BAB 1

“Mak Teh, lepas ni balik rumah terus, kan?” Insyirah bertanya girang.

Insyirah dan Mak Teh baru sahaja keluar dari kawasan masjid As-Salam. Usai menunaikan solat Zohor, mereka terus menuju ke kereta yang diparkir di luar kawasan masjid.

Mak Teh menilik jam di tangan. “Malam ni ada majlis akad nikah. Tempat tu jauh sikit. Jadi akan ambil masa. Kita bertolak ke sana sekarang lah ya?” Mak Teh terus masuk ke dalam kereta.

Majlis akad nikah? Malam? Bertolak sekarang? Dahi Insyirah berkerut. Tak pernah Mak Teh mengajaknya ke majlis sedemikian pada waktu malam. Jauh pula tu kata Mak Teh. Mesti orang yang betul-betul rapat dengan Mak Teh ni! Tidak mengapa, mari bersoal jawab dengan Mak Teh di dalam kereta!

Perjalanan yang lama membuatkan Insyirah mengantuk. Lantas lena datang menjemputnya, memisahkan roh dari jasad untuk sementara. Tepukan lembut di bahu bersama suara Mak Teh yang menyeru membangunkan Insyirah dari tidur siangnya.

Imej pertama yang terakam di bebola mata adalah sebuah kastil yang nampak usang pada pandangan. Majlis akad nikah di sini? Biar benar?

“Kita dah sampai, Mak Teh?”

“Sudah, inilah tempatnya. No doubt. Jom masuk”

Insyirah mengekori Mak Teh untuk ke dalam. Pandangannya jatuh kepada sebuah kereta dengan nombor plat yang sangat dikenali.

“Ayah pun ada kat sini?”

“Hmmm”

Loceng ditekan. Beberapa saat kemudian, pintu utama yang besar itu dibuka. Seorang gadis menyambut mereka dengan baju kurung berwarna hitam dan merah.

“Selamat datang. Kami sudah lama menunggu cik berdua. Silakan” gadis itu menyapa mesra. Manis.

Insyirah dan Mak Teh melangkah ke dalam. Samar cahaya mengiringi mereka. Insyirah sempat melihat dekorasi ruang yang dilalui, antik dan elegan. Mungkin mahukan kelainan, tempat yang agak menyeramkan ini dipilih bagi menjadi saksi akad dilafazkan. Wah, unik sungguh!

Gadis manis itu membawa Insyirah dan Mak Teh ke sebuah bilik sederhana besar, dilengkapi dengan bilik air.

“Bolehlah solat di sini. Sebentar lagi, saya akan kembali. Silakan” gadis itu menghilang di sebalik pintu.

Sementara menunggu Mak Teh berwudhuk, Insyirah bersantai sebentar di atas sofa yang terletak berhampiran dengan tingkap. Pemandangan di luar, tak usah dibicarakan, terasa semacam sahaja. Suram. Agaknya kastil ini terletak di dalam kawasan hutan, pokok-pokok besar sahaja yang menghiasi pandangan. Sebatang denai terletak di antara celahan pokok-pokok, tapi yang terlihat dek pandangan hanyalah secebis. Segera perhatian dialih ke dalam rumah. Kalau berlama lagi, nanti entah macam-macam bayangan yang muncul. Kemudian, menceroboh mimpinya pula,

tidakkah haru nanti? Mimpi yang enak, diracuni bayangan yang dicipta minda. Oh, minta dijauhkanlah, Ya Rabbi!

“Syirah!” suara Mak Teh mengejutkan Insyirah. Wajah yang dibasahi wudhuk itu dilihat dengan mata membulat. Terkejut. Tergamam!

“Pergi berwudhuk, solat! Petang-petang begini berangan pula” pelik Mak Teh dengan Insyirah yang tiba-tiba seperti terpasung dalam dunia khayalan. Terkenangkan apa? Atau dia sudah tahu sebab sebenar dia di sini?

“Ya, Mak Teh!” Insyirah menjawab dengan semangat. Padahal ingin menutup rasa malunya.