BAB 13

Hidup mesti diteruskan! Itulah ayat mati Faralina bila aku membawa peristiwa ‘ngeri’ itu kepadanya pagi itu.

“Dahlah tu, jangan fikir sangat! Baik kau pergi interview! Sampai bila nak tanam anggur? Karang kena balik kampung tanam jagung sungguh, macam mana?”

Aku ketawa mendengar nasihat Faralina di hujung talian.

“Kan elok ketawa macam tu. Ni mengongoi je dua tiga hari ni. Pening aku!” sambungnya lagi.

“Ni aku nak pergi la kejap lagi!” ujarku dalam marah yang dibuat-buat.

“Tapi, aku sedih. Kenapa dia sanggup buat aku macam ni? Rasanya tak pernah aku bersalah pada dia! Tercalar maruah aku!” aduku kembali pilu. Langsung terlupa dengan pengakuan Encik Ilham padaku tempoh hari.

“Kau suka Encik Am, ya?” duga Faralina. Aku ketap bibir.

“Dah tahu diam-diam jelah!”

“Aku dah agak. Dah la tu! Pergi cepat! Bos tengah tunggu tu! Aku nak buat kerja dah ni!”

“Siapa tunggu, Fara?” soalku tidak jelas.

“Erk… tak ada apa! Oklah, aku letak ni!”

Aku memandang telefon lama. Pelik dengan Fara sejak akhir-akhir ni. Beria benar memaksa aku menghadiri temuduga tu.