BAB 2

Bilik air pun ada class ke? Siap ada bathtub lagi. Lantai yang kasar dengan batu-batu kecil yang disimen. Lantai jenis apa ya?

Pili air yang unik. Tidak pernah Insyirah melihat bentuk sebegini. Nak buka macam mana ya? Pulas ke tarik naik atas? Ke kena tekan macam ni?

Nak pulas, tarik dan tekan bagaimana? Tempat nak pegang pun tiada!

Beberapa saat mencuba untuk membuka pili air, masih tidak berjaya. Jari diletakkan di atas kepala pili air sementara minda mencongak cara hendak mengeluarkan air. Menunduk sedikit, sama paras dengan mulut pili, melihat kalau-kalau ada suis atau apa-apa sahaja yang dapat membuatkan air mengalir.

Tidak semena-mena, air terpercik ke muka Insyirah. Laju. Wajah Insyirah basah, padahal wudhuk belum diratakan.

“Astaghfirullah!” terkejut Insyirah.

Sentuh untuk keluarkan air? Memang tak terfikir langsung! Canggih sangat, sampai hendak guna pun tidak tahu! Teknologi…

Wudhuk segera diratakan dengan tertib. Bahagian menghentikan air, bagaimana pula? Sentuh juga barangkali?

Insyirah berbuat demikian. Air terhenti. Alhamdulillah! Bolehlah dia cepat-cepat solat. Dan paling penting, boleh cepat-cepat keluar dari bilik air yang terlebih canggih ini. Huh, selamat!

Kain telekung berganti tangan. Solat ditunaikan menghadap Ilahi. Selesai, sejadah dilipat kemas. Begitu juga kain telekung. Tudung dirapikan dengan bantuan cermin besar seluas dinding penuh. Terlampau besar!

Fokus Insyirah terganggu apabila gadis yang menyambut mereka tadi muncul di sebalik pintu yang terkuak. Senyuman manis diukir membalas senyuman comel si gadis.

“Mari cik Insyirah. Sila ikut saya ke atas”

Insyirah mengerling Mak Teh. Mengajak Mak Teh bersama. Mak Teh menggeleng. Pandangan kembali pada si gadis.

“Maaflah ya saya tak boleh pergi. Terima kasih” Insyirah memohon maaf dan menghadiahkan senyuman tanda terima kasih. Tunduk hormat diberikan.

“Syirah pergilah. Mak Teh tak apa-apa” Mak Teh menyuruh Insyirah mengikut gadis itu.

Insyirah tidak bersangka apa-apa. Hanya senyum pada emak saudaranya itu. Kaki diarah mengekori gadis itu.

Eh, tadi rasanya nampak kereta ayah. Tapi tidak pula ternampak kelibat ayah. Mungkin di bilik lain agaknya. Banyak benar bilik di kastil ini. Ya lah, sudah namanya pun kastil, tentulah besar dan luas kawasannya. Pasti orang kaya pengantin ini, mampu mengadakan majlis di tempat sebegini.

“Silakan cik” si gadis mempelawa Insyirah masuk ke dalam sebuah bilik.

Ada beberapa orang yang turut berada di dalam bilik tersebut, dan mereka semuanya berpakaian seperti si gadis tadi; kurung berwarna hitam dan merah. Sama. Kurung bercorak bunga hitam kecil yang latar belakangnya adalah merah. Mungkin ini baju tema majlis. Sedondon semuanya.

Mereka senyum menyambut Insyirah. Tunduk hormat mereka berikan. Insyirah pun tunduk kembali, meraikan.

Insyirah pun kena pakai macam ni juga kah? Mak Teh tidak perlu pun? Oh, mungkin Insyirah akan direkrut sebagai flower girl agaknya. Itu yang kena pakai sama nada begini. Rekrut pun tidak mengapa, kira sebagai menolong juga kan?

“Saya pun kena pakai begini juga ya?” Insyirah bertanya kepada si gadis, mendapatkan kepastian. Mereka yang lain senyum melihat. Insyirah membalas senyuman lantas memberikan tunduk hormat.

Si gadis bergerak ke sebuah almari besar. Sehelai jubah adunan hitam dan merah menambah seri warna. Berkilau. Ada batu-batu yang bergemerlapan, bertaburan menghiasi jubah tersebut. Cantik.

“Cik Insyirah pakai yang ini” si gadis menyuakan jubah yang cantik itu.

“Untuk saya?” Insyirah terpegun seketika.