melihat kesungguhan sepupunya itu, Arjuna cepat-cepat membuka langkah. Dia harus cepat sebelum segalanya terlambat. Dia tak sanggup berpisah dengan Fisa tanpa berjumpa dengan gadis itu buat kali terakhir.