BAB 3

"Laaaa kamu tidak sedar ke? Warna tema untuk pernikahan Dinah tu warna cream. Kami semua pakai warna cream. Kamu tahulah Dinah tu memang suka warna cream."

Lelaki itu sudah menghela nafasnya kasar. Pernikahan Dinah lagi. Tidak ada benda lain ke nak di sebut.

"Pergi tukar baju, kami tunggu bawah. Kamu bawa Dinah dengan Ayden pergi masjid. Kami semua bergerak awal." Baru sahaja Puan Norani hendak berlalu dari situ, tiba-tiba dia bersuara.

"Kenapa Akid pula yang kena bawa Dinah dengan Ayden pergi masjid? Pak Lurah kan ada. Kalau tidak ada Pak Lurah, suruh saja along yang bawa. Kan senang. Mereka berdua kan nak jadi suami isteri tak lama lagi." Memberontak! Itu sahaja yang Syed Akid tahu buat masa sekarang. Bagaimana dia hendak melepaskan gadis itu kepada alongnya kalau dia akan berjumpa lagi dengan Dinah. Dia sudah berusaha untuk tidak mendekati Dinah. Takut-takut hatinya tidak mahu melepasi Dinah malah merampas gadis itu daripada alongnya. Nanti kalau alongnya tahu bahawa dia juga mahu menyunting Dinah sebagai isterinya, bagaimana? Along memang sudah bersedia untuk kahwin sedari dahulu lagi namun tidak mempunyai kekasih atau calon isteri untuk diperkenalkan kepada ibunya. Dalam masa yang sama dia tidak mahu melukai hati alongnya.

"Jangan banyak cakap Akid. Dah, kami nak pergi ni. Along kamu ikut kami. Kamu bawa Dinah dengan Ayden. Ayden tak mahu berenggang dengan Dinah dari tadi."

"Yelah..." Lemah sahaja Syed Akid memberi kata putus kepada ibunya. Tanpa balasan, Puan Norani sudah berlalu dari situ sejurus sahaja dia menutup muka pintu bilik Syed Akid.

Mengenangkan arahan ibunya, hatinya menjadi semakin tidak keruan. Syed Akid berlalu ke bilik mandinya. Tangan yang berdarah di cuci. Sakit yang hadir akibat luka itu tidak dapat melawan kesakitan di dalam hatinya. Kalau boleh dia mahu pergi ke luar negeri pada masa itu juga. Dengan hati yang berbelah bahagi, Syed Akid terus mandi tanpa menghiraukan Dinah dan Ayden menunggu kehadirannya di bawah. Biar mereka menunggu! Lagi lama lagi baik. Cancel nikah terus!

Setengah jam kemudian, Syed Akid sudah selesai mandi. Tanpa membuang masa, dia memakai baju cara melayu yang sudah di sediakan. Dengan berhias ala kadar, dia turun ke bawah. Di situ dia ternampak Dinah sedang menepuk-nepuk punggung anaknya lembut sambil berjalan ke hulu ke hilir menidurkan Ayden. Sungguh cantik dan amat mempesonakan gadis itu dalam pakaian nikahnya. Nikah? Arrrrrghhhhh!

Dinah ternampak kelibat Syed Akid yang siap melenggang kangkung semasa hendak turun tangga. Sesudah lelaki itu hampir mendekati mereka, Dinah membuka kata, "Lamanya kau bersiap Akid. Naik lenguh aku menunggu."

Gadis itu cuba beriak biasa. Cara percakapan juga masih dikekalkan seperti mereka di zaman universiti. Walaupun gementar, tapi perasaan itu cuba di buang jauh-jauh. Suasana di dalam villa juga sudah semakin sunyi kerana semua sekali sudah bertolak menuju ke masjid di mana pernikahannya dengan Syed Akhbar dijalankan. Akid, kalaulah kau tahu dengan isi hatiku sekarang ini.

"Kenapa? Dah tak sabar nak jadi isteri along ke?" begitu sinis kata-kata Syed Akid di pendengaran Dinah. Sindiran itu menandakan Syed Akid sedang menahan marahnya. Tapi kenapa lelaki itu tiba-tiba hendak marah?

"A'ah memang tak sabar nak kau panggil aku kak long pulak." Dinah juga tidak mahu kalah. Sebal. Satu jelingan tajam sempat dihadiahkan kepada Syed Akid. Dinah sudah berura-ura untuk berlalu dari situ. Tempat yang ditujunya adalah tempat menyimpan kasut-kasut kerana dia ada menyimpan kasut nikahnya di situ.Matanya liar mencari kasut nikahnya sambil mendokong Ayden yang sudah terlelap.

"Kau cari apa?" ujar Syed Akid dari belakang. Dinah sedikit terkejut namun dia cuba untuk buat seperti biasa. Tidak mahu melihatkan kegugupan hatinya yang sudah melanda dengan kuat. Apatah lagi hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik menyimpan kasut itu.

"Kasut nikah akulah." Matanya masih setia mencari kasut yang dimaksudkan sehingga dia mencari ke ruang kasut Syed Akid. Sememangnya di dalam bilik menyimpan kasut itu, setiap orang mempunyai tempat rak kasut mereka tersendiri.