BAB 1

Ada apa dengan perempuan bernama Farisha. Ya Farisha, seorang gadis yang berumur 24 tahun. Berdarah campuran Indonesia dan Melayu dari sebelah ibunya dan berdarah Perancis sebelah bapanya.Sekali tengok wajahnya persis pelakon Indonesia, Julie Estelle.

Sangat-sangat cantik. Dua kali pandang pun masih cantik bahkan lagi cantik dari pelakon berdarah kacukan itu.Berlesung pipit di pipi, ketinggian 160cm, berkulit cerah, berambut ikal mayang, berwajah bujur sirih dan mempunyai susuk tubuh yang amat menarik.

Cuma perangainya sahaja yang tidak berapa cun. Seorang yang begitu serius dengan kerja dan bercita-cita tinggi. Namun disebalik wajahnya ayu nan jelita itu, dia juga Amat digeruni oleh staf-staf AM Holding kerana sikap panas barannya.

Setiap hari kalau tidak mendengar jeritannya memang tidak sah.Malah tidak kurang juga ramai yang memanggilnya 'singa betina'.

“Hazry!!! tolong masuk bilik saya sekejap,” arah Farisha kepada Hazry yang sedang tekun menyiapkan drawingnya.

Hazry cuma mengangguk perlahan tanpa menjawab.

“Hmmm, nak kena tibai lagi ke ni. Hari-hari macam ni, boleh kurus badan aku,” rungutnya.

“Weiii Ry, nak dating lagi ke. Tak habis-habis kau dating dengan cik annoying tu, tak acilah. Bagilah peluang dekat aku pula. Ni yang jeles ni. Kih kih kih,” Adam tergelak kuat. Sengaja dia menaikkan kemarahan Hazry. Cik Annoying merupakan gelaran yang diberikan oleh mereka kepada Farisha.

“Kau ni, tak habis-habis nak kenakan aku. Kalau kau suka sangat, kau gantilah tempat aku. Ni telinga aku ni, tinggal tak bernanah je lagi mendengar bebelan dia. Ini tak kena, itu tak kena. Haii, sakit jiwa aku ni. Kalau jadi bini aku memang aku dah picit-picit je dia tu,” Hazry membuat gaya dengan tangannya.

“Uiitt, ada hati pula tu nak buat bini. Kalau akulah, minta simpang malaikat 44. Minta dijauhkanlah.”

“Pulak.. tadi bukan main beria-ia nak pergi dating dengan dia. Bila kahwin dengan dia tak nak pula.”

“Tak apalah Ry, kau ambil jelah. Aku takut, kalau aku kahwin dengan dia nanti, umur aku tak panjang.”

“Ha ha ha, aku memanglah nak. Orang kaya tu, cantik pula tu. Senang hidup aku. Tapi dia pula tak nak dekat aku.”

“Ha ha ha, nasib baik kau sedar diri. Dahlah, pergi masuk cepat. Nanti berangin pula dia kat dalam tu.”

“Alaa.. apa nak takut. Kalau dia keluarkan angin, aku kasi kipas sama dia. Kalau tak cukup dengan kipas, aircond pun aku boleh bagi. Okeylah, aku masuk dulu,” Hazry mengatur langkah kaki perlahan menuju ke bilik Farisha.

Hazry mengetuk pintu bilik Farisha bertalu-talu, namun tiada jawapan yang didengarnya dari dalam. Tertera di pintu bilik Farisha jawatannya sebagai Timbalan Pengarah.

‘Hmmm, bertuahlah kau. Baru habis study terus dapat jawatan Timbalan Pengarah dekat syarikat engineering ni. Jawatan aku jugalah yang masih sama walaupun dah bertahun-tahun kerja dekat sini. Nak buat macam mana, dah kau tu anak bos. Kalau aku anak bos, aku pun boleh dapat jawatan tulah. So jangan nak berlagak dengan aku ye. Ni aku ketuk pintu beratus kali, tak reti-reti nak suruh aku masuk ke. Sakit dah tangan aku yang lembut ni. Ni ada juga yang nak kena sumbat dengan kasut karang ni,’ rungut Hazry lagi sambil mengetuk pintu bilik sekuat hati.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Terpampang wajah Farisha yang menyinga ke arahnya.

‘Oooppssss, terkejut aku. Nasib baik aku tak terketuk muka dia tadi. Kot ye pun kalau nak buka pintu tu, bagilah salam dulu. Ini tidak, main buka saja. Mak aiii, ni muka dah macam harimau betina nak beranak je ni. Aduhh, kecut perut aku tengok,’ omel Hazry sendiri.

