BAB 1

KALAU kau tanya aku tentang kenangan zaman sekolah menengan, sumpah aku tak ada langsung memori atau saat bahagia di alam remaja tu. Bagi aku ia terlalu pahit dan pedih untuk aku kenang. Sampai satu tahap aku lagi ingat bagaimana aku gembiranya berlari dalam guni, bermain getah dan menangkap pepatung di belakang sekolah tadika berbanding segala kenangan ketika aku menginjak usia 13 tahun hingga 17 tahun.

“Sekolah menengah? Lupalah. Saya memang tak ingat satu habuk pun tentang sekolah menengah. Cikgu nama apa? Kelas keberapa? Yang saya ingat hanyalah keputusan PMR dan SPM.”

“Buat apa nak ingat sekolah menengah? Ada apa dengan sekolah menengah? Hm nama sekolah pun saya lupa.”

Begitulah setiap kali orang bertanyakan aku tentang sekolah menengah. Lupa? Hm, tidak sebenarnya. Aku ingat kesemuanya. Semua perkara tentang sekolah menengah masih segar dalam ingatan. Cuma bagi aku, tak perlulah aku ingat kisah silam aku. Pahit. Memang pahit.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Tidak kaya, tidak miskin. Alhamdulillah, agak berada. Walaupun dilimpahi dengan banyak kemewahan sejak kecil, aku bersyukur dan tidak pernah berbangga. Aku juga termasuk dalam golongan yang agak pandai.

Keputusan UPSR yang baik membuatkan aku layak untuk masuk ke sekolah berasrama penuh. Nama sekolah? Entahlah, aku sudah lupa. Atau sebenarnya tidak mahu dikenang.

***

“Allyn. Jom makan. Lapar ni.. Lagipun hari ini ada special menu dekat kedai kawan aku sempena ulang tahun yang kedua restorannya. Harga pun murah.” Haikal tiba-tiba duduk atas meja kerjaku.

Ya Allah, terkejutnya aku hanya Kau yang tahu. Aku yang tengah khusyuk menghadap kerja jadi terganggu sebentar. Serta-merta aku memandang sekilas ke arah Haikal. “Tak nak.” Seterusnya aku menyambung semula kerja yang tergendala.

“Come on, Lyn! Rest hour kot, takkan nak jadi pekerja mithali lagi kot!” Gila! Itu sahaja yang aku mampu fikir. Boleh pula dia baring sambil kepala atas keyboard aku?! “Weh agak-agak ah! Aku tengah menaip ni..”

Microsoft Word yang tadi dipenuhi tulisan yang berkaitan kerja kini mula mengarut seperti asdfghjkl kerana si mamat Haikal. Dia tersengih lalu bangun serta-merta. Nasib baik bos ada kat luar negara sekarang ni. Kalau bos nampak apa yang dia buat, memang naya. Aku pantas menekan backspace untuk delete apa yang patut.

“Okeylah…” Aku bangun dari kerusi seraya tersenyum sinis ke arahnya.

“Yes! Jom!!!”

***

“Haikal.. Nak sikit…” Mata ku dikerdip-kerdipkan.

“Yummy! This is so scrumptious!” Haikal mula membuat aksi makan seperti dalam iklan di televisyen.

Aku mengetap gigi. Seterusnya aku keluar dari restoran, meninggalkan Haikal yang terkebil-kebil seorang diri.

“Weh, nak pergi mana tu?” Haikal bingkas bangun, membayar harga makanan dan meminta untuk dibungkuskan kerana masih banyak lagi makananku yang tinggal.

Aku berjalan tanpa arah tuju di sepanjang laluan di taman. Restoran kawan Haikal itu sangat berdekatan dengan sebuah taman yang cantik. Tengok jam, hm lambat lagi waktu kerja. Aku sebenarnya sahaja ingin mengusik Haikal. Lalu aku cuba untuk lari daripadanya agar dia mencariku. Macam filem hindustan pula. Haha, aku tergelak kecil.

Aku termenung sebentar. Sewaktu memandang ke arah kolam, tiba-tiba aku teringat insiden membasuh baju dengan air yang dicampur telur.

Kisah ini terjadi sewaktu aku Tingkatan 4. Pada Hari Kantin, kelab yang aku sertai iaitu kelab alam sekitar telah menawarkan perkhidmatan membasuh baju sekolah. Kebetulan pula aku yang ditugaskan untuk membasuh baju itu.

Basuh tanpa menggunakan perkhidmatan dobi. Sewaktu aku ingin membilas baju yang sudah bersabun, tiba-tiba keluar cecair berwarna kuning yang melekit daripada sumber air yang digunakan iaitu kolah.

“Alamak!” Aku menjerit kecil. Sejurus selepas itu, kedengaran hilai tawa sekumpulan pelajar.

Rentetan daripada peristiwa itu, aku dimarahi dengan teruk oleh guru yang bertugas. Aku juga terpaksa menggantikan baju sekolah yang baru buat baju pelajar yang terkena telur kerana pelajar tersebut tidak mahu pakaiannya ada unsur telur.

Maka terpaksalah aku korbankan duit belanja bulananku untuk membeli pakaian sekolah mereka. Paling teruk, aku difitnah sengaja meletakkan telur tersebut. Aku dikenakan denda untuk menyapu semua kelas Tingkatan 4 selama sebulan dan selama sebulan jugalah mereka tidak perlu bertugas.

Setelah dua hari melakukan denda tersebut, seorang lelaki telah mengaku yang dia melakukan semua itu maka dialah yang menyambung segala denda tersebut. Nama lelaki itu? Huh, aku tidak pernah ambil tahu dan tak ingin tahu. Mukanya juga tidak inginku pandang. Yang aku tahu, dia senior tua setahun dari aku.

Sedihnya apabila dia sanggup membiarkan aku menjalani hukuman tanpa sebab walaupun hanya selama dua hari.