BAB 1

Kelam-kabut aku keluar dari pasaraya sambil menyorong troli yabg penuh dengan barangan. Peluh yang mencurah-curah di dahi ku lap dengan lengan baju, sesekali ku betulkan beg galas yang asyik terlucut dari bahu. Aku boleh tahan mengahnya tawaf berbelas kali pasaraya ni mencari barang-barang, boleh juga menahan letih dan pedih yang mengena mata saat peluh yang bercampur dengan bedak asas tadi mengalir di mata, namun sungguh saat ini aku tak dapat menahan kesakitan untuk buang air kecil.

Pundi kencing aku dah rasa bengkak dek kerana tahan kencing yang lama sangat dari beratur nak tunggu giliran bayar tadi sampai sekarang. Bila melihatkan aturan barisan panjang macam beratur beli tiket bola final Piala Malaysia, aku duduk terfikir tahun bila pulak aku boleh bayar kalau tunggu lagi. Hai, hari sabtu hari plastik kena bayar pun boleh ramai orang ye? Biasalah, awal bulan!

Dah sampai depan kereta, mengagau pulak aku cari kunci kereta dalam tas tangan. Mana ni?! Tak perasan pulak ada peragut nak ragut tas tangan aku hingga aku tersedar pada jeritan seorang wanita.

“Peragut!!” Aku cepat-cepat berpaling dan mengelak tapi nasib aku tak baik bila aku terjatuh ke tepi kereta lalu

peragut tadi terus menyambar tas tangan aku yang tercampak tak jauh dari aku. Aku yang masih kaget itu cuba bangun dan mengejar tapi rasa kerongkong tercekik dan kaki pasak pada bumi. Kaku!

Aku hanya nampak peragut dengan motor tadi menderu laju dan sempat dia menolak wanita yang menjerit membantu aku tadi. Semuanya nampak kabur dan gelap dan aku dah tak nampak apa-apa lagi.

“Sunshine? Sunshine??” Aku buka mata perlahan-lahan, menahan dari silau. Di tepi aku ada seorang wanita dalam lingkungan 40-an, berambut pendek, duduk di kerusi roda dan aku agak dia berbangsa cina dari raut wajahnya. Dia senyum sambil menggenggam erat jemariku. Aku imbas balik apa berlaku. Oh ya.. peragut! Dan aku di hospital sekarang!

Tiba-tiba masuk seseorang lelaki. Aku ingat doktor, tapi sangkaanku meleset. Kejap, mamat ni aku kenal! Alamak, bos aku! Mr Adrean Ng! Apa dia buat kat sini? Sejak bila jadi doktor pulak sekarang? Takkan dah jadi misi? Macam jambu je?! Jambu batu yang pasti.

“Ean.. Sunshine sudah sedar. Syukurlah tiada apa-apa serius yang berlaku padanya.” Mr Adrean seperti biasa,

hanya tak berperasaan di sebelahnya.

“Er..sorry auntie. Nama saya Aisha. Dan sebenarnya apa dah jadi? Peragut tu dapat lari?” Aku masih mamai agaknya. Siapa pulak Sunshine ni?

“Jangan risaukan pasal penjahat itu, Ean akan settlekan. Sekarang kamu hanya perlu berehat, tapi satu perkara yang I mahu beritahu you ialah, mulai hari ini panggil I mummy. Sebab mummy nak jadikan you anak mummy tapi mummy nak panggil you Amanda or Sunshine. Boleh kan?”

“Hah?!” Aku menjerit sampai berkerut muka dua makhluk kat depan aku ni. Aku mimpi ke apa ni? Ya Allah, kalau aku mimpi, tolonglah jagakan aku dari lena ini! Sebenarnya apa yang dah berlaku ni?!

“Tak.. tak. Ini semua satu salah faham! Saya bukan sunshine ke, sunset ke, sunrise ke.. saya ialah Aisha binti Abdul Rahman. Saya anak tunggal mak ayah saya dan mereka ada lagi di kampung. Itu kenyataannya..” Aku duduk terpacak di atas katil, demi untuk menegakkan keadilan bagi diri aku. Wanita tadi memandang aku sekejap dan seketika kemudian dia hanya tergelak dan memandang Mr Adrean.

“Ean, mummy rasa mummy tak salah dengan perasaan mummy. Nampak sama seperti Sunshine kita, benar?” Wanita itu menyambung gelaknya. Apa ni? Aku tengah masuk rancangan realiti Raja Lawak ke? Apa yang kelakar sangat?

“Ean.. bantu mummy tolak wheel chair ini ke meja sana. Mummy mahu mengupas buah-buahan kepada Sunshine. Sunshine kan suka pada buahan dan sayuran?” Mr Adrean patuh, aku hanya menyorot dengan ekor mata. Seketika kemudian Mr Adrean datang mendekati aku.

“Apa semua ni? I tak nak terlibat dalam apa bentuk konspirasi pun!” Aku meninggikan suara dalam tone berbisik.