BAB 3

Aku lega bila dari hari ke hari, wajah Encik Ilham tidak lagi hadir di depanku dan aku seboleh-bolehnya terus mengelak daripada bersua empat mata dengannya. Sehinggalah pada suatu hari aku menerima satu arahan daripada Tan Sri Fakhri untuk mengikut anak gila kuasanya ke tapak projek untuk membuat penilaian bagi bayaran berikutnya.

Tiada apa yang terlintas di fikiranku saat menerima arahan itu. Sekadar mengikut arahan pihak atasan adalah sebahagian tanggungjawabku dan walaupun agak berat hati kali ini, aku tidak akan sesekali menolak.

Hari yang dijanjikan, aku menunggu pemandu pejabat menjemputku di rumah memandangkan perjalanan dimulakan di awal pagi.

Bila Honda CRV tu berhenti tepat di depanku tidak lama kemudian, aku terus sahaja memboloskan diri ke dalam perut kereta.

“Terima kasih jemput saya kat rumah, Pak Ali,” ucapku mesra sambil menarik tali pinggang keledar.

“Bos saya yang gila kuasa tu pergi sendiri ke?” tanyaku lagi tanpa melihat ke arah Pak Ali.

Eh, sangkut pulak tali pinggang keledar ni! Rungutku antara dengar dan tidak. Aku menarik beberapa kali. Bermula dengan lembut hingga akhirnya aku menarik rakus.

Tiba-tiba, tubuh kasar di sebelah terasa dekat pada tubuhku. Nafasnya juga terasa hangat menyapa ke pipi dan tangan sasanya menarik tali pinggang itu. Aku terperanjat besar.

“Apa Pak Ali ni?” jerkahku lantas berpaling pada empunya diri.

Saat itu hampir luruh jantungku bila dia bukanlah seperti yang ku jangka. Wajah Encik Ilham dekat benar pada wajahku sehinggakan nafas kami bercantum dalam satu. Dia bukanlah Pak Ali!

“Mari sini, bagi saya yang gila kuasa ni pasang seatbelt awak ni!” ujarnya penuh sinis lantas mengunci tali pinggang itu.

Aku terpaku pada seraut wajah tampan di depanku ini. Jarak yang hanya beberapa inci membuatkan aku terus mengamati wajah maskulinnya. Andai tidak diingatkan perang antara kami, mahu saja aku serahkan hati ini padanya.

Aku diam tidak berkutik. Rasa bersalah mula menyerang diri. Ya Allah, kenapa mesti jadi secelupar ini, Fiah!

“So, shall we?” Tanya Encik Ilham.

“Shall what?” soalku kembali baru tersedar dari angan.

Dia mengukir segaris senyuman. Fuh, hati wanitaku hampir saja cair.

“Boleh kita teruskan perjalanan?” ulangnya separuh mengejek.

Soalannya tidak bersambut. Aku sekadar mengangguk menggantikan jawapan. Sebenarnya, aku cuak! Cuak dengan kutukanku padanya sebentar tadi. Bermacam andaian bermain di mindaku. Apa-apa saja boleh jadi termasuk dipecat.

Selebihnya aku lebih bimbang andai hati ini akan terpaut padanya yang terlalu jauh bezanya untuk dibandingkan dengan wanita biasa sepertiku ini.

“Nak pulak awak out-station dengan saya, kan?”

Itulah soalan yang terpacul daripada mulut Encik Ilham selepas hampir dua jam perjalanan yang tiada dihiasi dengan perbualan.

“Arahan pihak atasan!” selaku bersahaja.

“Nampak macam tak suka je keluar dengan saya?” duganya lagi.

Memang aku tak suka! Asyik kena marah dengan kau, je. Orang suka pun jadi tak suka! Getus hati kecilku.

“Mana ada!” protesku. Huh, lain yang difikir lain yang ku zahirkan.

“Banyak hari tak bergaduh dengan awak, rindu pulak!”

Aku masih berlagak selamba demi mendengarkan perkataan rindu itu keluar dari celah bibirnya. Aku yakin dia sengaja mempermainkanku lagi. Andai di pejabat dia tidak pernah puas memalukan aku dan kini bila berdua, dia sudah berani mengocak ketenangan hatiku.

“Emm…” balasku pendek.

“Hai, dah berat mulut pulak!” selanya sinis. Aku diam tidak membalas.

“Ada jongkong emas ke dalam mulut awak? Dengan orang lain kemain payah awak nak bersuara tapi dengan Faralina tu banyak pulak mulut awak ya?”

Hatiku terdetik seketika. Dia perhatikan aku dengan Faralinakah? Huh, tak mungkin dia sudi nak perhatikanku. Bersua saja, pasti aku diamuknya sesuka hati.

“Kalau dalam mulut saya ni ada jongkong emas, senang pulak. Tak payah saya nak kerja dah. Hari-hari tarah jongkong emas tu je jual!” perliku.

“Lagipun, mulut saya ada satu je. Sebab tu saya banyak cakap dengan Fara je,” sambungku lagi menambah sedikit perasa pada sindiranku. Padan muka! Marah hatiku.

“Huh, dingin macam air batu,” omelnya padaku.

“Emm… kalau encik sejuk, off kan aircond ni tak apa. Saya tak kisah,” balasku buat-buat tidak mengerti.

Bukan aku tidak tahu, sudah ramai lelaki menggelarkan aku sebagai Puteri Salju. Segala huluran salam ku sambut dingin, tiada berminat.