BAB 7

Malam makin merangkak tua. Kedinginan malam pula makin mencucuk. Sedangkan tubuhku hanya dibaluti sepasang jeans dan baju kemeja tipis sahaja. Tudung yang melambai-lambai ditiup angin, aku pegang dengan hujung jari. Beg tangan POLOku itu ku peluk erat. Mengharapkan sedikit kehangatan hadir ke tubuhku.

Pengunjung semakin berkurangan, suasana juga semakin mati! Hanya kelihatan dua orang receptionist sahaja yang yang sedang bertugas di kaunter tapi itu pun tidak lama bila mereka terus menghilang. Aku memandang keliling. Hanya aku seorang!

Dalam beraniku, jelas ketakutan sudah menguasai tubuhku. Apalah daya seorang wanita sepertiku berada di tempat sebegini seorang diri. Kelopak mata terasa suam lagi. Perlahan-lahan airamataku merintik tanpa aku pinta. Selama ini aku bertahan agar tiada airmata menghiasi sengketaku dengan Encik Ilham tapi hari ini, ketegasanku terobek sudah.

Pedih mengingatkan penghinaan Encik Ilham padaku selama ini dan hari ini penghinaannya telah menjadi kudis yang bernanah dalam hatiku. Pandanglah saya dengan penuh kemesraan walaupun sekali, Encik! Keluh hatiku.

Entah berapa lama aku terlena di sofa lobby sehinggakan aku dapat rasakan ada tangan yang sudah menyusur di bawah lutut dan belakangku. Sekelipan tubuhku yang kepenatan ini berada di awangan.

Aku membuka mata yang terasa berat dek kerana sembab. Wajah Encik Ilham jelas di pandangan mataku dengan senyuman yang sukar untuk aku tafsir. Dasar hati yang tenang bergelodak lagi.

“Apa awak nak buat ni,” tanyaku lantas cuba melepaskan diriku dari gendongannya.

“Please, Encik Ilham! Lepaskan saya!” pintaku dengan wajah yang menahan tangis.

Dia masih meneruskan langkah tanpa menghiraukan rayuanku. Aku malu diperlakukan demikian biarpun aku yakin memang tiada pengunjung langsung. Malu pada diri sendiri, malu pada Allah kerana tubuhku disentuh sesuka hati oleh lelaki yang bukan muhrimku.

“Lepaskan saya! Saya boleh jalan sendiri!” ujarku dengan suara yang sudah serak.

Airmataku sudah merembes keluar. Kali ini aku sudah kalah. Memang aku sentiasa kecundang dengan pertengkaran kami dan kali ini aku telah kalah lebih teruk.

“Lepaskan saya! Encik dah menang. Saya akan hantar surat perletakan jawatan saya setibanya di KL nanti! Memang encik tak nak tengok saya di pejabat tu lagi, kan? Saya akan tunaikan permintaan encik tu. Jadi, lepaskan saya!” pintaku bersama esak tangis yang bagaikan tidak berkesudahan.

“Don’t you dare!” balasnya pendek.