“Awak ni pekak ke. Saya cakap tunggu dulu tadi, awak tak dengar ke,” marah Farisha sambil menjegilkan anak matanya. Kalau boleh terkeluar memang dah tercampak ke bawah dah biji mata dia itu.

Hazry dipandang tajam. Nampak kecil sahaja di matanya. Kalau boleh ditelan, memang sudah ditelannya Hazry ni hidup-hidup. Tengah sibuk berbual di telefon Hazry juga turut sama menyibuk dengan mengetuk pintu bertalu-talu. Hilang tumpuannya semasa berbual tadi.

‘Isshhh, aku ke atau dia yang pekak ni. Konfius, konfius,’ fikir Hazry.

“Maafkan saya Cik Farisha. Saya tak dengar tadi,” terpaksalah Hazry mengalah. Kalau tidak memikirkan yang Farisha itu anak majikannya, memang sudah lama kena bambu si Farisha ni.

“Dah memang awak tu pekak. Lain kali tolong korek sikit telinga tu, kasi klear. Buang apa yang patut kat dalam tu. Dah, masuk!!!”

Suka hati mak bapak dia je, tiap-tiap hari aku servis tau. Sekalipun tak pernah miss. Hazry buat muka sekupang. Sudah lali dengan makian Farisha. Setiap hari kalau tidak mendengar ceramah Farisha ini memang tidak sah. Umpama makan nasi tidak berlauk. Sudah macam terkena badi sahaja dia rasa.

“Ni, awak buat kerja macam mana. Ada cek dulu ke tak. Ni, drawing ni banyak sangat silap. Ukurannya tak sama dengan yang asal. Bukan macam nilah yang saya nak,” Farisha bising-bising lagi sambil menunjuk-nunjuk ke arah drawing bersaiz A3 di atas mejanya.

“Ehh, ada silap ke Cik Farisha. Biar saya tengok dulu,” Hazry turut memerhatikan drawing tersebut. Setahu aku tak ada salah pun, semuanya betul. Tang mana pulalah yang dikatakannya salah tu. Dah juling biji mata ke apa dia ni. Hazry membelek buat kali kedua.

“Tak ada salah apa pun Cik Farisha. Semuanya ok je.”

“Awak ni suka menjawab ye, kalau saya cakap ada mistake tu, adalah. Awak tengok ni, ukurannya tak sama,” Farisha membandingkan drawing tersebut dengan lakaran yang dibuat sebelumnya.

“Haa, tengok. Kan tak sama. Banyak beza sangat saiznya ni.”

“Tapi saya ikut sketching yang Cik Farisha bagi. Yang ini sketching siapa pula,” Hazry buat muka pelik. Hairan pula dia. Kalau ikut lakaran yang ada sekarang ni memanglah tidak sama.

“Inilah sketching yang saya buat,” tegas Farisha lagi.

“Cik Farisha ni. Kalau tak silap ini lakaran asal yang dibuat oleh Encik Hamid. Yang ni dah tak pakai dah ni. Saiznya tak menepati citarasa klient,” dah sah dia ni tersilap.

“Habis tu, sketching yang saya buat mana?”

“Ada dekat tempat saya.”

“Yang awak simpan dekat tempat awak kenapa. Kan saya dah tersilap. Buang masa saja. Lain kali tolong attach sekali drawing tu dengan sketching yang saya buat. Ini tidak, disimpannya dekat sana pula. Awak nak buat apa simpan kat situ. Nak buat kertas bungkus belacan,” bebel Farisha lagi. Kalau bercakap bagi sahaja dekat dia, dari pagi sampai ke petang pun dia sanggup. Maklumlah suka sangat makan bontot ayam.

Ni apa kes pula nak buat balut-balut belacan ni. Dia ingat aku ni tokeh belacan ke apa. Hazry naik rimas, cakap ikut sedap mulut dia sahaja.

“Tapi hari itu Cik Farisha yang suruh saya simpan kan,” haaa sudah lupalah tu. Memang nak kena cepuk juga kepala dia ni.

“Mana ada. Memandai saja awak ni. Dah pergi ambil sketching tu. Nanti letak atas meja saya,” arah Farisha lagi. Dia terus duduk sambil mencapai gelas minuman. Milo ais diteguk perlahan. Dahaga, maklumlah sudah habis tenaganya digunakan untuk membebel tadi.

“Apa lagi yang awak tercegat kat depan tu, tak reti-reti nak keluar ke. Pergilah cepat,” marahnya lagi.

Hazry mengatur langkah keluar. Dalam hati bukan main berapi-api lagi marahkan Farisha.

“Haii, sabar, sabar. Nak buat macam mana. Dah nama pun makan gaji. Sudah buat salah tetapi tak nak mengaku pula tu. Apa jenis oranglah macam ni,” bebelnya lagi.