BAB 8

Aku menggelupur lemah bila dia sekadar buat tidak mengerti dengan tindakanku. Malah pelukannya juga semakin kejap. Hingga akhirnya aku terus menyembamkan wajahku ke bahunya lantas aku gigit bahu sasa itu sekuat hati. Menahan rasa marah dan sendu yang bercampur menjadi satu.

Encik Ilham meleraikan pelukannya bila tiba di sebuah bilik. Aku masih membatu bila tubuh Encik Ilham sudah melepasi ambang pintu.

“Marilah masuk! Kenapa tercegat kat situ lagi?” herdiknya meninggi.

Airmata yang sudah kering tadi, merembes kembali. Bila dikira layanannya padaku sebentar tadi, aku kira dia pasti sudah mahu beralah sedikit denganku dan hatiku sedikit terpujuk dengan layanannya tapi kini hanya aku yang tertimpa harapan.

“Mari masuk! Sejuk kat luar. Dah la hujan tengah lebat tu,” pujuknya dengan nada yang sudah bertukar mesra lantas menarik tanganku masuk ke dalam. Pintu bilik ditutup rapat. Aku masih lagi kaku. Bimbang berlaku perkara yang tidak diingini dalam keadaan kami hanya berdua di dalam bilik ini.

Pandangan Encik Ilham jatuh pada wajahku. Seram sejuk rasanya tubuhku yang sedia kedinginan ini.

Dia menepuk-nepuk tilam di sebelahnya. Mengisyaratkan agar aku duduk di situ. Aku masih diam terkaku. Tiada langsung tanda untuk bergerak.

Encik Ilham bangkit bila aku tiada bertindak balas. Dia hampir padaku dengan memegang sehelai t-shirt putih.

“Ambik baju ni, pergi tukar. Lepas tu boleh tidur. Better you make your move before I give you my big hug and drag you onto bed,” gumamnya ke telingaku.

Spontan saja aku terus menyambar t-shirt dari tangannya dan terus berlalu ke bilik air. Sempat aku menangkap suara gelak tawanya dan akhirnya ketawa itu makin menyepi.

Aku keluar dengan perasaan takut. Detak hatiku makin kuat bergendang. Andai diikutkan hati mahu saja aku merebahkan diri di dalam bilik air ini tapi melihatkan keluasan bilik air hanya sekadar muat-muat untuk dua orang berdiri, niat itu terbantut sudah.