BAB 3

Pelik.

“Tapi cik akan pakai sebentar lagi. Sekarang cik bersihkan diri dulu ya?”

Selepas menyerahkan tuala, si gadis bersama beberapa orang perempuan tadi meninggalkan Insyirah terpinga-pinga. Berfikir sejenak sambil mata tertumpu kepada jubah itu.

Jam dinding dipandang sekilas. Sudah 6.30? Elok juga mandi. Agaknya badan dah berbau, itu yang diaorang suruh mandi. Oppss!

Selepas solat Maghrib, Insyirah menyarungkan jubah tersebut, dibantu oleh beberapa orang yang berpakaian sama itu termasuk si gadis. Suka. Insyirah suka dengan jubah ini. Labuh. Longgar. Dan yang penting tidak jarang.

Tidakkah Insyirah bertanya mengapa dia harus berpakaian lain dari yang lain?

Sudah ditanyakan apa sebabnya, tapi mereka semua hanya senyum. Insyirah pula, tak kan hendak buat hal pula. Berdegil? Tempat orang ini, perlu jaga adab. Muslimah kan penuh dengan adab?

Selendang merah bercorak hitam yang ditabur manik berkilau dipakaikan oleh si gadis. Disolek ringkas oleh seorang lagi. Didandan sebegini, rasa macam pengantin pula!

“Bapa pengantin hendak masuk berjumpa” suara seorang perempuan menyapa gegendang telinga. Hadirnya di muka pintu tanpa Insyirah sedari.

Imej seorang lelaki dipantulkan oleh cermin. Ayah? Bapa pengantin?

Setelah perempuan-perempuan itu beredar, lelaki itu melabuhkan duduk di atas sofa. Insyirah menyalami ayahnya. Turut duduk, berhadapan dengan lelaki itu.

“Sebelum apa-apa, ayah nak minta maaf pada Syirah. Majlis ni tak dirancang dari awal. Seminggu lepas, ayah baru dapat pinangan dari seorang lelaki muda. Dan dia nak segerakan pernikahan. Untuk sebab apa, Syirah tanyakanlah sendiri pada suami nanti. Sekarang, ayah nak Syirah tahu dan faham, sebentar lagi, ayah akan serahkan Syirah; amanah ayah, kepada seorang lelaki yang ayah yakin akan peribadinya dan agamanya. Cukup sekadar itu buat sekarang. Ayah harap Syirah redha dengan semua ni”

Bingung. Out of mind!

Insyirah menarik nafas dalam-dalam. Otak ketandusan oksigen kini. Banyak oksigen diperlukan untuk sel-sel berespirasi. Supaya sel-sel pada otak berfungsi dengan baik. Memikirkan penyelesaian yang terbaik, untuk diri dan orang lain. Ya Allah, bantu hambaMu!

Ayah yakin pada lelaki itu. Ayah yakin pada peribadinya. Ayah yakin pada agamanya. Ayah yakin untuk serahkan amanahnya. Dan ayah mahu Insyirah redha.

Nafas ditarik lagi. Ayah mahu Insyirah redha.

Ayah, wali Insyirah. Keputusan ayah tak boleh dibantah, tapi boleh dibawa bincang.

Ayah, tahu yang terbaik untuk Insyirah. Ayah sayang Insyirah. Ayah insan mulia, bersabar selepas mak dijemput Ilahi walaupun jelas dari sinar mata ayah, mak adalah yang wanita istimewa, yang ayah sayang sesungguhnya.

Ayah tidak salahkan Insyirah, meskipun mak meninggal selepas lahirkan Insyirah. Ya, ayah sayang mak dan Insyirah. Seperti pengganti mak, Insyirah tak ubah seperti mak. Ayah sayang Insyirah sebab Insyirah anak ayah dan mak.

Kalau ayah sudah yakin, kenapa tidak Insyirah?

“Ayah, Syirah redha dengan keputusan ayah. Restui kami, ayah” Insyirah tersenyum. Air matanya hendak mengalir, tetapi pantas diseka oleh ayah.

“Syukur sayang. Ayah restu pernikahan ni” ayah berbicara lembut.

Ayah dipeluk erat. Redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Ya Allah, redhailah kami!

“Jom, majlis sudah bermula. Pengantin lelaki sudah menunggu bakal permaisurinya” ayah sempat mengusik. Insyirah tersenyum malu.